Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Saya berseru kepada diri saya dan
sidang jumaat sekalian marilah kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT
dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhan-Nya dan
meninggalkan segala larangan-Nya.Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertakwa
dan beriman serta selamat di dunia dan di akhirat.
Bersempena dengan sambutan Hari
AntiDadah Peringkat Kebangsaan pada 19 Februari setiap tahun, mimbar jumaat
pada hari ini akan membicarakan khutbah dengan tajuk ‘Sukarelawan Prihatin
Masalah Dadah Terbela’.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati
Allah,
Kesukarelawanan merupakan tulang
belakang kepada pembangunan sesebuah organisasi atau negara.Tanpa semangat
kesukarelawanan yang tinggi dalam kalangan individu dan kumpulan dalam sesebuah
organisasi,kejayaan tidak akan dapat dicapai dengan sempurna. Di Malaysia
semangat kesukarelawanan sememangnya telah lama berakar umbi dalam kalangan
masyarakat.Ini dapat dilihat daripada kata-kata dan ungkapan yang sering
diucapkan menggambarkan semangat kesukarelawanan dan kerjasama. Sebagai contoh:
yang buta meniup tepung; yang pekak membakar meriam: yang capek menghalau ayam;
yang kurap menyiang buluh. Ia menggambarkan keperluan setiap anggota masyarakat
memainkan peranan masing-masing ke arah pencapaian matlamat bersama.
Islam amat menggalakkan dan menuntut
kita supaya hidup saling tolong-menolong, bantu-membantu ke arah kebaikan secara
ikhlas dan sukarela kerana perbuatan demikian boleh menimbulkan perasaan
hormat-menghormati, kasih-mengasihi dan sayang-menyayangi di antara satu sama
lain. Jika sifat sedemikian wujud di kalangan umat Islam, maka akan terbinalah
kehidupan yang aman damai, sejahtera dan harmoni. Inilah faktor kekuatan
kesatuan komuniti umat Islam.
Firman Allah SWT dalam Surah Al-Maaidah
ayat 2:
وَتَعَاوَنُوا۟ عَلَى ٱلْبِرِّ
وَٱلتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا۟ عَلَى ٱلْإِثْمِ وَٱلْعُدْوَٰنِ ۚ وَٱتَّقُوا۟
ٱللَّهَ ۖ إِنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلْعِقَابِ
Yang bermaksud: "Hendaklah kamu
bertolong-tolongan untuk membuat kebaikan dan bertakwa dan janganlah kamu
bertolong-tolongan pada melakukan dosa dan maksiat dan pencerobohan. Dan
bertakwalah kepada Allah kerana sesungguhnya Allah maha berat azab
seksa-Nya."
Sifat tolong-menolong dan semangat
kesukarelawan bantu-membantu bukan hanya tertumpu kepada kewangan atau harta
benda semata-mata tetapi ia juga boleh dilaksanakan dengan sumbangan tenaga dan
nasihat seperti bantu-membantu dalam mencegah kemungkaran kerana masyarakat juga
memainkan peranan penting bagi mewujudkan kesejahteraan dalam sesebuah
negara.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah
Sekalian,
Sebagaimana yang kita semua sedia
maklum, Agensi Antidadah Kebangsaan merupakan agensi yang telah bertanggungjawab
dalam menguruskan permasalahan yang berkaitan dengan dadah. Peranan utama Agensi
AntiDadah Kebangsaan ialah untuk menentukan segala usaha negara menangani
ancaman dadah berjalan secara terancang, berarah dan selaras demi mewujudkan
satu masyarakat yang bebas daripada dadah.
Tugas untuk membebaskan masyarakat dan
negara yang bebas dadah adalah sangat mencabar, tanggungjawab ini tidak mampu
dilakukan oleh Agensi AntiDadah Kebangsaan secara bersendirian, namun usaha ke
arah itu akan lebih berjaya dengan adanya sokongan dan bantuan daripada semua
pihak. Apa yang lebih penting ialah kerjasama dari orang ramai membantu Agensi
AntiDadah Kebangsaan dalam membanteras permasalahan dadah dan mengekalkan
kesejahteraan dalam masyarakat.
Maka dalam hal ini, pihak Agensi AntiDadah Kebangsaan mengharapkan supaya masyarakat sama-sama berganding bahu dan terlibat sama-sama dalam menjaga permasalahan dadah yang ada dalam komuniti masing-masing. Tidak kiralah sama ada masyarakat yang tinggal di bandar, pedalaman ataupun di perairan negara ini, mereka perlu membantu Agensi AntiDadah Kebangsaan dengan memberi nasihat mereka yang terlibat dengan permasalahan dadah untuk mendapatkan perkhidmatan yang disediakan oleh AADK, atau menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa mengenai permasalahan dadah yang berlaku di tempat masing-masing.
Maka dalam hal ini, pihak Agensi AntiDadah Kebangsaan mengharapkan supaya masyarakat sama-sama berganding bahu dan terlibat sama-sama dalam menjaga permasalahan dadah yang ada dalam komuniti masing-masing. Tidak kiralah sama ada masyarakat yang tinggal di bandar, pedalaman ataupun di perairan negara ini, mereka perlu membantu Agensi AntiDadah Kebangsaan dengan memberi nasihat mereka yang terlibat dengan permasalahan dadah untuk mendapatkan perkhidmatan yang disediakan oleh AADK, atau menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa mengenai permasalahan dadah yang berlaku di tempat masing-masing.
Rasulullah SAW bersabda
:
Maksudnya: “Barang siapa di antara kamu yang melihat sesuatu kemungkaran, maka hendaklah ia mengubahnya (mencegahnya) dengan tangannya, dan jika ia tidak berkuasa maka dengan lidahnya, dan jika ia tidak berkuasa, maka dengan hatinya, yang demikian itu adalah selemah-lemah iman."
Jika berlaku kemungkaran seperti
penyalahgunaan dadah, maka masyarakat juga tidak terlepas dari mengambil
inisiatif mencegahnya mengikut kemampuan masing-masing.Tetapi jika tidak
berkemampuan mencegahnya, maka laporkanlah kepada pihak berkuasa, kerana ini
juga berupa suatu pencegahan dan bantuan kepada pihak Agensi AntiDadah
Kebangsaan.
Sidang Jumaat Yang Dikasihi Allah
Sekalian,
Dalam usaha untuk memastikan semua
pihak merasakan bertanggungjawab untuk membanteras permasalahan dadah, maka
dengan itu, Agensi AntiDadah Kebangsaan telah menubuhkan Sukarelawan Antidadah
(SKUAD 1MALAYSIA). Matlamat utama penubuhan Sukarelawan Antidadah (SKUAD
1MALAYSIA) ialah supaya semua sukarelawan ini bertindak dan bergerak sebagai
satu pasukan yang membantu pihak kerajaan khususnya AADK dalam menangani masalah
dan ancaman dadah.Objektif Skuad 1Malaysia adalah seperti
berikut:
1. Membantu pihak kerajaan khususnya
AADK di dalam membanteras penyalahgunaan dadah;
2. Menggerakkan program-program dan
aktiviti pencegahan dadah di dalam komuniti;
3. Memberi sokongan dan membantu
bekas-bekas penagih dadah bagi mengekalkan kepulihan total; dan
4. Memastikan penglibatan anggota
masyarakat di dalam merealisasikan masyarakat bebas dadah.
Agensi AntiDadah Kebangsaan mengambil
kesempatan melalui mimbar pada hari ini, menyeru seluruh masyarakat Malaysia
untuk menyertai serta memberi sokongan dan kerjasama kepada Sukarelawan
Antidadah (SKUAD 1Malaysia) dalam menyelesaikan permasalahan dadah. Dengan
penyertaan, sokongan dan kerjasama kepada Sukarelawan Antidadah (SKUAD
1Malaysia) ini diharapkan dapat membantu Agensi AntiDadah Kebangsaan
melaksanakan tugas mengatasi permasalahan dadah negara. Semangat sukarelawan
ini perlu diberi perhatian oleh semua masyarakat di Malaysia untuk membantu
kerajaan memerangi permasalahan dadah.
Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah
hadis yang maksudnya:
"Dari 'Adi bin Hatim ia berkata,
Rasulullah SAW telah bersabda: Sesungguhnya Allah tidak akan mengazab orang
ramai (orang awam) dengan perbuatan orang-orang yang sedikit sehingga orang
ramai tadi melihat kemungkaran di hadapan mata mereka dan mereka berkuasa untuk
mencegahnya, tetapi mereka tidak mencegahnya. Sekiranya mereka berbuat demikian,
maka Allah akan menurunkan azab-Nya kepada orang-orang yang sedikit tadi dan
orang ramai (orang awam)."
Daripada hadis tadi jelas kepada kita
bahawa setiap individu adalah bertanggungjawab dalam mencegah kemungkaran dan
menyuruh berbuat kebaikan dalam kehidupan bermasyarakat mengikut kemampuan dan
kuasa masing-masing.
Oleh itu, marilah kita sama-sama
berganding bahu berusaha menjaga kesejahteraan dan keharmonian negara kita
daripada masalah dadah. Mudah-mudahan kehidupan kita aman sejahtera dan mendapat
perlindungan daripada Allah SWT.
Firman Allah SWT dalam Surah Ali 'Imran
ayat 110 :
كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ
لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِٱلْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ ٱلْمُنكَرِ وَتُؤْمِنُونَ
بِٱللَّهِ ۗ وَلَوْ ءَامَنَ أَهْلُ ٱلْكِتَـٰبِ لَكَانَ خَيْرًۭا لَّهُم ۚ
مِّنْهُمُ ٱلْمُؤْمِنُونَ وَأَكْثَرُهُمُ ٱلْفَـٰسِقُونَ ﴿١١٠﴾
Yang bermaksud:
"Kamu adalah sebaik-baik umat yang
dilahirkan bagi faedah umat manusia, kerana kamu menyuruh berbuat segala perkara
yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah, buruk dan keji, serta
kamu pula beriman kepada Allah dengan sebenar-benar iman. Dan kalaulah Ahli
Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman sebagaimana yang semestinya, tentulah
iman itu menjadi baik bagi mereka. Tetapi di antara mereka ada yang beriman, dan
kebanyakan mereka orang-orang yang fasiq."
No comments:
Post a Comment