AKHLAK MULIA PAKAIAN MUSLIM
اَلْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ،
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ قُوٓا۟ أَنفُسَكُمْ
وَأَهْلِيكُمْ نَارًۭا وَقُودُهَا ٱلنَّاسُ وَٱلْحِجَارَةُ عَلَيْهَا
مَلَـٰٓئِكَةٌ غِلَاظٌۭ شِدَادٌۭ لَّا يَعْصُونَ ٱللَّهَ مَآ أَمَرَهُمْ
وَيَفْعَلُونَ مَا يُؤْمَرُونَ ﴿٦﴾
أَشْهَدُ أَنْ لَّآإِلهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ
سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ, وَرَسُوْلُهُ
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا
مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى
يَوْمِ الدِّيْنِ
أَمَّا بَعْدُ فَيَا عِبَادَ اللَّهِ اتَّقُواْ اللَّهَ حَقَّ
تُقَاتِهِ وَلَاتَمُوْتُنَّ إِلَّا
وَأَنْتُمْ مُّسْلِمُوْنَ
KAUM MUSLIMIN RAHIMAKUMULLAH!
Sebagai umat Nabi Muhammad SAW yang tinggi darjatnya, sudah
tentu kita tidak rela dan mahu nikmat keamanan, kemakmuran dan keharmonian
hidup yang kita kecapi selama ini ditarik balik oleh Allah SWT. Justeru,
marilah kita syukuri dan hargai segala bentuk nikmat yang dikurniakan oleh
Allah kepada rakyat dan Negara kita ini dengan cara meningkatkan keimanan dan
ketakwaan kepada Allah SWT, dalam erti kata mengerjakan segala suruhan dan
menjauhi segala larangan-Nya. Memiliki iman dan takwa yang tinggi adalah
prasyarat utama bagi membolehkan kita terus memperolehi berkat yang melimpah
ruah dari langit dan bumi sebagaimana dijelaskan oleh Allah SWT dalam
firman-Nya:-
وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ ٱلْقُرَىٰٓ ءَامَنُوا۟ وَٱتَّقَوْا۟
لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَـٰتٍۢ مِّنَ ٱلسَّمَآءِ وَٱلْأَرْضِ وَلَـٰكِن
كَذَّبُوا۟ فَأَخَذْنَـٰهُم بِمَا كَانُوا۟ يَكْسِبُونَ ﴿٩٦﴾
Yang bermaksud: “Jikalau
penduduk negeri beriman dan bertaqwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada
mereka berkat dari langit dan bumi, tetapi (jika) mereka mendustakan
(ayat-ayat) Kami itu, maka Kami siksa mereka disebabkan perbuatannya,” (S.
Al-A’raaf: 96).
KAUM MUSLIMIN RAHIMAKUMULLAH!
Sebelum kelahiran dan pengutusan Nabi Muhammad SAW ke dunia ini,
diriwayatkan bahawa masyarakat Arab diibaratkan hidup dalam kegelapan. Gelap
dalam erti kata jauh daripada petunjuk Ilahi lantaran budaya hidup mereka yang
bertuhankan hawa nafsu dan berhala, bukannya bertuhankan Allah Yang Maha Esa.
Kerananya, mereka digelar sebagai masyarakat Jahiliah, iaitu masyarakat yang
tidak tahu mensyukuri dan menghargai nikmat akal yang dikurniakan Allah untuk
menelusuri fitrah insan yang suka berbuat baik, menyenangi kebaikan dan
membenci kejahatan.
Akibatnya, wujudlah keadaan dan suasana yang tidak aman dan
harmoni kerana penindasan dan kezaliman berleluasa, yang kuat menindas yang
lemah, yang kaya memeras yang miskin, manakala kaum wanita dianggap sebagai
alat memuaskan nafsu semata-mata. Malah, perjudian, arak dan pembunuhan bayi
perempuan adalah perkara biasa dan bukan sesuatu yang mengaibkan mereka. Ini
memperlihatkan bangsa Arab pada ketika itu berada dalam keadaan yang amat parah
dan tenat dari segi akhlak dan tauhid dengan dijemput oleh dua tamadun empayar
manusia yang besar iaitu Rom dan Parsi.
Justeru, kelahiran dan pengutusan Nabi Muhammad SAW adalah untuk
membetulkan semula kehidupan manusia yang pada ketika itu bergelumang dengan
amalan serta budaya hidup yang kotor dan sesat. Mereka bukan sahaja tidak
berakhlak, malah sesat dan tandus dengan nilai-nilai keperikemanusiaan yang
sepatutnya. Hal ini dijelaskan oleh Nabi SAW dalam sabdanya yang bermaksud: “Aku
diutus untuk menyempurnakan akhlak (budi pekerti) yang mulia.” (HR. Ahmad)
Hadith ini memperlihatkan betapa Islam menitikberatkan soal
pembinaan akhlak yang mulia dan terpuji. Ia hendaklah menjadi pakaian manusia
setiap masa khususnya individu Muslim ke arah mewujudkan kehidupan yang
sejahtera dan harmoni dalam keluarga, organisasi, masyarakat dan negara.
KAUM MUSLIMIN RAHIMAKUMULLAH!
Akhlak merujuk kepada amalan, perangai dan tingkah laku tulus
yang tidak dibuat-buat yang menjadi kebiasaan. Manakala menurut istilah Islam,
akhlak ialah sikap keperibadian manusia terhadap Allah, manusia, diri sendiri
dan makhluk lain, sesuai dengan suruhan dan larangan serta petunjuk Al-Quran
dan Sunnah Rasulullah SAW. Ini bererti akhlak merujuk kepada seluruh perlakuan
manusia sama ada berbentuk lahiriah mahupun batiniah yang merangkumi aspek amal
ibadat, percakapan, perbuatan, pergaulan, komunikasi, kasih sayang dan
sebagainya.
Sesungguhnya Rasulullah SAW yang terkenal dengan ketinggian
akhlaknya telah berjaya merobah masyarakat Jahiliah kepada masyarakat yang
beradab dan bertamadun. Namun demikian, segala ajaran serta contoh teladan yang
diberikan oleh baginda SAW dalam membina masyarakat yang berakhlak dan
bertamadun kini semakin dipinggirkan. Keadaan ini sedikit sebanyak telah
menyebabkan manusia hari ini secara umumnya kembali mengulangi perbuatan kufur
dan keji umat Jahiliah. Ia ditandai dengan maksiat dan kemungkaran yang berlaku
dalam masyarakat kita hari ini. Antaranya termasuklah aktiviti perjudian
melalui internet dan SMS, pengambilan bahan-bahan yang memabukkan dan
mengkhayalkan di samping pergaulan bebas yang menatijahkan zina, hubungan seks
songsang, gejala pembunuhan, penderaan dan pembuangan bayi.
Dalam erti kata lain, senario yang berlaku pada hari ini
memperlihatkan bahawa segelintir anggota masyarakat tidak lagi melihat kelakuan
berakhlak sebagai sesuatu yang bernilai dan bermanfaat. Malah, ada di kalangan
mereka itu cuba meminggirkannya jauh-jauh dari sikap dan budaya hidup berakhlak
meskipun menyedari akan risikonya. Ini adalah antara ciri cintakan dunia, iaitu
satu fenomena yang boleh melalaikan seseorang daripada mengingati Allah dan
menyediakan bekalan untuk kehidupan akhirat.
KAUM MUSLIMIN RAHIMAKUMULLAH!
Memang tidak dinafikan bahawa satu daripada ciri akhlak Islam
itu ialah berkasih sayang sesama insan. Malah Nabi SAW sendiri menitikberatkan
soal berkasih sayang seperti yang ditunjukkan kepada isteri-isteri baginda,
anak-anak, fakir miskin dan lain-lain lagi. Nabi SAW menzahirkan rasa kasih
sayang kepada golongan ini dengan cara menggembirakan mereka melalui pemupukan
hubungan yang baik, gurau senda di samping pemberian pertolongan serta bantuan
yang sewajarnya. Dengan kata lain, menghormati yang tua dan menyayangi yang
muda merupakan antara akhlak Rasulullah dalam menyatakan rasa kasih sayang
baginda terhadap anggota masyarakat.
Dan kasih sayang itu pula bukanlah hanya sekadar ucapan manis
untuk melembutkan hati manusia. Ia juga bukan ungkapan sebagai lesen untuk
melakukan sesuatu yang tidak baik. Tapi, lain pula halnya dengan segelintir
generasi muda hari ini. Mereka jadikan perasaan kasih sayang itu sebagai lampu
hijau bagi melakukan perkara-perkara yang dilarang. Bagi mereka, perasaan kasih
sayang menghalalkan segala yang haram. Sebab itu, terdapat di kalangan muda-
mudi hari ini yang berpandangan sedemikian tidak segan silu melakukan
adegan-adegan yang menjolok mata seperti bercium dan berpeluk-pelukan sehingga
terjerumus melakukan zina atau hubungan seks haram tanpa rasa bersalah.
Berlakunya penyalahgunaan nilai kasih sayang sebagai kesempatan
untuk melakukan dosa dan maksiat adalah akibat daripada kedangkalan segelintir
umat Islam memahami erti kasih sayang sebenar yang diajarkan oleh Nabi Muhammad
SAW. Ia menyebabkan golongan muda-mudi Islam terikut-ikut menciplak budaya
songsang yang dipromosi oleh golongan kuffar bertujuan merosakkan akidah dan
akhlak umat Islam. Padahal, Islam memiliki khazanah akhlak mulia yang sesuai
diamalkan pada bila-bila masa seperti yang diteladankan oleh Nabi SAW kepada
kita semua.
Cuma, masyarakat memerlukan seorang pemimpin yang boleh mengubah
akhlak dan membawa mereka ke jalan diredai Allah. Dalam hubungan ini, Allah
berfirman:-
وَلْتَكُن مِّنكُمْ أُمَّةٌۭ يَدْعُونَ إِلَى ٱلْخَيْرِ
وَيَأْمُرُونَ بِٱلْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ ٱلْمُنكَرِ ۚ وَأُو۟لَـٰٓئِكَ
هُمُ ٱلْمُفْلِحُونَ ﴿١٠٤﴾
Yang bermaksud: “Dan hendaklah ada antara kamu segolongan
umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah
yang mungkar; merekalah orang yang beruntung.” (S. Ali-Imran: 104)
Maknanya, perlu ada di kalangan umat Islam yang bertanggungjawab
mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran dalam masyarakat. Sementara
dalam konteks keluarga pula, ketua keluarga yang secara umumnya merujuk kepada
bapa atau kaum lelaki dipikulkan amanah untuk melaksanakan tanggungjawab
berkenaan sebagai upaya memelihara diri dan ahli keluarga masing-masing
daripada api neraka selaras dengan firman Allah:-
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ قُوٓا۟ أَنفُسَكُمْ
وَأَهْلِيكُمْ نَارًۭا وَقُودُهَا ٱلنَّاسُ وَٱلْحِجَارَةُ عَلَيْهَا
مَلَـٰٓئِكَةٌ غِلَاظٌۭ شِدَادٌۭ لَّا يَعْصُونَ ٱللَّهَ مَآ أَمَرَهُمْ
وَيَفْعَلُونَ مَا يُؤْمَرُونَ ﴿٦﴾
Yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, pelihara dirimu
dan keluargamu daripada api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu;
penjaganya malaikat yang kasar, keras, dan tidak menderhakai Allah terhadap apa
yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang
diperintahkan.” (S. At-Tahrim: 6).
Sehubungan itu, kita
sebagai Muslim sudah sewajarnyalah berusaha untuk tampil sebagai insan
berakhlak kerana itulah sifat sebagai hamba Allah dan mukmin sebenar.
Mudah-mudahan berkat kesungguhan kita mentarbiah diri dan ahli keluarga supaya
berakhlak mulia berhasil meletakkan kita ke makam takwa yang sebenar di sisi
Allah SWT.
No comments:
Post a Comment