pergaulan
sehari-hari, kita tidak boleh terlepas daripada bergurau. Malah bergurau itu
hampir disenangi oleh setiap orang. Bergurau diibaratkan bunga dalam pergaulan
dan pengubat ketika duka. Ada orang beranggapan dengan suka bergurau wajah
seseorang itu kelihatan ceria, muda dan tenang.
Berbeza pula
dengan orang serius dan pendiam, mereka kelihatan murung dan agak tua walaupun
umur masih muda. Tanggapan itu hanya sepintas gambaran mengenai perbezaan
antara orang suka bergurau dengan orang tidak suka bergurau. Gambaran seperti
itu tidak dapat dijadikan suatu panduan kekal. Ramai juga yang tidak suka
bergurau, namun masih juga kelihatan muda, ceria dan tenang. Dalam Islam,
bergurau tidak dilarang asalkan ia gurauan yang haq (benar).
Sebaliknya jika
gurau itu sengaja dimaksudkan untuk membuat orang lain tertawa atau supaya
ditertawakan, maka sudah tentu ia dilarang. Rasulullah bersabda bermaksud,
“Sesiapa
berbicara dengan sesuatu perkataan sehingga perkataan itu menjadikan sahabatnya
tertawa, nescaya Allah akan menyeksa kelak di neraka.” (Tanqih al-Qaul, halaman
54). Sebenarnya Rasulullah pernah bergurau dengan keluarga atau sahabatnya.
Mengikut hadis yang bersumberkan daripada Hassan, ada seorang nenek datang
menghadap Rasulullah.
Di hadapan
Rasulullah nenek itu berkata, “Wahai Rasulullah, doakanlah agar saya dapat
masuk syurga.”. Kemudian baginda berkata, “Wahai nenek, ketahuilah bahawa di
syurga tidak ada orang tua seperti kamu.” Sebaik saja mendengar jawapan
Rasulullah, nenek itu terus menangis.
Tetapi kemudian
sambil tersenyum baginda bersabda lagi yang bermaksud, “Bukankah aku katakan
bahawa tidak ada orang tua masuk syurga. Semuanya berubah menjadi gadis
perawan.”
Selepas
mendengar penjelasan Rasulullah, nenek itu terus berhenti menangis. Kemudian
dia tertawa kerana mengerti bahawa dirinya kelak akan kembali menjadi gadis di
syurga.
Berdasarkan
peristiwa itu, Rasulullah dalam pergaulan sehari-hari tidak terlepas daripada
bergurau.
Mungkin kerana
sifat baginda yang suka bergurau, menyebabkan Baginda mudah didekati oleh
pengikutnya. Malah mereka juga tidak berasa bosan walaupun berada dalam suasana
menderita akibat tekanan dan gangguan daripada orang kafir Quraisy.
Mereka
menghadapi semua penderitaan itu dengan penuh ketenangan dan kegembiraan.
Itulah keperibadian Rasulullah suka bergurau dalam pergaulannya. Dengan
demikian, suasana kehidupan menjadi lebih ceria dan semakin kukuh ikatan
perpaduan.
Sebenarnya
bukan Rasulullah saja yang suka bergurau, malah sahabat dan khalifah Islam
selepas Rasulullah juga suka bergurau. Khalifah Harun al-Rasyid (salah seorang
Raja amat terkenal pada masa kerajaan Abbasiah) juga bersifat sedemikian. Pada
masa pemerintahannya, dia tidak pula mengabaikan sifat bergurau dalam pergaulan
sehari-hari.
Oleh itu,
sekalipun Khalifah Harun al-Rasyid sudah berkali-kali disakitkan hatinya oleh
Abu Nawas, salah seorang rakyatnya yang sangat terkenal kerana gurau tetapi ia
menyukainya. Bahkan ia selalu berasa rindu apabila lama tidak bertemu dengan
Abu Nawas. Kadangkala Abu Nawas sengaja dijemput ke istana semata-mata untuk
menghiburnya.
Meskipun Islam
tidak menghalang daripada bergurau, namun kita tidak boleh sembarangan
bergurau. Ini kerana terlalu banyak bergurau boleh mendatangkan kesan yang
tidak baik. Rasulullah saw bersabda yang bermaksud, “Sesiapa banyak ketawa,
nescaya orang bakal meremehkannya.” (Tanqih al-Qaul hal. 54). Menurut al-Ahnaf
pula, “Banyak ketawa boleh menghilangkan kewibawaan, sedang banyak bergurau
boleh menghilangkan harga diri”.
Oleh itu,
jelaslah bahawa bergurau adalah diharuskan dalam pergaulan. Tetapi janganlah
pula bergurau sehingga melampaui batas dan melanggari tatacara dalam pergaulan.
Dalam erti kata lain, bergurau dengan sopan sehingga jangan sampai menyinggung
perasaan seseorang dan menghinakan agama.
Selang-selikan
kehidupan dengan bergurau yang sesuai dengan tuntutan Rasulullah SAW. Bergurau
dibenarkan dalam Islam tetapi perlu ada batasannya. Jangan sampai bergurau
melukakan perasaan orang lain. Mudah-mudahan kehidupan kita ini selalu ceria,
tenang, penuh semangat untuk beribadah dan bekerja tanpa ada rasa kebosanan.
ZAITON SHAHARI
(Sumber Mutiara Hati
No comments:
Post a Comment