Bangun pagi. Berus gigi. Sarapan. Ke kelas atau kerja.
Rehat. Bersukan. Internet, email, chat dengan kawan. Facebook, web, baca
berita. Makan malam. Solat. Tidur. Ini antara rutin harian seorang insan. Jika
waktu cuti, jadual akan sedikit berbeza. Jika dicongak-congak, berapa banyak
masa yang kita luangkan untuk diri kita? Tahukah anda bahawa jika kita tidak
memberi masa untuk diri secukupnya, kita akan kecewa dan rugi? Masa untuk diri
ada kaitan dengan tekanan atau stress dalam kehidupan.
Menurut Elizabeth Scott, M.S. yang menulis di About.COM ,
dalam artikelnya Finding Time For
Yourself: How and Why You Should Find Time For Yourself , beliau mendiskusikan
perkara ini secara ringkas. Beliau menekankan bahawa aktiviti harian kita perlu
diisi dengan sesuatu yang memberi manfaat diri kita.
Cadangan beliau memang bagus. Persoalannya, manakah satu
aktiviti yang bermanfaat? Konflik yang sering berlaku ialah apabila kita
menganggap bahawa semua yang kita laksanakan memberi manfaat. Itulah sebabnya
jadual kita diisi dengan perkara tersebut - walaupun tidak dapat dinafikan
ramai yang mengisi masa dengan menonton TV beberapa jam, bermain video game dan
pelbagai aktiviti yang mendatangkan sedikit atau kurang manfaat.
Apa sebenarnya kita perlukan
Sebenarnya diri manusia mempunyai 4 bahagian iaitu
fizikal, intelek, emosi dan spiritual. Keempat-empat bahagian atau elemen ini
perlukan hak masing-masing. Malah empat elemen ini bukan sekadar untuk diri
sendiri (internal), tetapi ia melibatkan individu atau perkara lain (eksternal).
Sila perhatikan penerangan di bawah:
P - Internal - tubuh badan dan kesihatan
- Eksternal - duit dan harta
I - Internal - ilmu untuk diri sendiri
- Eskternal - ilmu, kemahiran dan bakat yang digunakan
untuk orang lain dan berinteraksi dengan dunia luar
E - Internal - emosi dengan diri sendiri
- Eskternal - emosi dengan orang lain yang diistilahkan
sebagai social intelligence
S - Internal - amalan rohani bersendirian
- Eksternal - mengingatkan atau berkongsikan aspek rohani
dengan orang lain.
Inilah 4 elemen yang kita perlukan. Manakah lebih
penting? P, I, E atau S? Internal atau eksternal?
Jawapannya: P, I, E dan S sebenarnya satu sistem yang
tidak boleh dipisahkan. Sama-sama penting. Tanpa aspek intelek (ilmu dan
berfikir_, amalan rohani kita tidak diterima kerana tidak berasaskan ilmu yang
nyata. Hanya ada 2 syarat amalan S atau spiritual akan menjadi positif : ikhlas
dan mengikut kepada Rasul. Inilah beza nilai spiritual yang ada pada individu
Muslim dan Stephen R Covey dalam bukunya The 8th Habit: From Effective to
Greatness. Beliau juga menggunakan istilah spiritual - namun kefahaman beliau
hanya terhenti pada peringkat horizontal atau sesama manusia sahaja. Ini juga
yang cuba disampaikan oleh Danah Zohar dan Ian Marshall dalam bukunya Connecting
with Our Spiritual Intelligence. Kalau kita menggunakan kefahaman istilah
rohani atau spiritual Barat atau selain Islam, ia tidak mampu membawa kepada
kejayaan hakiki dan kebahagiaan abadi.
Antara internal dan eksternal ? Dua-dua penting kerana
kita perlu menjadi abd dengan menjaga diri beribadat kepada Allah. Inilah
tujuan kita dicipta:
51: 56. dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan
manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.
Cukupkah beribadat sendirian seperti tasbih dan tahmid
seperti malaikat? Tidak cukup. Allah menerangkan tentang tugas manusia yang
lain:
khalifah di bumi”. mereka bertanya (tentang hikmat
ketetapan Tuhan itu Dengan berkata): “Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak
menjadikan di bumi itu orang Yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah
(berbunuh-bunuhan), padahal Kami sentiasa bertasbih Dengan memujiMu dan
mensucikanMu?”. Tuhan berfirman: “Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang
kamu tidak mengetahuinya”.
Menurut Qatadah yang dinyatakan dalam Tafsir Ibn Kathir,
para malaikat bertanya kepada Allah, bukankah mereka (malaikat) bertasbih dan
memuji Allah sebagai bukti ibadat yang baik, padahal khalifah itu sendiri
bermaksud mengadili individu-individu yang bertelegah atau berbeza pendapat.
Para malaikat menyatakan individu bertelagah dan berbeza pendapat ini akan
membuat kerosakan dan menumpahkah darah. Allah menjawab: Aku mengetahui apa
yang kamu tidak ketahui kerana adanya hikmah yang besar dengan penciptaan
khalifah itu - dengan adanya Rasul, Nabi, syuhada’ , siddiqin, mukmin bertaqwa,
‘abid, ulama dan yang mencintai serta mengikuti RasulNya.
Rupanya nilai eksternal menguatkan internal
Dalam diskusi di atas, rupanya tugas khalifah ini
melayakkan kita melangkaui status malaikat jika kita benar-benar melaksanakan
perintah Allah, dengan mengikuti Nabi dan Rasul. Bagaimana ini mampu
meningkatkan status kita? Lantaran dalam keadaan kepayahan dan cabaran, kita
mampu untuk beribadah kepada-Nya.
Malah, kedekatan atau muraqabah kita kepada Allah akan
bertambah apabila ujian datang melanda. Ujian tidak akan datang melanda sebesar
ujian kita duduk bersendirian - melayan fizikal, intelek, emosi dan spiritual
sendiri.Makin besar ujian dan berjaya kita hadapi, makin tinggi status kita di
sisi Allah. Itulah sebabnya Nabi Ulul Azmi amat dipuji Allah, lantaran
merekalah yang menghadapi cabaran fizikal, intelek, emosi dan spiritual yang
maha dahsyat. Kalau kita ingin bersama mereka, kita perlu mengikut jejak
mereka.
Namun ada yang terlampau banyak eksternal…
Jika cabaran eskternal ini akan mendekatkan diri kepada
Allah, sesuaikah kita mencari harta sekuat daya dalam kehidupan agar kita rapat
dengan Allah?
Jika cabaran eksternal ini akan mendekatkan diri kepada
Allah, sesuaikan kita mencurah intelek dan bakat agar kita rapat dengan Allah?
Jika cabaran eksternal ini akan mendekatkan diri kepada
Allah, sesuaikah kita masuk masyarakat agar kita rapat dengan Allah?
Semua perkara di atas berbalik kepada tujuan asas kita
diciptakan. Semua perkara di atas melibatkan nilai eksternal - sebagai
khalifah. Maka yang tertinggal ialah nilai ‘abd - di mana syarat amal diterima
ialah ikhlas dan mengikut Rasul. Jika semua perkara di atas dilaksanakan dengan
ikhlas dan mengikut Rasul, ia memenuji syarat amal diterima bagi
meningkatkan status kita di sisi Allah.
Saya sudah cuba ikhlas, dan mengikut Rasul…
Kalau diri sudah cuba ikhlas dengan belajar dan amalkan
ilmu ikhlas, belajar dan amal ilmu untuk mengikut Rasul juga penting. Jika kita
selusuri kisah Nabi Muhammad, kita akan nampak bahawa baginda meluangkan banyak
masa untuk kerja-kerja eksternal : mencari nafkah, menderma harta, mencurahkan
ilmu dan berinteraksi dengan masyarakat untuk menyeru ke arah kebaikan serta
mencegah kerosakan. Namun itu sahajakah yang perlu diikut? Ada lagi.
Pada setiap amalan Rasul ada doa - ini masa untuk diri
sendiri.Spiritual internal.
Ketika memulakan sesuatu, dibaca Bismilah. Ini spiritual
internal.
Ketika terkejut, bersin, seronok dan pelbagai perasaan
lain, diucapkan Alhamdulillah, MasyaAllah, Subhanallah, Allhu Akbar. Ini masa
untuk diri sendiri. Spiritual internal.
Di malam hari, Rasul menghadap Ilahi. Spiritual internal.
Rasul mengulang-ngulang al-Quran.
Dan banyak lagi amalan spiritual Internal.
Rasul bersama isteri dan anak serta anak-anak kecil.
Bergembira. Ini masa untuk diri. Emosi internal.
Ketika berdoa dan duduk sebentar selepas solat, ini masa
untuk diri. Emosi internal.
Saidina Umar duduk muhasabah diri. Ini amalan untuk diri.
Dan Rasul menggali ilmu dari pelbagai sumber diskusi dan
sumber wahyu. Ini intelek internal.
Sahabat belajar dari buku-buku. Ini amalan untuk
menguatkan diri di peringkat intelek internal.
Masa untuk makan. Masa untuk minum. Masa untuk tidur. Ini
semua amalan untuk fizikal internal.
Rupa-rupanya untuk mengikut Rasul harus ambil satu pakej.
Barulah kita mampu untuk mendapatkan kesan besar dan kurang stres. Kalau ada
stres, ia akan cepat dibantu Allah, dan bukan menjauhkan kita dari Allah
Subhanahu waTaala. Amalan untuk diri sendiri inilah yang akan membantu ketika
kita kelam, kabut dan keliru dalam kesibukan diri menghadapi alam eksternal.
Alam eksternal yang nampak memang mencabar. Inilah mesej ‘Aku mengetahui apa
yang kamu tidak ketahui’ yang cuba disampaikan kepada para malaikat. Alam
eksternal tidak akan mampu membantu kita ketika kita ada masalah. Kerana Allah
letakkan alam eksternal atau apa yang ada di atas muka bumi ini sebagai ujian -
siapakah yang terlebih baik amalannya:
18:7. Sesungguhnya Kami telah jadikan apa yang ada di
muka bumi sebagai perhiasan bagiNya, kerana Kami hendak menguji mereka,
siapakah di antaranya yang lebih baik amalnya.
Sudah pasti tidak mungkin meminta bantuan pada ujian itu
sendiri, seharusnya mohonlah bantuan daripada Pencipta AlKhaliq ujian tersebut.
Itulah kemahiran yang perlu diasah selalu ketika senang atau susah, lapang atau
sibuk, muda atau tua, kaya atau miskin sebelum kita menemui ajal. Selepas ajal
nanti dan dibangkitkan, masing-masing di kalangan kita akan ditanya: masa
lapangmu, apakah yang engkau telah gunakan?
Ya Allah, berilah kepadaku untuk beramal dan menguatkan
diriku . Jangan jadikan aku yang menyeru kepada kebaikan tetapi aku lupa diriku
sendiri perlu melaksanakan kebaikan tersebut. Ameen!
Sila ziarahi sumber asal: http://www.al-Muntalaq.com
No comments:
Post a Comment