Ini seperti yang disebut oleh al-Imam al-Syaukani (meninggal
1250H):
“Aku katakan; jika hanya semata-mata sangkaan maka tidak mencukupi
dalam hal ini. Bahkan mestilah dengan pengetahuan, jika tidak ia termasuk dalam
tajassus yang dilarang berdasarkan dalil al-Quran. Namun dibolehkan untuk suatu
kemaslahatan yang mana membantah kemungkaran itu lebih kukuh dibandingkan
meninggalkan tajassus dan kerosakan meninggalkan bantahan terhadap kemungkaran
lebih dahsyat dari kerosakan tajassus. Atau mungkin boleh digabungkan bahawa
pengharaman tajassus berkaitan dengan tanpa pengetahuan (sangkaan) kerana tidak
dinamakan tajassus jika perlaksananya benar-benar mengetahui”. (Al-Syaukani,
Al-Sail al-Jarar, 4/591 Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah/1405H)
Surah al-Hujurat ayat 12: (maksudnya)
“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari
sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana
sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu
mengintip mencari-cari kesalahan orang..”
Kemudian beliau mengemukakan dalil riwayat al-Hakim daripada
‘Abd ar-Rahman bin ‘Auf :
“Bahawa dia berkawal bersama Umar bin al-Khattab r.ahuma pada
suatu malam di Madinah. Ketika mereka sedang berjalan, tiba-tiba ternampak
nyalaan api di sebuah rumah. Mereka pun pergi menuju ke situ sehingga apabila
hampiri didapati pintunya berkunci, di dalamnya ada sekumpulan orang dengan
suara yang kuat.
Lalu Umar r.a. berkata -sambil memegang tangan ‘Abd ar-Rahman-:
“Kau tahukah ini rumah siapa?”. Jawab: “Tidak”. Kata Umar: “Ini rumah Rabi’ah
bin Umayyah bin Kalaf, mereka sekarang sedang mabuk arak, apa pendapat kau?”.
Kata ‘Abd ar-Rahman: “Aku berpendapat kita sekarang telah melakukan apa yang
Allah larang, Allah berfirman: “Jangan kamu mengintip”. Kita telah mengintip.
Maka Umar pun pergi dan meninggalkan mereka”.( Riwayat al-Hakim dalam
al-Mustadrak, dinilai sahih serta sokong oleh al-Zahabi).
kata al-Imam al-Ghazali (meninggal 505H) :
“Hendaklah kemungkaran tersebut zahir (jelas) kepada ahli hisbah
(pencegahan) tanpa perlu melakukan intipan. Sesiapa yang menutup sesuatu
kemaksiatan di dalam rumahnya, dan mengunci pintunya maka tidak harus untuk
kita mengintipnya. Allah Ta’ala telah melarang hal ini” (Al-Ghazali, Ihya ‘Ulum
al-Din, 3/28, Beirut: Dar al-Khair/1990).
No comments:
Post a Comment