Friday, 3 February 2012

ISLAM LARANG MAKSIAT


Persoalan arak dan zina serta Hukum Islam kembali menjadi isu hangat di negara ini selain isu selesema babi. Sebenarnya isu ini adalah isu yang berkait dan turut menjadi isu global.



Isu arak menjadi hangat apabila YB Ronnie Liu iaitu Exco Kerajaan Negeri Selangor dari DAP bertindak campurtangan dalam kerja-kerja penguatkuasaan pihak PBT MBSA dengan mengarahkan pihak MBSA memulangkan minuman mengandungi arak yang dirampas kerana dijual secara terbuka di kawasan majoriti penduduk Islam di Shah Alam.

Isu zina pula timbul ekoran dari gesaan pihak-pihak tertentu yang simpati dengan mendiang Teoh Beng Hock agar anak luar nikah yang dikandung tunangnya didaftarkan sebagai anak sah taraf dan di ‘bin’ kan dengan nama Teoh.



Isu Jeff Ooi dari DAP yang juga Ketua Staf Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang melabelkan seorang ahli JIM yang juga Ahli Majlis Bandaraya Pulau Pinang sebagai seorang ekstrimis Islam turut hangat diperkatakan.



Dalam hal ini saya ingin mengucapkan tahniah kepada Dr Ridhuan Tee, pensyarah di Universiti Pertahanan Nasional melalui tulisan beliau di akhbar Mingguan Malaysia yang begitu berani menyatakan kebenaran dan membidas segelintir pemimpin DAP yang masih ‘kurang faham’ dan sensitif dengan orang melayu dan Islam yang banyak bertolak ansur dengan kaum lain yang bukan beragama Islam.



Dr Ridhuan Tee melalui tulisan beliau jelas menyatakan bahawa agama Buddha dan Kristian turut mengharamkan arak dan zina namun para pengikutnya telah terseleweng dan ‘menghalalkan’ perbuatan tersebut lalu menjadi ‘budaya’ dalam hidup mereka.

Banyak keburukan yang akan timbul dari perbuatan berzina dan meminum arak namun manusia yang diberi akal masih ‘membodohkan’ diri mereka dengan menghalalkan perbuatan tersebut.



Perbuatan berzina akan menodai pertalian suci keturunan manusia, menyebabkan masalah buang bayi dan penyakit kelamin seperti Aids dan lain-lain manakala meminum arak akan menjadi punca kepada masalah sosial lain seperti berzina, bunuh membunuh akibat mabuk dan kemalangan jalanraya.



” Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya (meminum) khamar (arak), berjudi, berkorban untuk berhala, mengundi nasib dengan panah, adalah perbuatan keji termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat kejayaan”. (Terjemahan Al Qur’an: Surah Al Maaidah ayat 90)



“Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan keji. Dan suatu jalan yang buruk”. (Terjemahan Al Qur’an : Surah Al Isra’ ayat 32)

Justeru langkah penguatkuasaan perlu diberi penekanan setelah langkah pendidikan dan amaran menjadi mainan bagi sesetengah manusia yang masih berdegil.



Penguatkuasaan dan hukuman perlu berlandaskan Islam kerana ia akan memberi kesan kepada individu dan masyarakat. Hukum yang dicipta manusia tidak akan dapat menyelesaikan masalah yang melanda.



Hukum sebat 100 kali di khalayak ramai bagi penzina dan 80 kali bagi peminum arak akan membuatkan ramai manusia berfikir panjang untuk melakukan kesalahan berzina dan meminum arak.



Hukuman merotan sebanyak 100 kali dan 80 kali bukanlah terlalu kejam kerana rotan dan kaedah yang digunakan bukan seperti yang dilakukan dalam hukuman sebatan yang diputuskan oleh Mahkamah Sivil. Namun demikian ia akan memberi kesan psikologi yang besar kepada individu yang bersalah dan memberi pengajaran kepada masyarakat agar tidak melakukan kesalahan tersebut.



Kaum lain yang belum beragama Islam juga perlu diberi penerangan bahawa Hukum Islam adalah amat berkesan untuk melindungi masyarakat awam dari perbuatan jenayah dan mengurangkan masalah sosial. Kaum lain yang kebanyakannya lebih kaya akan merasa lebih aman kerana individu yang ingin melakukan rompakan atau mencuri pasti merasa takut kerana tangan mereka akan dipotong jika melakukan kesalahan tersebut dengan sengaja dan bukan atas faktor ketiadaan makanan.



“Laki-laki yang mencuri dan perempuan yang mencuri, potonglah tangan kedua-duanya (sebagai) pembalasan bagi apa yang mereka kerjakan dan sebagai siksaan dari Allah. Dan Allah Maha perkasa lagi Maha Bijaksana”. (Terjemahan Al Qur’an: Surah Al Maaidah ayat 38)



Selain itu kaum lain di Malaysia juga perlu membuka mata melalui lautan maklumat di internet bahawa Islam adalah agama paling pesat berkembang di dunia ketika ini dan bakal mengatasi jumlah penganut Kristian kerana ia adalah agama yang  benar dan suci serta bersesuaian dengan fitrah manusia.



” Sesungguhnya agama yang diredhai di sisi Allah hanyalah Islam. Tiada berselisih orang-orang yang telah diberi Al Kitab (kitab-kitab yang diturunkan sebelum Al Qur’an)  kecuali sesudah datang pengetahuan kepada mereka, kerana kedengkian (yang ada) di antara mereka. Barangsiapa yang kafir terhadap ayat-ayat Allah maka sesungguhnya Allah sangat cepat perhitunganNya. ” (Terjemahan Al Qur’an : Surah Aali Imran ayat 19)

” Dan tiadalah kami mengutuskan kamu (Nabi Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi semesta alam”. (Terjemahan Al Qur’an: Surah Al Anbiyaa’ ayat 107)

No comments:

Post a Comment