MENURUT
ISLAM
1.
TUJUAN
1.1.
Garis panduan ini disediakan untuk dijadikan panduan kepada umat Islam
khususnya mereka yang terlibat dengan amalan seni mempertahankan diri
tradisional (silat) supaya terhindar dari amalan yang bertentangan dengan
akidah dan syariat Islam yang sebenar.
2.
PENDAHULUAN
2.1.
Islam amat menitikberatkan soal-soal akidah dan syariah. Segala amalan dan
kepercayaan yang tidak berdasarkan kepada sumber-sumber asal Al-Quran, Hadis,
Ijmak dan Qias adalah ditolak. Kepercayaan-kepercayaan dan amalan-amalan
tertentu dalam masyarakat Islam di Malaysia sedikit sebanyak ada hubungkaitnya
dengan pengaruh fahaman Anamisme, Dinamisme, Hindu, Buddha dan Syiah (Ghulu)
yang sebahagiannya telah menjadi darah daging kepada pengamal suci mempertahankan
diri tradisional (silat). Oleh itu gari panduan ini perlu dijadikan asas dan
panduan supaya dapat mengelakkan diri dari terjerumus ke dalam penyelewengan
akidah dan syariat Islam. Allah berfirman dalam surah Yunus, ayat 106:
ولا تدع من دون الله ما لا ينفعك
ولا يضرك فان فعلت فانك اذا من الظالمين
(سورة
يونس : 106)
Bermaksud:
“Dan
janganlah kamu menyembah apa-apa yang tidak memberi manfaat dan tidak (pula)
memberi mudharat kepadamu selain Allah; sebab jika kamu berbuat (yang demikian)
itu, maka sesungguhnya kamu termasuk orang-orang yang zalim”.
2.2.
Dalam sejarah Islam memang wujud pahlawan-pahlawan yang tekemuka di kalangan
para sahabat Rasulullah s.a.w. Mereka telah berjuang menentang Musyrikin
Quraisy dan penentang-penentang ajaran Islam dari kalangan Munafikin. Antara
sahabat berkenaan ialah Saidina Ali, Khalid Ibnu Walid, Amru b. As-As, Abu
Ubaidah b. Al-Jarrah, Saad b. Abi Waqas dan lain-lain lagi. Di dalam Al-Quran
didapati banyak ayat-ayat yang menunjukkan bahawa perlunya umat Islam
mempersiapkan diri dan kelengkapan senjata serta kemudahan-kemudahan yang perlu
untuk mempertahankan agama, diri dan negara. Antaranya ayat 61 surah Al-Anfaal:
وان جنحوا للسلم فاجنح لها وتوكل
على الله انه هو السميع العليم
(الانفال : 61)
Bermaksud:
“Dan
jika mereka (pihak musuh) cenderung kepada perdamaian, maka engkau juga
hendaklah cenderung kepadanya serta bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya
Ia Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui”.
2.3.
Di dalam ilmu persilatan terdapat beberapa syarat yang perlu dipatuhi sama ada
ketika hendak masuk silat, setelah masuk atau selepas tamat dan diijazahkan. Di
antara syarat-syarat tersebut:
(a)
menyediakan pengeras seperti pulut kuning, limau purut, kain putih, bayaran
pengeras dan sebagainya.
(b)
mandi dengan air mandian tertentu sebagai lambang membersihkan segala kekotoran
zahir dan batin.
(c)
tidak boleh meninggalkan sembahyang.
(d)
Tidak boleh banyak bertanya ketika guru sedang mengajar atau mempersoalkan
sebarang tindakan guru.
(e)
Melakukan gerak silat membuka atau menutup gelanggang setiap kali memula atau
menamatkan latihan silat.
2.4.
Guru memainkan peranan penting di dalam menyampaikan sesuatu ilmu bagi menjamin
kesahihan dan kesempurnaan ilmu tersebut. Di dalam ilmu persilatan, guru adalah
lambang kesempurnaan.
2.5.
Sesuatu seni mempertahankan diri tradisional (silat) itu perlulah didasarkan
kepada garis pandua berikut bagi mengenalpasti ianya terhindar dari
perkara-perkara yang bercanggah dengan syariat Islam:
(a)
Asal Usul Silat
(b)
Syarat-Syarat Silat
(c)
Guru Silat
(d)
Ikrar Sumpah dan Taat Setia
(e)
Pantang Larang
(f)
Adab
(g)
Gerak Langkah
(h)
Amalan Dalam Silat
(i)
Pengijazahkan
(j)
Matlamat Silat
3.
GARIS PANDUAN SILAT DAN SENI MEMPERTAHANKAN DIRI
3.1.
Asal-Usul Silat
3.1.1.
Demi menjaga kesucian akidah Islam, beberapa perkara perlu diambil perhatian
iaitu setiap individu atau kumpulan tidak boleh mendakwa bahawa:
(a)
Silat mereka bersumber dari Nabi Muhammad s.a.w. para anbia atau diambil dari
Al-Quran dan Hadis atau berasal dari amalan para sahabat Nabi s.a.w.
(b)
Teknik atau pergerakan persilatannya berasal dari ibadat-ibadat tertentu
seperti rukun-rukun sembahyang.
(c)
Seni silat mereka bersumberkan mimpi bertemu Rasulullah s.a.w. atau para anbia
yang lain atau para sahabat serta ulama.
3.2.
Syarat-syarat Silat
3.2.1.
Bagi mempastikan syarat-syarat di dalam ilmu persilatan tidak bercanggah dengan
ajaran Islam maka:
(a)
Semua perkara yang wajib dilakukan atau ditinggalkan oleh seorang Islam, yang
mukallaf tidak boleh dijadikan syarat di dalam silat seperti sembahyang, puasa,
jangan durhaka kepada ibubapa, sehingga mendatangkan anggapan bahawa perkara
wajib tersebut menjadi wajib hanya apabila dijadikan syarat.
(b)
Tidak boleh mengaitkan sesuatu pengeras dengan suatu akibat yang dipercayai
boleh merosakkan pegangan akidah.
(c)
Tidak boleh percaya kepada sial seperti mandi membuang sial atau mandi-mandi
tertentu yang dikaitkan dengan persilatan.
(d)
Tidak boleh melakukan gerak silat atau bacaan tertentu yang mengandungi
unsur-unsur meminta izin atau bantuan dari kuasa-kuasa makhluk “ghaib” dalam
acara “gerak membuka atau menutup gelanggang”, “’ayat kebal” atau “pukulan
angin maut” atau sembelih ayam dalam gelanggang.
(e)
Tidak boleh mentaati guru atau seseorang pada perkara-perkara yang jelas
bercanggah dengan akidah dan syariat Islam.
(f)
Sebarang syarat yang bertentangan dengan akidah, syariah dan akhlak Islam.
3.3.
Guru Silat
3.3.1.
Guru silat yang beragama Islam hendaklah bukan terdiri daripada:
(a)
mereka yang melakukan perkara-perkara syirik, sama ada melalui perkataan,
perbuatan atau iktikad.
(b)
mereka yang melakukan maksiat/jenayah dan yang bertentangan dengan moral.
(c)
pemecah belah masyarakat.
(d)
Mereka yang mentafsir ajaran agama Islam mengikut hawa nafsu.
3.3.2.
Jika seseorang guru silat hendak melibatkan diri dalam hal agama hendaklah
mengetahui asas-asas agama Islam sama ada fardhu ain atau fardhu kifayah
seperti rukun Islam, rukun Iman, cara mengerjakan sembahyang dan sebagainya.
3.3.3.
Guru silat dilarang memasukkan atau menggunakan unsur-unsur yang bercanggah
dengan Islam seperti sihir dan ilmu kebal di dalam ilmu persilatan.
3.4.
Ikrar Sumpah Dan Taat Setia
3.4.1.
Sumpah tidak dibolehkan sebaliknya hanya ikrar.
3.4.2.
Murid-murid tidak boleh taat secara membuat tuli kepada guru. Mereka hendaklah
mengikut perintah guru selama tidak bercanggah dengan perintah Allah.
3.4.3.
Sumpah tidak boleh digunakan kepada perkara-perkara yang telahpun diwajibkan di
dalam Islam seperti bersumpah akan taat kepada ibubapa, bersumpah akan taat
kepada Allah dan Rasul dan sebagainya.
3.4.4.
Bacaan-bacaan, amalan dan ikrar yang terdapat di dalam sumpah hendaklah
mengandungi perkara-perkara yang tidak bercanggah dengan akidah dan syariat
Islam seperti memuja dewa, atau nama berhala.
3.4.5.
Di dalam upacara sumpah dan bai’ah sama ada dari segi fizikal atau mental
hendaklah tidak mempunyai unsur-unsur yang mensyirikkan Allah dan menjatuhkan
maruah seseorang sebagai umat Islam.
3.5.
Pantang Larang
3.5.1.
Suatu pantang larang hendaklah bukan daripada perkara-perkara yang jelas
diwajibkan di dalam Islam seperti tidak meninggalkan sembahyang, jangan
berkelahi sesama ahli dan sebagainya.
3.5.2.
Suatu pantang larang tidak boleh dikaitkan dengan unsur-unsur pemujaan, meminta
izin, perlindungan atau bantuan daripada makhluk-makhluk ghaib seperti larangan
berludah kerana ditakuti tidak menjadi.
3.5.3.
Tidak boleh memenuhi kehendak pantang larang sehingga melakukan perkara-perkara
yang ditegah di dalam Islam seperti meninggalkan tanggungjawab sebagai suami
atau isteri dan sebagainya.
3.5.4.
Perkara-perkara yang harus dan halal tidak boleh dihukumkan haram.
3.6.
Adab
3.6.1.
Adab Murid Dengan Guru:
(a)
Guru tidak boleh menganggap dirinya yang paling mulia dan tidak pernah
bersalah.
(b)
Guru hendaklah mengelakkan diri dari dianggap orang yang perlu ditaati secara
mutlak.
(c)
Guru tidak boleh menganggap orang lain lemah dan lekeh.
(d)
Guru hendaklah melarang murid-muridnya memuja, mengagung dan taksub kepadanya.
3.6.2.
Adab Sesama Murid Seperguruan:
(a)
Seseorang murid tidak boleh memberikan hak secara khusus kepada murid
seperguruannya sahaja, seperti memberi ucapan salam, tidak boleh bergaduh
sesama ahli dan sebagainya.
(b)
Seseorang murid tidak boleh menanam atau mengapi-apikan perasaan bangga diri
dan taksub kepada kumpulannya sehingga memandang hina dan negatif kepada orang
lain.
3.6.3.
Adab Murid Dengan Orang Lain
(a)
Seseorang murid tidak boleh mengutamakan guru silat dan murid-murid
seperguruannya sehingga mengabaikan hak dan kewajipannya kepada ibubapa, suami,
isteri, anak dan ahli keluarga.
(b)
Seseorang murit tidak boleh memandang rendah dan hina terhadap orang bukan dari
kalangan ahli silatnya.
(c)
Seseorang murid yang beragama mesti menjalinkan ikatan persahabatan sama ada
sesama ahli atau orang lain.
3.7.
Gerak Langkah
(a)
Gerak langkah silat tidak boleh dikaitkan dengan zat Allah dan sifat-sifat-Nya
atau merupakan maksud di sebalik kalimah atau nama-nama Allah atau
sifat-sifatNya.
(b)
Gerak langkah silat tidak boleh diertikan sebagai maksud yang tersirat daripada
ahli atau jasad Rasulullah s.a.w., para malaikat, nabi-nabi dan orang soleh.
(c)
Gerak langkah silat tidak boleh dimaksudkan dengan perkara-perkara yang
berkaitan dengan agama Islam atau perlakuan-perlakuan ibadat yang tertentu
seperti dua kalimah syahadah dan sembahyang.
3.8.
Amalan Dalam Silat
(a)
Tidak boleh memuja dan memperhambkan diri kepada sesuatu kuasa atau peribadi
yang boleh mendatangkan nasib baik atau buruk kepada seseorang seperti hantu,
dewa, keramat, kubur, keris, busut dan sebagainya.
(b)
Tidak boleh menggunakan tangkal dan azimat yang mengandungi rajah-rajah atau
tulisan-tulisan yang tidak difahami, objek-objek tertentu dan bercampuraduk
dengan ayat Al-Quran.
(c)
Tidak boleh mengamalkan bacaan-bacaan tertentu yang tidak difahami maknanya
dikhuatiri mengandungi kata-kata pemujaan kepada berhala, iblis, syaitan atau
nama berhala orang kafir serta bercampur aduk dengan ayat al-Quran.
(d)
Tidak boleh meninggalkan ibadat-ibadat wajib yang dituntut di dalam Islam
seperti sembahyang lima waktu dan puasa di bulan Ramadan ketika melakukan
amalan silat.
3.9.
Pengijazahan
(a)
Tidak boleh melakukan isyarat sembah atau gerak tubuh yang melambangkan
ketundukan yang menyamai atau melebihi ketundukan yang hanya layak kepada Allah
sahaja seperti tidak sembah kepada guru.
(b)
Tidak boleh melakukan upacara-upacara yang mengandungi unsur-unsur penyembahan,
pemujaan, memohon bantuan atau memperhambakan diri kepada kuasa-kuasa atau tenaga-tenaga
ghaib seperti mempersembahkan sedulang makanan, menyembelih ayam dan
sebagainya.
3.10.
Matlamat Silat
(a)
Matlamat silat hendaklah matlamat yang baik seperti untuk kesihatan tubuh
badan, mendisiplinkan diri, hidup bermasyarakat, untuk mempertahankan diri dari
bahaya dan sebagainya.
(b)
Matlamat silat tidak boleh:
(i)
Untuk membalas dendam, menuntut bela, membuat aniaya, menakut-nakutkan dan
mengugut orang lain.
(ii)
Untuk menanam sifat berani yang keterlaluan sehingga hilang hormat kepada
ibubapa, guru, ahli keluarga dan lain-lain.
(iii)
Untuk memupuk sentimen perkauman atau taksub golongan/kumpulan ekstrim agama
yang melampau di kalangan ahli.
4.
PENUTUP
Dengan
mengikut garis panduan ini diharapkan para pengamal silat dan seni
mempertahankan diri supaya dapat menghindarkan diri menyimpang daripada ajaran
Islam yang benar, agar hidup sentiasa dirahmati Allah S.W.T.
Jabatan
Kemajuan Islam Malaysia,
Kuala
Lumpur
No comments:
Post a Comment