Fatwa Dr Yusuf Qardawi Tentang Tuduhan Zina / Liwat. Tarikh: 19
Nov 1999, Masa: 02:50:00
Menuduh orang-orang yang bersih dengan tohmahan-tohmahan,
terutama tohmahan-tohmahan yang besar seperti berzina, liwat dan membunuh
merupakan satu perbuatan yang diharamkan secara tegas oleh Islam. Bahkan ia
termasuk dalam dosa-dosa besar yang boleh mendatangkan kemurkaan Allah dan
azab-Nya.
Sebabnya, tohmahan-tohmahan seperti itu berupaya untuk menyerang
kemuliaan diri orang-orang yang beriman sama ada lelaki atau perempuan. Ianya
juga boleh menyebabkan orang ramai berburuk sangka terhadapnya… Perkara
sedemikian juga menyebabkan tersebarnya kejahatan di kalangan orang-orang yang
beriman. Oleh itu, al-Quran mengecam keras perilaku seperti ini dan mengancam
para pendusta yang melakukannya dengan seksaan di dunia dan di akhirat. Firman
Allah s.w.t.: “Dan orang-orang yang menyakiti orang-orang yang mukmin dan
mukminat tanpa kesalahan yang mereka lakukan, maka sesungguhnya mereka telah
memikul kebohongan dan dosa yang nyata.” (Surah al-Ahzab 33:58)
Allah s.w.t. juga berfirman: “Sesungguhnya orang-orang yang
menuduh wanita-wanita yang baik-baik yang lengah (iaitu tidak pernah terlintas
untuk melakukan perbuatan yang keji) lagi beriman (dengan tuduhan zina), mereka
terkena laknat di dunia dan di akhirat dan bagi mereka azab yang besar. Pada
hari (ketika) lidah, tangan dan kaki mereka menjadi saksi atas mereka terhadap
apa yang dahulu mereka kerjakan. Di hari itu, Allah akan memberi mereka balasan
yang setimpal menurut semestinya dan tahulah mereka bahawa Allah lah yang
Benar, lagi yang menjelaskan (segala sesuatu menurut hakikat yang sebenarnya).”
(Surah an-Nur 24: 23-25)
Para ulama telah sepakat (ijmak) mengatakan bahawa dosa dan
hukuman terhadap orang yang melemparkan tuduhan ke atas lelaki mukmin adalah
serupa dengan dosa dan hukuman terhadap mereka yang melemparkan tuduhan ke atas
wanita mukminat.
Ayat di atas turun dalam bentuk seperti ini (menggunakan
perkataan mukminat) kerana ayat tersebut diturunkan khas sebagai pembelaan
terhadap Ummul Mukminin, Aishah As-Siddiqah binti Abu Bakar As-Siddiq. Beliau
merupakan salah seorang isteri yang paling dicintai oleh Rasulullah s.a.w.
selepas Khadijah, Peribadi yang suci ini terpaksa berhadapan dengan tuduhan
yang keji.
Orang-orang munafik menyebarkan khabar angin tentangnya dan
melemparkan tohmahan bahawa beliau telah melakukan skandal dengan salah seorang
sahabat Rasulullah s.a.w. yang tidak pernah diragui kebersihan peribadinya.
Orang-orang munafik benar-benar telah menggunakan peluang ini dengan
mengobarkan api fitnah.
Demikianlah kisah yang berkaitan dengan “Hadith al-Ifki” atau
“Insiden Fitnah” yang telah meresahkan rumah Nabi s.a.w., rumah Abu Bakar
as-Siddiq serta seluruh bandar Madinah. Akhirnya turunlah ayat al-Quran bagi menerangkan
perkara tersebut secara jelas dan tegas dan mengembalikan keadaan seperti
sediakala. Ayat tersebut juga telah membisukan lidah para pendusta dan
membersihkan kembali nama Aishah yang jujur dan suci daripada segala tuduhan
jahat. Selepas turunnya ayat-ayat tersebut, kaum Muslimin pun merasa lega
kerana telah terkeluar daripada fitnah yang keras dan pahit itu.
Bacalah firman Allah s.w.t. dalam surah an-Nur: “Sesungguhnya
orang-orang yang membawa berita bohong itu adalah daripada golongan kamu juga.
Janganlah kamu mengira bahawa berita bohong itu buruk bagi kamu. Tiap-tiap
seseorang dari mereka mendapat balasan dari dosa yang dikerjakannya. Dan siapa
di antara mereka yang mengambil bahagian yang terbesar dalam penyiaran berita
bohong itu baginya azab yang besar. Mengapa di waktu kamu mendengar berita
bohong itu orang-orang mukminin dan mukminat tidak berbaik sangka terhadap diri
mereka sendiri, dan (mengapa tidak) berkata: ‘Ini adalah suatu berita bohong
yang nyata.’ Mengapa mereka (yang menuduh itu) tidak mendatangkan empat orang
saksi atas berita bohong itu? Oleh kerana mereka tidak mendatangkan saksi-saksi
maka mereka itulah pada sisi Allah orang-orang yang dusta.” (Surah an-Nur
24:11-13)
Inilah hukum Allah yang tegas: sesiapa yang menuduh orang lain
telah melakukan perbuatan keji seperti berzina (atau liwat) maka dia mesti
mengukuhkan tuduhannya itu dengan mendatangkan empat orang saksi yang adil dan
tidak cacat keperibadiannya. Kesemua saksi itu mestilah telah melihat yang
tertuduh sedang melakukan perbuatan zina (liwat) secara jelas dengan mata
kepala mereka sendiri… Jika orang yang menuduh tidak berjaya mendatangkan empat
saksi, maka dia dianggap sebagai seorang pendusta di sisi Allah s.w.t. Allah
menegaskan bahawa si pendusta ini mesti dikenakan hukuman syariah, bahkan dia
terkena tiga jenis hukuman yang tertera al-Quran al-Karim, berdasarkan firman
Allah s.w.t. “Dan orang-orang yang menuduh wanita-wanita yang baik-baik
(berbuat zina) dan mereka tidak mendatangkan empat orang saksi, maka sebatlah mereka
(yang menuduh itu) dengan 80 kali sebatan, dan janganlah kamu terima kesaksian
mereka buat selama-lamanya. Dan mereka itulah orang-orang yang fasik.” (Surah
an-Nur 24:4, 5)
Ayat-ayat yang mulia di atas menyebutkan tiga jenis hukuman
terhadap jenayah yang keji itu:
PERTAMA:
Hukuman fizikal, iaitu disebat sebanyak lapan puluh sebatan. Sebatan yang
menyakitkan tubuh badannya itu merupakan balasan terhadap perbuatannya
menyakiti peribadi orang-orang yang baik. Tuduhan yang telah disebarkannya itu
juga boleh memusnahkan kehidupan orang-orang yang dituduh berserta kaum
keluarganya.
KEDUA:
Hukuman moral dan sosial, iaitu dengan menggugurkan segala pertimbangan moral
dan sosial orang yang menuduh itu. Kesaksiannya dalam urusan kewangan, sivil,
sosial, politik tidak boleh diterima pakai. Ia mencakupi seluruh jenis
kesaksian…..
KETIGA:
Hukuman agama, iaitu dengan menggelarnya sebagai orang yang fasik dan
memasukkannya ke dalam golongan ‘fasiqun’. Al-Quran menyebutkan
kefasikan sebagai lawan daripada keimanan. Allah s.w.t. berfirman: “Maka adakah
orang-orang yang beriman serupa dengan orang yang fasik? Mereka tidak sama.
Adapun orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal salih, maka bagi mereka
syurga-syurga tempat kediaman, sebagai pahala terhadap apa yang mereka
kerjakan. Adapun orang-orang yang fasik, maka tempat mereka ialah neraka.”
(as-Sajdah 32: 18-20)
Walau bagaimana pun, dengan rahmat dan kasihnya Allah masih lagi
membuka pintu taubat bagi mereka yang ingin menyucikan dan membersihkan diri.
Firman Allah: “Kecuali orang-orang yang bertaubat sesudah itu dan memperbaiki
(dirinya), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah
an-Nur 24: 5)
Imam Abu Hanifah berpendapat bahawa taubat hanya diperkenankan
bagi memansuhkan hukuman terakhir, iaitu penggelaran dirinya sebagai fasik.
Taubat tidak memansuhkan hukum gugurnya kesaksian dari pihaknya. Sebab perkara
‘gugurnya kesaksian’ dalam ayat di atas disifatkan Allah sebagai kekal, “Dan
janganlah kamu terima kesaksian mereka buat selama-lamanya”.
Jenayah melemparkan tohmahan itu boleh menjadi lebih besar jika
orang yang dituduh dikenali oleh khalayak ramai sebagai orang yang istiqamah
dan salih. Mereka mengenalnya sebagai orang yang baik dan tidak pernah
menyaksikan sebarang kejahatan dilakukannya. Sesungguhnya suara orang ramai
merupakan pena-pena kebenaran. Kesaksian yang boleh dipertimbangkan hanyalah
kesaksian orang-orang yang salih dan baik.
Pandangan dan sikap Islam dalam menjaga maruah, kemuliaan dan
kehormatan diri seseorang amat tegas dan keras. Islam tidak membenarkan seorang
Muslim menyakiti perasaan seorang saudaranya sesama Muslim dengan perkataan
menghina, sama ada di hadapannya atau di belakangnya. Allah berfirman: “Hai
orang-orang yang beriman, jauhilah dari kebanyakan dari syak wasangka,
sesungguhnya sebahagian daripada syak wasangka itu adalah dosa dan janganlah
kamu mencari-cari kesalahan orang lain dan janganlah sebahagian kamu mengumpat
sebahagian yang lain. Sukakah salah seorang di antara kamu memakan daging
saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Dan
bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha penerima taubat lagi Maha
Penyayang.” (Surah al-Hujurat 48: 12)
Dalam satu hadis sahih, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Setiap
Muslim diharamkan untuk mencerobohi darah, harta dan maruah saudaranya sesama
Muslim.”
Jika Islam tidak menentukan sikap yang tegas seperti ini tentu
akan terjadi perbalahan di antara selurah manusia, manakala kemuliaan serta
maruah diri mereka akan ditindas. Akhirnya musnahlah seluruh hak dan kebebasan.
Bertolak atas kesedaran ini pula Islam memerintahkan kita untuk
tidak menceritakan aib orang lain demi menjaga maruah dan peribadinya.
Rasulullah s.a.w. telah bersabda kepada seseorang yang menggesa Ma’iz untuk
mengaku berzina sehingga dijatuhkan hukuman rejam, “Jika engkau tutupinya
dengan bajumu tentu lebih baik untukmu”. Rasulullah juga bersabda: “Seluruh
umatku akan memperoleh pengampunan, kecuali orang-orang yang suka menyebarkan
aib orang lain.” Dan baginda bersabda: “Sesiapa yang menutupi kesalahan seorang
Muslim nescaya Allah akan menutupi (kesalahannya) di dunia dan akhirat.”
Allah s.w.t. juga berfirman dalam al-Quran al-Karim:
“Sesungguhnya orang-orang yang ingin agar (berita) perbuatan yang amat keji itu
tersiar di kalangan orang-orang yang beriman, bagi mereka azab yang pedih di
dunia dan di akhirat.” (Surah an-Nur 24: 19)
No comments:
Post a Comment