Melihat Bakal Isteri
Di antara perkara sunat yang digalakkan dalam Islam ialah
seseorang lelaki melihat perempuan yang ingin dikahwininya sebelum peminangan.
Syarak membenarkan melihatnya tanpa kebenaran dan pengetahuannya supaya dia
tidak berhias terlebih dahulu. Jika perempuan tersebut berhias, tujuan melihat
mungkin tidak akan tercapai.
Lelaki tersebut boleh melihat bakal tunangnya 2 atau 3 kali jika
perlu untuk melihat dengan lebih jelas lagi kerana biasanya matlamat yang
dikehendaki tidak tercapai hanya dengan sekali pandang.
Nabi s.a.w bersabda kepada Mughirah bin Syu’bah sewaktu dia
berazam untuk meminang seorang wanita: “Lihatlah perempuan itu semoga ia akan
mengekalkan kasih sayang antara kamu berdua”(1)
Sahal bin Saad r.a berkata: “Seorang perempuan datang menemui
Nabi dan berkata: “Wahai Rasulullah! Aku datang untuk menyerahkan diriku
kepadamu.” Nabi memerhatikan perempuan itu atas dan bawah kemudian Baginda
menundukkan kepalanya” (2)
Maksud menyerahkan diriku kepadamu ialah aku serahkan urusan
diriku kepadamu, samada kamu mengahwini aku tanpa mas kahwin ataupun kamu
mengahwinkan aku dengan sesiapa yang engkau rasa sesuai. Maksud Baginda
menundukkan kepalanya ialah setelah melihat perempuan itu ialah Baginda tidak
lagi mengulangi perbuatannya memerhati perempuan tersebut.
Abu Hurairah r.a berkata: “Ketika aku berada bersama Nabi s.a.w,
Baginda didatangi seorang lelaki dan memberitahu bahawa dia berkahwin dengan
seorang perempuan Ansar. Nabi bertanya: “Adakah kamu telah melihat perempuan
itu? Beliau menjawab: “tidak.” Nabi bersabda: “Pergi dan lihatlah perempuan itu
kerana sesungguhnya mata orang-orang Ansar itu berbeza dengan mata orang lain
(yang dia mungkin tidak berkenan). (3)
Abu Humaid as-Saidi r.a berkata: Rasulullah s.a.w bersabda:
“Jika salah seorang dari kamu ingin meminang seorang wanita, dia tidak berdosa
jika melihat wanita tersebut untuk meminangnya, sekalipun perempuan itu tidak
mengetahuinya.” Riwayat Ahmad 5/424
Wanita juga berhak melihat lelaki jika dia ingin berkahwin
dengan lelaki tersebut supaya dia boleh melihat keadaannya dengan lebih jelas agar
tidak menyesal selepas berkahwin. Sesungguhnya perempuan juga tertarik dengan
beberapa sifat seseorang lelaki sebagaimana lelaki tertarik dengan beberapa
sifat seseorang perempuan.
Batas-Batas Seorang Lelaki Melihat Bakal Isterinya
Seseorang lelaki tidak diharuskan melihat bakal tunangnya
melainkan muka dan tapak tangannya (depan dan belakang). Muka dan tapak tangan
adalah anggota zahir yang dimaksudkan oleh firman Allah:
وَلا
يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلا مَا ظَهَرَ مِنْهَا
“dan janganlah mereka menampakkan
perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak daripadanya.”
Hikmat pandangan hanya dihadkan kepada muka dan tapak tangan
sahaja ialah kerana muka menunjukkan kecantikan dan tapak tangan memperlihatkan
kesuburan badan dan kelembutannya.
Sekiranya seseorang lelaki itu tidak berpeluang melihatnya
sendiri, dia boleh menghantar seorang wanita untuk melihat dan menceritakan
sifat-sifat wanita tersebut kepadanya. Rasulullah s.a.w pernah menghantar Ummu
Sulaim untuk melihat seorang wanita dan Baginda s.a.w berkata kepadanya:
“Lihatlah kedua-dua ketingnya dan ciumlah bau badannya.”
Difahami daripada hadith di atas, perempuan yang dihantar oleh
lelaki untuk melihat bakal tunangnya boleh melihat lebih daripada apa yang
boleh dilihat oleh lelaki itu sendiri maka matlamat atau faedahnya tentu lebih
banyak lagi.
(1)
Riwayat Tirmizi dan
beliau mengatakan hadith hasan dalam kitab nikah, bab hadith-hadith berkaitan
dengan melihat tunang no 1087, Ibnu
Majah dalam kitab nikah bab melihat perempuan yang ingin dikahwini no 1865 dan
selain mereka berdua.
(2)
Riwayat Bukhari dalam
kitab nikah bab melihat perempuan sebelum berkahwin no 4833, Muslim dalam kitab
nikah bab harus mas kahwin dalam bentuk mengajar Al-Quran no 1524.
(3)
Riwayat Muslim dalam
kitab nikah bab sunat memandang muka dan tangan perempuan yang ingin dikahwini
no 1424.
No comments:
Post a Comment