Bumi
Mesir diberi kelebihan oleh Allah SWT dengan bersemadinya sekalian ramai jasad
Ahlul Bait. Antara mereka ialah Sayyidah Nafisah r.anha. Nama Sayyidah Nafisah
tidak asing lagi bagi umat Islam di Mesir. Masjid beliau yang terletak
berhampiran kubu Salahudin Al-Ayubi, Kaherah menjadi saksi betapa kasihnya umat
Islam kepada beliau apatah lagi tanggal 9 Jamadilakhir setiap tahun, ramai umat
Islam akan berkumpul di perkarangan masjid beliau bagi merayakan maulid beliau.
Berdekatan
masjid beliau, juga terdapat beberapa maqam Ahlul Bait Nabi dan ulama yang
lain, antaranya Sayyidah Sukainah binti Saidina Hussein, Sayyidah Ruqayah binti
Saidina Ali, bapa saudaranya Sayyid Muhammad Al-Anwar dan pengarang kitab 'Tafsir
Mimpi', Imam Ibnu Sirin.
Keturunan
Mulia
Sayyidah
Nafisah memang terkenal sebagai seorang serikandi yang berani bahkan terkenal
dengan kehebatan ilmunya yang tinggi hingga digelar sebagai 'Ummul ‘Ulum' (ibu
sekalian ilmu). Nama beliau ialah Nafisah binti Sayyid Hasan al-Anwar bin
Saidina Zaid bin Saidina Hasan bin Saidina Ali bin Abi Talib, menantu
Rasulullah SAW. “Nafisah” diambil dari kalimah 'an-nafasah' yang bermaksud
'kemuliaan atau ketinggian keadaan sesuatu'. Beliau sangat menyerupai emak saudara
sebelah bapanya yang bernama Sayyidah Sukainah al-Kubra binti Zaid r.anhum.
Ayahandanya
Sayyid Hasan al-Anwar dan diberi gelaran ‘al-Anwar’ iaitu yang bercahaya kerana
keadaan mukanya yang kelihatan bercahaya kesan daripada kuat ibadat yang ikhlas
kepada Allah. Beliau dilantik oleh Khalifah Jaafar al-Mansur sebagai gabenor
Madinah al-Munawarah tahun 150 Hijrah. Sayyidah Nafisah dilahirkan di Makkah
tanggal 11 Rabiul Awal tahun 145 Hijrah. Beliau dibesarkan di Madinah kerana
ayahandanya seorang gabenor. Sejak kecil, beliau lebih suka membaca al-Quran,
selawat ke atas Nabi di samping gemar menziarahi maqam Nabi. Hingga satu masa,
setelah usia Sayyidah Nafisah mencecah beberapa tahun, ayahandanya telah
membawa beliau menuju ke bilik yang bersemadi jasad Rasulullah SAW. Lalu
ayahandanya berkata, "Ya Rasulullah! Redhailah anak perempuan aku yang aku
namakan Nafisah ini." Lalu satu malam ayahandanya bermimpi bertemu
Rasulullah SAW lalu Baginda bersabda: "Wahai Hasan! Sesungguhnya aku telah
meredhai anakmu yang juga zuriatku, Nafisah dan Allah Taala juga meredhainya
dengan sebab redha aku kepadanya."
Perkahwinan
Sayyidah
Nafisah berkahwin dengan sepupu beliau yang berketurunan Saidina Hussein,
Sayyidi Ishaq al-Mu'taman bin Saidina Jaafar As-Sodiq bin Saidina Muhammad
al-Baqir bin Saidina Ali Zainal Abidin bin Saidina Hussein bin Saidina Ali
menantu Rasulullah SAW. Suaminya digelar sebagai 'al-Mu'taman' kerana beliau
seorang yang sangat amanah dan kuat imannya. Beliau merupakan saudara kandung
kepada Sayyidah Aisyah (bukan Aisyah isteri Rasulullah SAW) iaitu anak kepada
Saidina Jaafar as-Sodiq. Sayyidah Aisyah juga disemadikan dalam masjidnya di
Hayyu Al-Khalifah dekat dengan Kubu Salahudin Al-Ayubi di Kaherah. Tatkala
Sayyid Hasan Al-Anwar meninggalkan jawatan gabenor Madinah, ia diganti oleh
menantunya Sayyid Ishaq Al-Mu'taman sebagai gabenor bagi khilafah Abbasiyah.
Beliau diakad nikah pada hari Jumaat 5 Rejab tahun 161 Hijrah dan telah
dikurniakan dua cahaya mata bernama Qasim dan Ummu Kalthum.
Ibadat
Sayyidah Nafisah
Sayyidah
Nafisah sangat gemar membaca al-Quran, kuat berpuasa di siang hari, solat pada
malamnya, amat kasihan belas kepada orang miskin, anak-anak yatim dan manusia
sekaliannya. Diriwayatkan daripada Sayyidah Zainab binti Sayyid Yahya yang juga
anak saudaranya, beliau berkata, “Aku telah berkhidmat kepada emak saudaraku
(sebelah ayah), Sayyidah Nafisah selama 40 tahun. Aku tidak pernah lagi melihat
Sayyidah Nafisah tidur pada siang dan malam kecuali kerana darurat (terpaksa)
kerana sibuk dengan beribadat. Beliau juga sentiasa berpuasa kecuali dua hari
raya dan hari tasyriq. Lalu aku bertanya kepadanya, “Wahai emak saudaraku!
Tidakkah kau berasa penat dan kasihani tubuhmu?” Lantas beliau berkata,
“Bagaimana aku mampu mengasihani diriku sedangkan di hadapanku azab Allah
sedang menanti. Tiada siapapun yang dapat mengelak daripadanya kecuali
orang-orang yang berjaya.”
Sayyidah
Nafisah telah mengerjakan haji sebanyak 30 kali dan kebanyakannya beliau pergi
dengan berjalan kaki. Beliau selalu berdoa sambil menangis di sisi Kaabah
“Tuhan ku! Penciptaku! Penolongku! Berikanlah kegembiraan kepadaku dengan
redha-Mu kepadaku. Janganlah diriku ini menjadi sebab sebagai pendinding
(hijab) antara Kau dan aku. Tuhanku! Permudahkanlah aku menziarahi kubur
kekasih-Mu, Ibrahim (iaitu Makkah).”
Pada
hari yang kesepuluh akhir Ramadhan tahun 193 Hijrah Sayyidah Nafisah bermusafir
ke Mesir bersama suami, ayah dan kedua-dua anaknya yang ketika itu umur beliau
mencecah 48 tahun kerana bertujuan menziarahi ahli keluarga Rasulullah SAW yang
lain di Mesir. Setelah menziarahi Mekah dan Baitulmaqdis, mereka tiba di Mesir
dengan disambut meriah oleh sekalian penduduk Mesir termasuk sekalian pembesar
negara ketika itu. Kebanyakan mereka menjemput Sayyidah Nafisah ke rumah.
Hinggalah beliau tiba di rumah Ummu Hani’, satu keajaiban telah berlaku apabila
Allah SWT telah memuliakan hamba-Nya itu dengan disembuhkan kecacatan seorang
budak perempuan Yahudi dengan keberkatan air wuduk Sayyidah Nafisah yang
menyebabkan keluarga budak tadi memeluk Islam. Sejak itu, berduyun-duyun
manusia menziarahi Sayyidah Nafisah meminta doa dengan pelbagai hajat hingga
suaminya bercita-cita untuk kembali ke Madinah. Lalu Sayyidah Nafisah berkata,
“Aku tidak boleh berbuat demikian kerana aku melihat Rasululah SAW dalam mimpi
bersabda: “Jangan tinggalkan Mesir kerana Allah akan mematikan kamu di sana”.
Kasihnya
beliau kepada Mesir dan penduduknya amatlah tinggi. Beliau pernah berkata,
“Sesungguhnya aku amat menyayangi penduduk Mesir. Aku bercita-cita untuk
dikuburkan di sini. Allah memuliakan Mesir dengan menyebutnya dalam al-Quran
sebagaimana disebutnya Makkah.” (rujuk kitab Ad-Durr An-Nafisah oleh Syeikh
Ramadhan Abdu Rabbuhu Asfur r.anhu).
Sayyidah
Nafisah dan Imam Syafie
Imam
Syafie r.anhu, Imam mazhab Feqah yang masyhur sempat hidup sezaman dengan
Sayyidah Nafisah. Sayyidah Nafisah menjalani kehidupan di Mesir selama 15 tahun
iaitu dari 26 Ramadhan tahun 193 Hijrah hingga 15 Ramadhan tahun 208 Hijrah.
Imam Syafie amat kerap menziarahi beliau. Ini sebagai tanda mulia dan kasihnya
Imam Syafie kepada ahli keluarga Nabi. Selain ziarah, Imam Syafie juga turut
mendengar bacaan hadis daripada Sayyidah Nafisah dan beliau juga membaca hadis
kepada Sayyidah Nafisah. Beliau juga kerap menunaikan solat tarawih di masjid
Sayyidah Nafisah dan apabila Imam Syafie ditimpa sakit, beliau pasti akan
menghantar seorang utusan bertemu Sayyidah Nafisah dan mengirim salam bertujuan
menggantikannya menziarahi Sayyidah Nafisah. Beliau pasti meminta Sayyidah
Nafisah mendoakan kesihatan untuk beliau. Hingga satu hari beliau ditimpa sakit
yang membawa kepada kewafatan beliau, seperti biasa seorang utusan diutus
bertemu Sayyidah Nafisah dan kali ini Sayyidah Nafisah berdoa: “Semoga Allah
memberikan kepadanya (Imam Syafie) sebaik-baik pertemuan dan memberikan
kenikmatan dengan melihat wajah-Nya yang mulia.” Maka utusan itu kembali dan
memberi tahu apa yang didengar kepada Imam Syafie lalu tahulah beliau bahawa
ajalnya bakal tiba tidak lama lagi. Lalu Imam Syafie berwasiat agar Sayyidah
Nafisah menyembahyangkan jenazahnya, lalu wafatlah Imam Syafie pada hari
Khamis, akhir bulan Rejab tahun 204 Hijrah.
Apabila
mendengar berita kewafatan Imam Syafie dengan penuh kesedihan, Sayyidah Nafisah
berdoa: ”Semoga Allah merahmatinya, dan adalah dia seorang yang memperelok
wuduk”. Ini adalah sebagai penyaksian Sayyidah Nafisah kerana wuduk adalah asas
melakukan ibadat. Apabila cantik asasnya maka cantiklah ibadat yang dibina
padanya seolah-olah beliau berkata: “Imam Syafie itu elok pada ijtihadnya.”
Tatkala terasa kesakitan yang menimpa amatlah kuat hingga memisahkannya dari
dunia, Sayyidah Nafisah mula menggali kubur dalam biliknya. Pada saat-saat
akhir usianya, beliau sering turun dan beribadat dalam liang lahad tersebut
dengan banyak bersembahyang sunat dan membaca al-Quran. Berkata Al-Allamah
Al-Ajhauri: "Adalah Sayyidah Nafisah membaca al-Quran dan mengkhatamnya
dalam kuburnya sebanyak 6,000 kali dan beliau menghadiahkan pahalanya kepada
sekalian umat Islam yang telah meninggal dunia.”
Menghembus
Nafas Terakhir
Kesakitan
yang menimpanya semakin kuat pada pertengahan bulan Ramadhan tahun 208 Hijrah
dan beliau sedang berpuasa ketika itu. Maka sekalian orang yang hadir ketika
itu menyarankan agar beliau berbuka puasa sahaja bagi meringankan kesakitan
yang dihadapi. Mendengar hal tersebut beliau berkata: “Pelik sungguh. Aku
berpuasa 30 tahun dan aku berdoa kepada Allah agar dimatikan aku dalam keadaan
berpuasa tiba-tiba aku diminta berbuka?”.
Kesakitan
yang ditanggungnya berlarutan hingga hari Jumaat hari yang ke-15 Ramadhan.
Mulut beliau masih lagi mampu membaca al-Quran hingga sampai pada ayat ke-127
daripada Surah al-An’am yang bermaksud: “Bagi mereka itu (orang-orang yang
merenung dan menghayati pesanan dari Allah) disediakan tempat yang selamat dan
aman iaitu syurga di sisi Tuhan mereka dan mereka berada dalam kekuasaan dan
pertolongan-Nya dengan sebab apa yang mereka kerjakan di dunia dahulu.” Ketika
selesai membaca ayat ini, sunyi seketika rumah beliau diikuti tangisan dan doa
sekalian manusia yang hadir mengiringi roh beliau yang baru dijemput mengadap
Allah SWT.
Disemadikan
Di Mesir
Setelah
kewafatan Sayyidah Nafisah, suaminya Ishaq al-Mu’taman telah bercadang untuk
membawa kembali jasad Sayyidah Nafisah ke Madinah untuk dikebumikan
bersama-sama ahli keluarganya yang lain, tetapi penduduk Mesir telah membantah
dan meminta agar Sayyidah Nafisah disemadikan di Mesir dalam kubur yang digali
dengan tangan beliau sendiri. Setelah cubaan memujuk keluarganya menemui jalan
buntu, sekalian penduduk Mesir telah mengadu kepada Ubaidillah bin as-Sura,
gabenor Mesir ketika itu agar dapat menangani masalah ini dengan baik.
Dikatakan sekalian penduduk Mesir telah mengumpulkan sekalian harta bagi
diberikan kepada keluarga Sayyidah Nafisah agar hasrat untuk mengembalikan Sayyidah
Nafisah ke Madinah dibatalkan. Pada malamnya, suaminya telah bermimpi bertemu
Rasulullah SAW dan Baginda bersabda kepada Ishaq: ”Wahai Ishaq! Kembalikan
harta manusia (penduduk Mesir) kepada mereka dan semadikan Nafisah di sisi
mereka kerana rahmat diturunkan kepada mereka dengan berkat Nafisah.”
Keesokannya, Sayyid Ishaq telah memaklumkan mimpinya kepada penduduk Mesir.
Dengan penuh gembira dan syukur kepada Allah, jasad Sayyidah Nafisah
disempurnakan lalu disemadikan di dalam biliknya yang kini dibina masjid
padanya yang dinamakan ‘Masjid Sayyidah Nafisah’. Setelah itu, suaminya bersama
dua lagi anaknya kembali ke Madinah dan meninggal dunia di sana. Semoga Allah
meredhai sekalian Ahlul Bait Rasulullah SAW dan menghimpunkan kita sekalian
bersama-sama mereka di bawah panji datuk mereka dan pemberi syafaat kita, Nabi
Muhammad SAW. Amin.
(Petikan
daripada kitab Hadhratus Sayyidah Nafisah r.anha tulisan Syeikh Muhammad
Muntasar Ahmad Hamid Al-Helwani)
No comments:
Post a Comment