Kita bersyukur kepada Allah kerana sudah berjaya
meyempurnakan Ibadah puasa di bulan Ramadan, berjaya menghidup malam-malamnya
dengan solat tarawikh, qiamullail, dan beri’tikaf sebagai persediaan hidup kita
di alam barzakh dan alam akhirat.
Allah memfardukan amal-amal ibadah secara khsusus kepada
kita sebagai syiar untuk kita membuktikan keimanan dan ketaatan kita kepada
Allah dan juga bertujuan supaya umat Islam dapat membersihkan jiwa mereka
daripada dosa-dosa dan mengangkat mereka ke darjat seorang yang bertaqwa.
Namun kejayaan kita mendapat Syurga Allah di hari akhirat
dan terlepas daripada azab neraka hanyalah kurnian Allah dan RahmatNya juga .
Walau banyak mana sekalipun amal ibadah kita; kita tidak akan mampu terlepas
daripada azab Allah dan mendapat kurnia syurganya pada hari akhirat tanpa
kurnian Rahmat dan keampunanNya .
Sebab itulah Allah memerintahkan kita supaya mengabdikan
diri kepadaNya dengan penuh keikhlasan dan sebagai tanda kesyukuran kita kepada
nikmat-nikmat kurniaan Allah kepada kita yang tidak mampu dihitung.
Tugas dan tanggungjawab kita sebagai umat Islam ialah
memahami amanah Allah yang telah kita terima dan melaksanakan segala amanah
tersebut dengan penuh prihatin dan mengikut petunjuk Rasulullah s.aw. Inilah
intipati kepada sifat seorang yang takutkan Azab Allah atau sifat orang-orang
yang bertaqwa yang akan mendapat Rahmat dan keampunan Allah pada hari akhirat.
Ada dua Amanah
Allah kepada kita:
1. Mengabdikan
diri kepadaNya dengan penuh keikhlasan atau Hablul minallah.
2. Menjadi
Pengganti Allah mengurus kepimpinan dan pentadbiran dunia ini kepada matlamat
yang telah ditentukan Allah atau Hablul minannas atau melaksanakan amanah
sebagai khalifah Allah.
Ada amanah Allah
kepada kita berkaitan hubungan kita dengan Allah. Kita wajib mengenal Allah
dengan mengenal nama-namaNya dan sifat-sifatNya. Kita wajib mengetahui hak-hak
Allah ke atas kita. Kita wajib beriman kepada Allah dan segala perkhabaran yang
disampaikan kepada kita melalui Rasulnya nabi s.a.w. di dalam al-Quran dan
hadis-hadisnya.
Antara amanah
Allah kepada kita ialah kita bertanggungjawab berusaha membersihkan diri dan
jiwa kita daripada saki baki jahiliyyah dalam akidah dan akhlak-akhlak kita.
Sehingga kita memiliki jiwa mutmainnah dan menjadi hamba Allah yang diredai dan
di kasihi oleh Allah azza wajalla. Tanggungjawab ini juga diistilahkan oleh
para ulama sebagai tuntutan fardu Ain.
Menyempurnakan
keperibadian Islam dengan memiliki kefahaman Islam yang Syumul sebagaimana
terkandung dalam al-Quran dan al-Sunnah, memiliki akhlak dan perilaku yang
mantap dalam hubungan dengan Allah dan sesama manusia menjadi asas kepada
kesempurnaan melaksanakan tugas sebagai khalifah Allah di dunia ini.
Khalifah adalah
pengganti. Allah telah melantik manusia untuk menggantiNya memakmurkan dunia
ini dan memerintahnya mengikut acuan dan sistem yang ditentukan Allah dalam
al-Quran. Oleh itu manusia perlu memiliki ciri-ciri seorang muslim yang Rabbani
sebelum mereka mampu melaksanakan amanah Allah yang amat berat ini.
Tugas khalifah
adalah tugas melaksanakan sistem politik atau pemerintahan berteraskan
kehendak-kehendak Allah. Kita tidak akan mampu melaksanakan kehendak Allah
untuk memberi manfaat kepada ummah sebelum kita sendiri melaksakan kehendak
Allah ke atas diri kita sendiri. Bagaimana kita hendak membawa manusia kembali
kepada Allah jika kita sendiri jauh daripada Allah dan sentiasa mengabaikan
segala suruhanNya.
Allah yang
mengetahui misiNya telah mendidik Rasulullah s.a.w. dan membimbing gerakan
dakwahnya bagi mengubah manusia sehingga generasi sahabat bersama-sama baginda
menjadi generasi al-Quran yang unggul bukan sahaja berjaya mengislamkan seluruh
Jazirah Arab malah Islam berkembang sehingga hidayahnya memayungi 2/3 dunia.
Kini Jahiliyyah
kembali menguasai dunia; menguasai sistem pemerintahan dan jentera penggerak
yang menggerakkan pemerintahan dunia. Jahiliyyah menguasai sistem perundangan,
sistem kehakiman, sistem pendidikan yang menjadikan dunia dan kebendaan sebagai
asas pendidikan dan mengetepikan menjadikan generasi Rabbani sebagai
matlamatnya; Sistem kebudayaan dan kesenian yang menjadikan nafsu dan
keseronokan sebagai tujuan dan sistem pentadbiran urusan agama yang
menyempitkan amalan agama kepada rutin-rutin ibadah yang memisahkan identiti
muslim daripada individu soleh yang bermanfaat kepada muslim yang lain
menjadikan muslim yang hidup hanya mementingkan diri sendiri dan meletakkan
keutamaan kepada diri sendiri dan keluarganya sebelum kepada saudaranya yang
lain.
Kita lihat ramai
umat Islam di bandar dan taman-taman perumahan berduyun-duyun menunaikan solat
sunat tarawikh tetapi mereka tidak mengenali siapakah Imam yang mengimamkan
solat mereka, tidak mengenali siapakah saudara muslim yang berada di kiri dan
kanan mereka.
Bertaaruf,
bersilaturrahim, bertolong-menolong dan amar makruf nahi munkar bukan lagi
budaya masyarakat hari ini melainkan mereka yang menyertai gerakan Islam. Semua
keadaan ini adalah hasil sistem hidup yang kita warisi daripada zaman penjajah
yang bukan budaya Islam yang diwarisi sejak zaman nabi s.a.w.
Selagi umat Islam
masih tebal dengan budaya materialistik dan mengutamakan diri sendiri, sistem
jahiliyyah akan mudah menghasut dan menguasai mereka dan memecahkan kesatuan
persaudaraan sesama umat Islam. Tanpa kekuatan ukhuwwah dan kasih sayang sesama
umat Islam, umat Islam hilang kekuatan yang digeruni oleh musuh-musuh mereka.
Islam bukan
sekadar bergembira menyambut hari raya aidil fitri dengan beranika warna baju
raya, kuih-muih, berhibur di depan kaca television.
`Aidil Fitri amat
beerti kepada mereka yang terlibat dalam perjuangan untuk mengembalikan
kedudukan Islam di tempatnya yang sebenar. Ketaqwaan yang diraih hasil
menikmati hidangan al-Rahman di musim Ramadan akan menambahkan tajarrud mereka
untuk agama Allah.
Mereka lebih
mampu mengasingkan tuntutan emosi, sentimen dan naluri manusiawi jika
bertembung dengan tuntutan Rabbani. Tuntutan Rabbani menjadi asas neraca
keutamaannya daripada kepentingan pendapat sendiri, puak dan taksub
membabi-buta. Sebaliknya sikap ehsan, izzah dengan Islam, memaafkan sesama
muslimin dan meletakkan kemaslahatan ummah mendahului segala kepentingan lain.
Bagi seorang
pejuang, solat, zakat, puasa, tilawah al-Quran, sedeqah, qiamullail, istighfar
dan i’tikaf di bulan Ramdan hanyalah penyempurnaan kepada amal ibadah mereka di
hari-hari lain. Ia hanyalah sebagai pencerna dan pembentukan keperibadian
mereka bukan matlamat hidup mereka terakhir.
Menjadi syuhada’
di jalan Allah dan pengiktirafan Allah terhadap pengakuan tauhid mereka itulah
setinggi-tinggi cita-cita mereka di dunia ini. Itulah kesempurnaan ikhlas,
tajarrud dan amal soleh mereka untuk Allah azza wajalla. Kalau tidak mereka
hanya mendapat lapar dan dahaga berpuasa di zaman Islam menuntut pengorbanan
mereka ini.
Menjadi pejuang
untuk meletakkan Islam di atas mengatasi ism-ism lain adalah tuntutan ketaqwaan
masa kini, tanpanya kita belum memiliki sifat orang yang bertaqwa.
Salam `aidil
fitri dan semoga Allah menerima amalan jihad kita.
Ust Annuar Salleh
No comments:
Post a Comment