Masalah ini boleh masuk ke rumah kita, cabaran khusus untuk membesarkan anak-anak lelaki
kita agar menjadi rijal. Dikongsikan bersama suatu penulisan yang baik oleh Ust
Wan Ahmad bagi membentuk lelaki sejati .
Assalamualaikum wr.wh.
‘Rijal’ dari segi bahasanya bererti para lelaki, namun
perkataan ‘Rijal’dalam bahasa Arab tidak bermakna fizikal melainkan ia
mengandungi makna :
Keberanian.
Ketulusan.
Kepahlawanan.
Konsistensi.
Pengorbanan.
Makna itulah yang disinggung oleh Al Qur’an dalam surah Nur
ayat 37 iaitu menceritakan tentang ‘Rijal’yang tidak dilupakan oleh perniagaan
dan jual beli dari mengingati Allah swt, solat dan membayar zakat.
Begitu juga perkataan ‘Rijal’disebut di dalam surah Al Ahzab
ayat 33 yang menceritakan bahwa ada ‘Rijal’ yang menepati apa yang telah mereka
janjikan kepada Allah swt, ada yang gugur dan ada yang masih menunggu
gilirannya, tanpa merubah janjinya.
Lelaki secara fizikalnya tidak memberi apa-apa erti tanpa
nilai-nilai moralnya sebagai ‘Rijal’ kerana ada ramai perempuan yang memiliki
sifat ‘Rijal’ kerana ia telah memiliki sikap yang jarang boleh dilakukan oleh
orang selainnya.
Menjadi manusia itu adalah satu kurniaan tetapi kualiti
kemanusiaan kita itu ada pada sebatas dan sejauh mana usaha kita menjalankan
fungsi kurniaan itu.
Menjadi lelaki atau perempuan itu adalah kehendak Allah swt
yang datang tanpa kita minta tetapi nilai diri yang sebenarnya adalah bagaimana
kita melaksanakan peranan kita sebagai lelaki atau perempuan.
‘Rijalud Dakwah’ atau Lelaki Dakwah adalah orang-orang yang
sentiasa siap sedia untuk berjuang dan berkorban di jalan Allah dan menjadi
anasir perubahan dalam masyarakat.
Seorang Lelaki Dakwah mestilah memiliki keistimewaan yang
dapat ditonjolkan sehingga orang cenderung menjadikan seorang Lelaki Dakwah
sebagai contoh tauladan.
KEISTIMEWAAN LELAKI DAKWAH
Di antara keistimewaan yang menonjol meliputi :
Semangat yang tinggi untuk berbuat kebaikan.
Mempunyai hafalan Al Qur’an mahupun hadits yang banyak.
Prestasi akademik yang baik.
Menjadi aktivis dakwah.
Oleh kerana itu, seorang Lelaki Dakwah mesti mampu
mengetahui keistimewaannya sehingga dia mampu mengasah dan mengembangkannya.
“Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik
diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka. Mereka
berperang di jalan Allah, sehingga mereka membunuh atau terbunuh. (itu telah
menjadi) janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan Al-Qur’an. Dan
siapakah yang lebih menepati janjinya (selain) daripada Allah? Maka bergembiralah
dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan itulah kemenangan yang
besar.” (QS At-Taubah : 111)
Ibarat perniagaan, maka Allah membeli orang-orang mukmin
dengan penuh keikhlasan kerana perniagaan tidak akan bermakna bahkan akan
menjadi rugi jika dalam keadaan yang terpaksa.
Itu adalah keadaan yang menggambarkan keikhlasan orang-orang
beriman yang berjuang di jalan Allah.
Orang-orang yang berjiwa ‘Rijal’ tidak mudah dikenali
kecuali ketika :
Melalui keadaan dan suasana yang tertekan.
Dihempas fitnah.
Timbul berbagai krisis.
Pada ketika itulah jiwa ‘Rijal’ berupa kepahlawanan dan
semangat juang yang tinggi akan terserlah.
Peribadi Lelaki
Dakwah tidak dilihat dari nilaian luaran atau besarnya tubuh badan.
Ali bin Abu Talib ra pernah mengatakan :
“Nabi saw memerintahkan Ibnu Mas’ud untuk memanjat pohon dan
mengambil sesuatu dari pohon itu. Para sahabat melihat betis Abdullah bin
Mas’ud yang tersingkap ketika ia menaiki pohon tersebut. Mereka tertawa kerana
melihat kurusnya dua betis Ibnu Mas’ud ra. Rasulullah saw lalu mengatakan, “Apa
yang kamu tertawakan? Betis Abdullah bin Mas’ud itu lebih berat timbangannya di
hari kiamat daripada gunung Uhud.” (HR Ahmad)
CIRI-CIRI LELAKI DAKWAH
Adapun ciri-ciri para Lelaki Dakwah adalah seperti berikut :
Memiliki kefahaman Islam yang benar dan lurus.
Jiwa dan fikirannya cerdas dan bersih serta dibentuk oleh
perkara besar.
Keikhlasan yang tinggi untuk membela fikrah, bukan membela
kepentingan peribadi.
Terbina dalam amal ibadah dan akhlak mulia.
Lebih banyak bekerja daripada berbicara.
Memiliki sikap optimis.
Sabar menghadapi kesulitan.
Menunjukkan kesempurnaan dalam dakwah.
Bergetar hatinya apabila disebut nama Allah.
Bertambah imannya apabila dibacakan ayat-ayat Allah.
Mudah menangis mengingati akhirat.
Tidak mudah bersedih kerana urusan dunia.
Adapun marhalah dalam bentuknya yang sempurna adalah :
3. 1. Di saat
mendengar perintah, ia taat walau dalam keadaan senang atau susah.
4. 2. Tidak
mementingkan hal peribadi dan keluarga, hidupnya adalah sepenuhnya untuk
dakwah.
5. 3. Sentiasa
siap sedia dalam jihad untuk menegakkan syariah.
6. 4. Siap sedia
untuk berkorban dengan segala potensi yang dimiliki.
7. 5. Memiliki
keteguhan untuk mencapai cita-cita dakwah, sekalipun mesti ditempuh dengan perjalanan yang sangat panjang.
8. 6. Taat pada
qiyadah dan jamaah.
9. 7. Tsiqah pada
qiyadah dan jamaah.
10. 8. Sentiasa
memelihara rasa ukhuwah yang berlandaskan kasih sayang dan saling mencintai.
BAGAIMANA MELAHIRKAN LELAKI DAKWAH
Salah satu cara untuk memiliki sikap-sikap Lelaki Dakwah
adalah dengan meniru Lelaki Dakwah.
Mencontohi orang-orang yang kita anggap memiliki perilaku
dan amal yang jauh lebih baik serta berusaha mengikuti jejak orang-orang soleh
:
Dalam beribadah.
Dalam berkorban.
Dalam memberi.
Dalam kedisiplinan.
Jika dengan usaha meniru itupun kita masih tidak dapat
mencapai kualiti seperti mereka, namun setidak-tidaknya kita sudah menjadi
lebih baik kerana kita sudah mengikuti mereka.
HUBUNGAN LELAKI DAKWAH DENGAN TANDZIM
Suatu perkara yang mesti difahami pula oleh para Lelaki
Dakwah adalah masalah ‘tandzim’.
Islam sebagai manhaj adalah berdiri di atas landasan
‘nizham’ dan ‘tandzim’ yang sempurna dan saling melengkapi.
Adakah masuk akal, dakwah yang :
Menyeru kepada Islam.
Menyeru untuk membangun kehidupan di atas landasan Islam.
Membentuk masyarakat yang beriman kepada Islam.
Mendirikan negara yang berhukum dengan syariat Islam.
tidak menggunakan
‘tandzim’?
Sistem ibadah seperti solat, puasa, zakat dan haji di setiap
bahagian perinciannya tegak di atas sejumlah prinsip dan dasar-dasar ‘tandzim’
yang kukuh.
Begitu juga dengan sistem masyarakat, hukum perkahwinan,
undang-undang yang mengatur keluarga Islam dan hubungan sosial. Semua itu, di
setiap aspeknya tegak di atas dasar ‘tandzim’ yang kuat.
Oleh yang demikian, seluruh sistem yang digariskan di dalam
manhaj Islam berdiri kuat di atas dasar ‘tandzim yang rapi dan kukuh.
‘TANDZIM’ ADALAH PETUNJUK AL QUR’AN
Al Qur’an menegaskan bahwa banyak ayatnya secara jelas atau
dengan isyarat agar memperhatikan ‘tandzim’ dan tidak melupakannya sehingga
dalam aspek dakwah, umat diisyaratkan agar memiliki ‘qiyadah’ yang memutuskan
hukum dan perkara di antara mereka.Apa yang diputuskannya mesti diterima tanpa
merasa berat sedikitpun.
“Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah
RasulNya dan ulil amri di antara kamu.” (QS An-Nisa’ : 59)
Ketika menjelaskan hubungan yang erat sesama kaum muslimin
dan rasa senasib sepenanggungan di antara mereka terutama ketika mereka
menghadapi musuh.
Allah swt berfirman :
“Sesungguhnya Allah swt mencintai orang-orang yang berperang
di jalan Allah dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti suatu
bangunan yang tersusun kukuh.” (QS As-Shaff : 4)
‘TANDZIM’ ADALAH ASAS PETUNJUK KENABIAN
Rasulullah saw sebagai teladan dan pemimpin umat Islam
memberikan perhatian yang besar terhadap ‘tandzim’.
Hal ini dapat dilihat dari seruannya yang jelas dan terang
agar kaum muslimin sentiasa menegakkan kepimpinan dan memilih seorang pemimpin
pada setiap kelompok.
“Jika kamu tiga orang hendaklah salah seorang menjadi
pemimpinnya.” (HR Ath-Thabrani dengan sanad Hasan)
Dari sinilah lalu ditentukan tugas-tugas seseorang dan siapa
yang mengawasinya dengan mengarahkan dan meluruskannya apabila terdapat
kelemahan.
“Dengar dan taatlah walaupun yang memerintahkan seorang
hamba Habsyi yang kepalanya seperti buah kismis.” (HR Bukhari)
Dalam rangka memperingatkan akan berlakunya fitnah dan
pecahnya barisan kaum muslimin yang akan membuatkan mereka lemah dan
membangkitkan keberanian musuh, Rasulullah saw bersabda :
“Barangsiapa menarik tangannya dari ketaatan, maka dia akan
menemui Allah pada hari kiamat tanpa mempunyai alasan. Barangsiapa mati dan
dilehernya tidak ada ikatan bai’ah, maka dia mati sebagai kematian jahiliah”
(HR Muslim)
‘TANDZIM’ ADALAH DASAR AMALAN RASULULLAH SAW
Aktiviti dan amaliyah Rasulullah saw di seluruh tahapan
kenabiannya samada pada :
Fasa Makkah ataupun Madinah.
Baik dalam konteks tarbiyah.
Fasa penyebaran dakwah.
Fasa peperangan.
atau yang lainnya, semuanya dilakukan berdasarkan
prinsip-prinsip ‘tandzim’.
Beliau menaruh perhatian yang sangat besar terhadap masalah
ini seperti yang ditunjukkan ketika Rasulullah melakukan ba’iah Aqabah I dan
II.
SASARAN-SASARAN ISLAM ANG BESAR MENUNTUT ADANYA ‘TANDZIM’
Dakwah dan aktiviti Islam dalam keadaan tidak adanya negara
Islam yang berhukum dengan apa yang diturunkan Allah, sasarannya mesti
menghasilkan perubahan, yakni merubah realiti di mana mengubah realiti bukan
hanya sekadar nasihat yang larut dengan keadaan dan suasana sehingga menjadi
sebahagian darinya.
Perubahan yang Islamik mesti dilakukan terhadap keadaan
jahiliah yang ada pada :
Idea-idea.
Keyakinan.
Sistem.
Undang-undang.
Akhlak.
Moral.
Adat istiadat.
Perkara ini tidak mungkin dapat direalisasikan kecuali
dengan pembentukan suatu organisasi dan ‘tandzim’ yang rapi.
BESARNYA PERMUSUHAN YANG DIHADAPI ISLAM MEWAJIBKAN ADANYA
‘TANDZIM’
Musuh-musuh Islam memiliki puluhan ‘tandzim’, gerakan, dan
wasilah-wasilah yang formal.
Semua ini digunakan untuk melakukan konspirasi dan tipu daya
terhadap Islam dan umatnya.
Mereka mempunyai wasilah dan prasarana yang tidak terhitung
banyaknya.
Mereka menguasai berbagai teknologi moden dalam melakukan
rancangan jahat mereka terhadap Islam, samada dalam program-program ataupun di
segi operasinya.
Mereka unggul dalam semua ini.
Mereka telah bergerak untuk membuat persekongkolan jahat di
peringkat antarabangsa yang didukung oleh kekuatan tentera dari berbagai
negara.
Oleh kerana itu, apakah masuk akal kita mempertahankan dan
membela Islam tanpa :
Perancangan?
‘Tandzim’?
Organisasi yang mantap?
Pengurusan yang canggih?
Tanpa perkara-perkara di atas, ke mana dakwah Islam ini mahu
dibawa dalam seluruh gerakerjanya?
Siapakah yang mendapat keuntungan dan kerugian?
HIMBAUAN UNTUK KITA :
Hendaklah kita memahami Islam dengan kefahaman yang benar
sebelum tampil mendakwahkannya.
Bertaqwalah kepada Allah swt dengan sebenar-benar taqwa dan
ingatlah sentiasa firmanNya :
“Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat
peringatan bagi orang-orang yang mempunyai akal atau yang menggunakan
pendengarannya, sedang dia menyaksikannya.” (Qs Qaaf : 37)
Akhirnya, menjadi Lelaki Dakwah bermakna melakukan sesuatu
yang sukar dilakukan oleh orang lain pada kesempatan yang tepat.
Ya Allah, berilah kekuatan kepada kami sehingga kami mampu
untuk membentuk diri kami untuk menjadi Lelaki Dakwah yang tegak dan bergerak
di dalam satu tandzim yang teguh dan mantap dalam usaha untuk menegakkan
syari’ah Islam di dalam diri, masyarakat dan negara.
Ameen Ya Rabbal Alameen
No comments:
Post a Comment