Meninjau Semula Hukum
Nikah, Iddah Dan Nasab Anak Bagi Penzina.
Hafiz Firdaus Abdullah
|
Sesuatu yang tidak
dapat disembunyikan pada masa kini adalah banyaknya kes keterlanjuran antara
pasangan lelaki dan wanita muslim yang belum berkahwin hingga menyebabkan
mereka terjatuh ke dalam kancah perzinaan. Namun, alhamdulillah, dalam
jumlah yang banyak tersebut terdapat mereka yang segera teringat kepada Allah
Subhanahu wa Ta'ala akan keterlanjuran mereka dan ingin bertaubat.
Pada waktu yang sama mereka ingin melangsungkan perkahwinan dengan orang yang
mereka zinai dan meneruskan kehidupan berkeluarga dalam suasana yang halal.
Di sini timbul beberapa persoalan hukum:
A) Bolehkah penzina bernikah?
B) Bolehkah bernikah dengan wanita
yang sedang hamil kerana zina?
C) Bagaimana status anak yang
lahir hasil dari zina?
Insya-Allah dalam risalah ini saya akan terangkan hukum bagi
persoalan-persoalan di atas. Para ilmuan kita telah pun membuka perbincangan
yang luas terhadap persoalan-persoalan di atas dan tidak kurang pula dalam
perbincangan tersebut terdapat perbezaan pendapat yang saling menyilang. Di
antara perbezaan itu ada yang masyhur kerana memiliki dalil yang kukuh dan
ada yang asing kerana tidak memiliki dalil yang kukuh.
Dalam risalah ini saya
akan menyertakan perbezaan pendapat tersebut bukan dengan cara menyebut nama
tokoh atau mazhab yang berbeza pendapat, tetapi dengan cara mengemukakan
dalil dan hujah bagi setiap pendapat. Seterusnya saya jelaskan pendapat mana
yang lebih kuat insya-Allah. Tentu saja dengan catitan, apa yang kuat
mengikut analisa saya mungkin lemah mengikut analisa para pembaca sekalian.
Semua ini adalah tanda kematangan fiqh yang sekali gus menandakan kematangan
seseorang dalam beragama.
A)
Bolehkah Penzina Bernikah?
Terhadap persoalan ini
ada dua senario:
Senario Pertama: Jamal
dan Jamilah masing-masing baru berkenalan kira-kira dua bulan. Akan tetapi
kerana tarikan nafsu yang amat kuat, mereka terlanjur berzina di sebuah rumah
sewa. Masing-masing segera sedar akan kesilapan mereka dan dengan itu mereka
ingin bernikah dan meneruskan kehidupan sebagai pasangan muslim yang baik
lagi beriman.
Senario pertama
merujuk kes penzina yang ingin bernikah dengan penzina. Hukumnya adalah haram
berdasarkan firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:
الزَّانِي
لاَ يَنكِحُ إلاَّ زَانِيَةً أَوْ مُشْرِكَةً وَالزَّانِيَةُ لاَ يَنكِحُهَا
إِلاَّ زَانٍ أَوْ مُشْرِكٌ وَحُرِّمَ ذَلِكَ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ.
Lelaki yang berzina (lazimnya) tidak bernikah melainkan dengan
wanita yang berzina atau wanita musyrik;
dan wanita yang
berzina itu pula (lazimnya) tidak dinikah melainkan oleh lelaki yang berzina
atau lelaki musyrik.
Dan perkahwinan yang
demikian itu dilarang kepada orang-orang yang beriman. [al-Nur 24:03]
Ayat di atas
menerangkan kes lelaki penzina yang bernikah dengan wanita penzina, atau
sebaliknya. Pernikahan tersebut “…dilarang kepada orang-orang yang beriman.” Hukum haram atau
larangan pernikahan terangkat apabila kedua-dua lelaki dan wanita tersebut
bertaubat dari sebarang aktiviti zina. Dengan taubat, mereka tidak lagi
dikenali sebagai penzina di sisi syari‘at Islam dan dengan itu tidak lagi
masuk dalam perbicaraan ayat 3 surah al-Nur di atas.
Senario Kedua: Firdaus
dan Faridah sedang bersiap sedia menghadapi hari pernikahan mereka yang akan
menjelang tiba minggu hadapan. Namun hati Firdaus kurang tenteram
mengingatkan sejarah lampaunya yang pernah berzina beberapa kali dengan
wanita lain. Dia terfikir, apakah halal untuk aku menikahi Faridah yang
dikenali sebagai wanita yang shalihah?
Senario kedua merujuk
kepada kes dimana salah seorang dari pasangan yang bakal menikah adalah
penzina. Apakah hukum Islam mengenainya? Ayat berikut menjadi rujukan:
الْخَبِيثَاتُ
لِلْخَبِيثِينَ وَالْخَبِيثُونَ لِلْخَبِيثَاتِ وَالطَّيِّبَاتُ لِلطَّيِّبِينَ
وَالطَّيِّبُونَ لِلطَّيِّبَاتِ.
Wanita-wanita yang jahat adalah untuk laki-laki yang jahat, dan
laki-laki yang jahat untuk wanita-wanita yang jahat;
dan (sebaliknya) wanita-wanita yang baik untuk laki-laki yang
baik, dan laki-laki yang baik untuk wanita-wanita yang baik. [al-Nur 24:26]
Antara yang dimaksudkan
dengan lelaki dan wanita yang jahat adalah mereka yang melakukan zina. Maka
pasangan penzina tidak boleh dinikahkan dengan pasangan yang shalih melainkan
dia bertaubat terlebih dahulu sebelum dia bernikah. Dengan taubat, dia
termasuk dalam kategori orang yang baik dalam ayat di atas.
Dalam kedua-dua
senario di atas, Islam melarang pasangan penzina daripada bernikah. Sama ada
kedua-dua pasangan atau salah seorang daripada mereka, aktiviti zina menjadi
faktor larangan untuk bernikah. Kenapa sedemikian? Antara hikmahnya, nikah
adalah satu ikatan untuk kedua-dua pasangan hidup harmoni sebagai satu keluarga.
Tidak dapat dibayangkan bahawa ciri keharmonian itu dapat dicapai jika salah
seorang atau kedua-duanya masih melazimkan diri dengan aktiviti zina. Islam
menghalalkan nikah agar kedua-dua pasangan hidup harmoni. Maka dengan itu
juga, Islam mengharamkan nikah yang sejak dini memiliki ciri yang
bertentangan dengan keharmonian tersebut.
B)
Bolehkah Bernikah Dengan Wanita Yang
Sedang Hamil Kerana Zina?
Senario Pertama: Sesudah
Jamal dan Jamilah bertaubat dari kesalahan zina, mereka membuat persiapan
untuk melangsungkan majlis perkahwinan. Walaubagaimana pun sebelum
tarikh pernikahan, Jamilah mendapati dirinya telah hamil hasil dari
hubungannya dengan Jamal sebelum itu.
Wujud perbincangan di
kalangan ilmuan Islam terhadap senario pertama di atas. Perbincangan mereka
menghasilkan dua pendapat:
Pendapat Pertama:
Tidak boleh bernikah
dengan wanita yang hamil. Jika sudah bernikah dengan wanita yang hamil, nikah
tersebut tidak sah. Ini kerana wanita yang hamil berada dalam keadaan iddah
dan waktu iddah tersebut berakhir dengan lahirnya bayi. Pernikahan hanya
dibolehkan dan sah selepas bayi dilahirkan.
Dalil-dalil pendapat
pertama adalah seperti berikut:
Dalil
al-Qur’an. Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:
وَأُوْلاَتُ
الأَحْمَالِ أَجَلُهُنَّ أَنْ يَضَعْنَ حَمْلَهُنَّ.
Dan wanita-wanita
hamil, tempoh iddahnya ialah hingga mereka melahirkan anak yang dikandungnya. [al-Thalaq 65:04]
Dalil
Qiyas (analogi). Sebab (al-‘Illat) dilarang menikah wanita yang hamil
adalah supaya tidak terjadi kekeliruan tentang siapakah ayah sebenar bagi
anak yang sedang dikandung itu. Maka hukum nikah bagi wanita yang hamil
kerana zina diqiyaskan kepada hukum ayat 4 surah al-Thalaq di atas, supaya
tidak terjadi kekeliruan tentang siapa ayah sebenar bagi anak yang sedang
dikandung itu.
Pendapat Kedua:
Boleh bernikah dengan
wanita yang sedang hamil kerana zina. Tidak ada iddah ke atas wanita yang
sedang hamil kerana zina. Hukum iddah hanya ke atas isteri, iaitu wanita yang
bernikah, kemudian hamil, kemudian bercerai dengan suaminya sama ada kerana
talak atau kematian. Ada pun dalil Pendapat Pertama, maka para ilmuan dari
Pendapat Kedua berkata:
Ayat 4
surah al-Talaq merujuk kepada para isteri, iaitu wanita yang bernikah,
kemudian hamil, kemudian diceraikan. Ayat 4 adalah sebahagian dari
keseluruhan perbincangan yang bermula dari ayat pertama:
يَاأَيُّهَا النَّبِيُّ
إِذَا طَلَّقْتُمْ النِّسَاءَ فَطَلِّقُوهُنَّ لِعِدَّتِهِنَّ...
Wahai Nabi! Apabila
kamu (engkau dan umatmu) hendak menceraikan isteri-isteri (kamu),
maka ceraikanlah
mereka pada masa mereka dapat memulakan iddahnya… [al-Thalaq 65:01]
Kaedah
qiyas hanya digunakan untuk persoalan hukum yang muncul selepas kewafatan
Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Ada pun persoalan zina, ia
adalah sesuatu yang wujud pada zaman Rasulullah. Banyak hukum berkaitan zina
dan penzina yang digariskan oleh Allah dan Rasul-Nya melalui al-Qur’an dan
al-Sunnah. Demikian juga hukum-hukum berkaitan hubungan seks dengan wanita tawanan
perang yang hamil, ia telah digariskan oleh al-Qur’an dan al-Sunnah.
Namun pada waktu yang sama, Allah dan
Rasul-Nya tidak menggariskan hukum iddah ke atas wanita merdeka yang hamil
kerana zina. Padahal Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:
وَمَا كَانَ رَبُّكَ
نَسِيًّا.
Dan tiadalah Tuhanmu
(Allah) terlupa. [Maryam 19:64]
Justeru apabila Allah dan Rasul-Nya tidak
menetapkan hukum iddah ke atas wanita merdeka yang hamil kerana zina, bererti
tidak ada hukum iddah ke atas mereka. Ada pun untuk mengelakkan kekeliruan
terhadap siapakah ayah sebenar anak yang sedang dikandung, perbicaraannya
akan menyusul ketika membahas status anak yang lahir hasil dari zina insya-Allah.
Pendapat Yang Kuat.
Tanpa melepaskan sikap
hormat saya kepada para ilmuan yang berpegang kepada pendapat pertama, pada
analisa saya pendapat yang kedua adalah lebih kuat.
Allah Subhanahu wa
Ta'ala sebagai Tuhan yang mencipta manusia amat mengetahui tabiat manusia
yang mudah terlanjur hingga berzina. Pada waktu yang sama Allah juga mengetahui
bahawa di antara hamba-Nya yang berzina, ada sebahagian yang ingin bernikah
dan meneruskan kehidupan sebagai pasangan suami isteri yang halal. Untuk
bernikah, Allah tidak menetapkan hukum iddah. Sebaliknya Allah
menetapkan hukum taubat. Apabila para hamba-Nya yang berzina bertaubat, dosa
dan kesan kesalahan zinanya dihapuskan.
Perkara penting
berkenaan taubat adalah, ia bukan sahaja menghapuskan dosa kesalahan, tetapi
juga menghapuskan kesan kesalahan. Pengecualian adalah apabila kesan
kesalahan itu melibatkan hak orang lain, maka orang yang bertaubat hendaklah
juga mengembalikan hak orang yang disalahinya itu.
Apabila Adam dan Hawa
memakan pokok yang dilarang, mereka segera bertaubat kepada Allah dan Allah
menerima taubat mereka. Dalam rangka menerima taubat mereka, Allah tidak
menyuruh Adam dan Hawa memuntahkan apa yang telah mereka makan atau menghukum
sebahagian dari darah daging mereka sebagai hasil dari sesuatu yang haram.
Taubat Adam dan Hawa sekali gus menghapuskan dosa dan kesan kesalahan:
فَأَكَلاَ مِنْهَا
فَبَدَتْ لَهُمَا سَوْآتُهُمَا وَطَفِقَا يَخْصِفَانِ عَلَيْهِمَا مِنْ وَرَقِ
الْجَنَّةِ وَعَصَى آدَمُ رَبَّهُ فَغَوَى (121)
ثُمَّ اجْتَبَاهُ
رَبُّهُ فَتَابَ عَلَيْهِ وَهَدَى (122).
Kemudian mereka berdua
(Adam dan Hawa) memakan dari pohon itu, lalu terdedahlah kepada mereka aurat
masing-masing,
dan mereka mulailah
menutupnya dengan daun-daun dari Syurga dan dengan itu derhakalah Adam kepada
Tuhannya, lalu tersalah jalan. Kemudian Tuhannya memilihnya (dengan diberi
taufiq untuk bertaubat), lalu Allah menerima taubatnya serta diberi petunjuk.
[Ta-Ha 20:121-122]
Jika wanita yang
sedang hamil kerana zina ditetapkan hukum iddah, ia akan menyebabkan dia
terpaksa menanggung malu di sisi masyarakat atas satu kesalahan yang telah
dia bertaubat darinya. Wanita itu tidak akan memiliki banyak pilihan kecuali
menggugurkan kandungannya atau membuangnya setelah dilahirkan. Kedua-dua
pilihan ini merupakan dosa yang besar. Semua ini menyelisihi konsep taubat
yang menghapuskan dosa dan kesan orang yang pernah berbuat salah.
Senario Kedua: Pada
satu masa yang lalu Azura memiliki beberapa teman lelaki yang ditidurinya
secara bergilir-gilir. Malam ini dia bersama Roy, malam esok dia bersama
Ahmad, malam lusa dia bersama Azlan, dan begitulah pada malam-malam
seterusnya dengan beberapa lelaki yang lain. Kini dia hamil dan dia tidak
tahu siapakah ayah kandungannya. Azura ingin bertaubat, bernikah dan
memulakan kehidupan baru suami isteri secara halal. Di antara semua lelaki
tersebut, dia ingin mengambil Azlan menjadi suaminya.
Senario pertama merujuk
kepada wanita yang hamil kerana zina dan dia mengetahui secara pasti siapakah
lelaki yang menghamilkannya. Ada pun senario kedua, ia merujuk kepada wanita
yang hamil kerana zina dan dia tidak pasti siapakah lelaki yang
menghamilkannya. Bagi senario kedua, pasangan boleh bernikah berdasarkan apa
yang telah dikupas dalam senario pertama di atas. Akan tetapi terdapat
perbincangan tambahan di kalangan para ilmuan terhadap senario kedua,
bolehkah kedua-dua pasangan itu melakukan persetubuhan? Di sini terdapat dua
pendapat:
Pendapat Pertama:
Tidak boleh bersetubuh
sehingga bayi dilahirkan berdasarkan hadis Rasulullah shallallahu 'alaihi
wasallam:
مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ
بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ فَلاَ يَسْقِ مَاءَهُ وَلَدَ غَيْرِهِ.
Sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat maka
janganlah dia menyirami air maninya ke atas anak milik orang lain.
Hadis di atas
dikeluarkan oleh Imam al-Tirmizi dan ia dinilai hasan oleh al-Albani dalam Shahih
Sunan al-Tirmizi, hadis no: 1131 (Kitab al-Nikah, Bab berkenaan lelaki
yang membeli seorang hamba padahal dia hamil). Dalam hadis di atas,
Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam melarang seorang lelaki
daripada bersetubuh dengan seorang wanita yang sedang hamil hasil dari
hubungan dengan orang lain.
Pendapat Kedua:
Boleh bersetubuh
kerana hadis-hadis yang melarang sebenarnya merujuk kepada wanita yang tidak
merdeka seperti hamba dan tawanan perang. Ada pun wanita merdeka yang hamil
kerana zina, maka tidak ada dalil yang melarang persetubuhan bersama lelaki
yang dinikahinya, sekali pun lelaki itu bukan orang yang menghamilkannya.
Pendapat Yang Kuat:
Jika dikaji semua
hadis berkaitan larangan bersetubuh dengan wanita yang dihamilkan oleh lelaki
lain, akan ditemui bahawa di antaranya ada yang bersifat umum dan ada yang
bersifat khusus kepada wanita hamba dan tawanan perang. Maka hadis yang
bersifat umum meliputi semua kategori wanita sama ada yang merdeka atau
tidak. Oleh itu pendapat yang lebih selamat adalah pendapat yang pertama,
iaitu tidak bersetubuh sehinggalah bayi itu dilahirkan.
Antara hikmah larangan
adalah supaya bayi yang dikandung tetap selamat ketika berlakunya
persetubuhan. Jika yang sedang bersetubuh adalah ayah kandungan, nescaya dia
akan berhati-hati dan lemah lembut. Sebaliknya jika yang sedang bersetubuh
adalah bukan ayah kandungan, kemungkinan besar dia akan lupa sehingga beraksi
dengan kekasaran yang mungkin mencederakan kandungan atau menyebabkan
keguguran.
D)
Bagaimana Status Anak Yang Lahir Hasil
Dari Zina?
Senario Pertama: Jamilah
akhirnya melahirkan seorang bayi perempuan yang sihat. Jamal dan Jamilah
sangat bergembira lagi bersyukur kepada Allah. Mereka menamakan bayi tersebut
Sakinah. Seterusnya mereka berfikir, apakah status bayi tersebut? Bolehkah
dia dinasabkan kepada Jamal dan diberi nama Sakinah binti Jamal? Apabila
dewasa, perlukah Sakinah sentiasa menjaga auratnya ketika di rumah apabila
Jamal ada bersama? Bolehkah Jamal menjadi wali perkahwinan Sakinah satu hari
kelak dan mewariskan hartanya kepada Sakinah?
Para ilmuan sekali
lagi memiliki perbincangan dalam menentukan status anak yang asalnya adalah
hasil zina. Perbincangan mereka membuahkan dua pendapat:
Pendapat Pertama:
Anak tersebut tidak
boleh dinasabkan kepada ayahnya. Apabila baligh, anak tersebut hendaklah
menjaga auratnya apabila berhadapan dengan ayahnya. Pada waktu yang sama
ayahnya tidak boleh menjadi wali perkahwinan dan tidak boleh mewariskan harta
kepada anaknya. Ringkasnya, dia adalah ayah dari sudut biologi tetapi tidak
dari sudut hukum agama.
Dalilnya adalah hadis
Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam yang dikeluarkan oleh Imam
al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 2053 (Kitab al-Buyu’, Bab
tafsir al-Musyabihat):
الْوَلَدُ لِلْفِرَاشِ
وَلِلْعَاهِرِ الْحَجَرُ.
Anak itu adalah bagi yang
memiliki tempat tidur manakala lelaki yang (menzinai) dijauhkan.
Dalam hadis di atas,
Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menerangkan bahawa anak zina
dinasabkan kepada empunya tempat tidur, iaitu si-wanita (ibunya) manakala
lelaki yang menzinai sehingga lahirnya anak tersebut dijauhkan. Ringkasnya
ayah yang menzinai tidak memiliki apa-apa kaitan hukum dengan anaknya.
Pendapat Kedua:
Anak tersebut
dinasabkan kepada ayahnya sama ada dari sudut biologi mahu pun hukum. Maka
anak itu dinamakan Sakinah binti Jamal dan ayahnya (Jamal) boleh menjadi wali
pernikahan Sakinah dan mewariskan harta kepadanya. Ini kerana taubat yang
dilakukan oleh Jamal dan Jamilah menghapuskan semua kesan kesalahan zina
mereka yang lalu, kini dan akan datang.
Selain itu terdapat
dalil dari sejarah umat Islam sendiri dimana ketika Rasulullah shallallahu
'alaihi wasallam mula mendakwahkan Islam, keluarga-keluarga yang
sebelumnya dalam keadaan jahiliyah memeluk Islam. Keluarga-keluarga ini
terbahagi kepada dua kategori:
Kategori Pertama:
Seluruh keluarga,
yakni suami isteri dan anak-anak memeluk Islam. Bagi kategori ini, suami
isteri tersebut tidak dituntut untuk bernikah semula. Pernikahan mereka
melalui adat jahiliyah dahulu diiktiraf apabila mereka memeluk Islam. Padahal
jika ditinjau dengan lebih mendalam, pernikahan yang mereka lakukan satu masa
lalu hanya sah dari ukuran adat jahiliyah, tidak sah dari ukuran hukum Islam.
Ringkasnya pasangan suami isteri itu hidup dalam suasana zina dan melahirkan
anak melalui hubungan zina.
Akan tetapi apabila
mereka memeluk Islam, ia adalah satu bentuk taubat yang dengannya semua
tindakan mereka yang lalu tidak lagi diambil kira. Apabila mereka memeluk
Islam sekeluarga, pernikahan mereka yang lalu melalui adat jahiliyah diiktiraf
oleh Islam sebagai pernikahan yang sah dan anak mereka yang terhasil dari
persetubuhan jahiliyah diiktiraf oleh Islam sebagai anak yang sah. Anak itu
dinasabkan kepada ayahnya secara biologi dan hukum.
Hukum ini masih
berlaku hingga masa kini. Umpamakan Rajen A/L Gobindren dan isterinya
Rajeswari A/P Apawari bersama anak mereka Kumari A/P Rajen sekeluarga memeluk
Islam. Rajen dan isterinya Rajeswari tidak dituntut untuk bernikah semula
cara Islam. Pernikahan mereka melalui cara Hindu diiktiraf oleh Islam. Yang
dianjurkan hanya sekadar tambahan nama bagi memudahkan pengenalan bahawa
mereka telah memeluk Islam. Contohnya Muhammad Rajen bin Gobindren dan Siti
Rajeswari binti Apawari.
Demikian juga bagi
anak perempuan mereka, Kumari A/P Rajen. Islam tidak bertanya berkenaan
status Kumari, sebaliknya menerima Kumari sebagai anak yang sah bagi Rajen.
Muhammad Rajen boleh menjadi wali kepada pernikahan Kumari satu masa nanti
dan boleh mewariskan harta kepada Kumari. Hanya yang dianjurkan adalah
penambahan nama bagi memudahkan pengenalan bahawa Kumari telah memeluk Islam.
Contohnya Siti Kumari binti Muhammad Rajen.
Kategori Kedua:
Hanya anak yang
memeluk Islam manakala ibubapanya masih dalam agama Jahiliyah. Bagi kategori
ini, Islam tetap menerimanya sebagai anak sah bapanya tanpa bertanya sejarah
asal usul anak tersebut. Anak itu tetap dinasabkan kepada ayahnya secara
biologi tetapi tidak secara hukum. Maka ayah tidak boleh menikahkan anaknya
dan tidak ada harta warisan (mengikut salah satu pendapat) bagi anaknya.
Hukum ini tetap
berlaku pada masa kini. Kita kembali kepada contoh Rajen dan keluarganya.
Kini umpamakan hanya Kumari yang memeluk Islam manakala Rajen dan Rajeswari
kekal dengan agama Hindu. Kumari tetap diiktiraf oleh Islam sebagai anak
Rajen dan dinasabkan kepadanya: Siti Kumari binti Rajen. Akan tetapi tidak
boleh dinasabkan secara hukum, bererti Rajen tidak boleh menjadi wali kepada
pernikahan Siti Kumari dan mewariskan harta kepada Kumari (mengikut salah
satu pendapat).
Pendapat Yang Kuat:
Pada analisa saya,
sekali pun yang masyhur adalah pendapat pertama, tetapi dari sudut ketepatan
dalil dan kekuatan hujah, pendapat kedua adalah yang terpilih.
Ada pun hadis “Anak itu adalah bagi yang memiliki tempat tidur manakala lelaki
yang (menzinai) dijauhkan.”, maka ia tidak tepat untuk dijadikan dalil dalam persoalan yang
sedang dibincang. Ini kerana hadis tersebut, jika dikaji kisahnya dari awal
hingga akhir, hanya merujuk kepada kes seorang anak yang diperselisihkan,
siapa ayahnya yang sebenar? Maka Rasulullah mengembalikan anak tersebut
kepada pasangan suami isteri yang sudah bernikah secara sah. Seandainya
si-isteri telah berzina dan itu adalah anak zina, anak itu tetap dinasabkan
kepada suami isteri yang sah manakala lelaki yang menzinai tidak memiliki
apa-apa hubungan nasab.
Istilah (الفراش)
bererti hamparan tempat tidur, di sini secara kiasan merujuk kepada isteri
kerana isteri adalah umpama tempat tidur bagi suami melalui pernikahan yang
sah. Pasangan yang pernah berzina tidak memiliki (الفراش) dan tidak
dikenali sebagai (الفراش), justeru mereka dan anak hasil perzinaan mereka tidak
memiliki apa-apa kaitan dengan hadis di atas.
Senario Kedua: Azlan
dan Azura bertaubat dan melangsungkan pernikahan. Azura kemudiannya selamat
melahirkan anak perempuan yang mereka namakan Anisah. Akan tetapi Azura masih
tidak tahu siapakah ayah Anisah yang sebenar. Azlan juga tahu bahawa dia
mungkin ayah biologi kepada Anisah dan mungkin juga tidak.
Sekali lagi, bezakan
bahawa senario pertama merujuk kepada anak hasil zina yang diketahui siapa
ayahnya manakala senario kedua merujuk kepada anak hasil zina yang tidak
diketahui siapa ayahnya.
Maka bagi senario
kedua anak zina tersebut tidak boleh dinasabkan secara biologi mahu pun hukum
kepada si-ayah. Dalam ertikata lain, tidak boleh memberi nama Anisah binti
Azlan, sebaliknya hendaklah diberi nama Anisah binti Abdul Rahman (atau
mana-mana nama Allah yang lain). Anisah hendaklah menjaga auratnya apabila
berhadapan dengan ayahnya (Azlan) dan Azlan tidak boleh menjadi wali
penikahan Anisah mahu pun mewariskan harta kepada Anisah. Hubungan Azlan
dengan Anisah adalah umpama hubungan seorang ayah dengan anak angkat.
Dalilnya adalah sabda
Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dalam Shahih al-Bukhari, hadis
no: 6767 (Kitab al-Faraidh, Bab orang yang menyandarkan…):
مَنْ ادَّعَى إِلَى
غَيْرِ أَبِيهِ وَهُوَ يَعْلَمُ أَنَّهُ غَيْرُ أَبِيهِ فَالْجَنَّةُ عَلَيْهِ
حَرَامٌ.
Sesiapa yang menyandarkan nasabnya kepada seseorang yang bukan
ayah (biologi)nya
padahal dia mengetahui bahawa itu bukan ayah (biologi)nya maka
syurga diharamkan ke atasnya.
Hadis di atas adalah
umum meliputi semua kes seperti anak dari pernikahan yang sah, anak angkat,
anak yatim dan anak dari hasil perzinaan yang tidak diketahui ayahnya.
Walaubagaimana pun
pada masa kini sudah ada kaedah pemeriksaan DNA dimana dengan membandingkan
kod-kod genetik manusia, dapat diketahui siapa ayahnya. Malah teknologi
terkini membolehkan pemeriksaan dilakukan terhadap bayi yang berumur 12
minggu ke atas sekali pun masih berada dalam kandungan ibunya.
Azlan dan Anisah boleh
melakukan pemeriksaan DNA dan jika didapati Azlan adalah ayah biologi Anisah,
maka hubungan antara kedua-duanya kembali kepada senario pertama di atas.
Akan tetapi jika pemeriksaan DNA menunjukkan Azlan bukan ayah biologi Anisah
atau pemeriksaan DNA tidak dapat dilakukan, maka hubungan kedua-duanya adalah
seperti senario kedua di atas.
Kesimpulan.
Menarik untuk
diperhatikan bahawa Allah dan Rasul-Nya sebenarnya mendiamkan hukum iddah dan
status anak penzina. Tidak ada ayat atau hadis yang secara jelas lagi padu (Qathi’e)
menggariskan hukum iddah dan status anak penzina. Ketiadaan ini menyebabkan
hukum iddah dan status anak penzina masuk dalam kategori Ijtihadiyah dan
para ilmuan terbahagi kepada dua golongan dalam menyikapinya:
1.Menggunakan dalil-dalil umum dan memasukkan hukum iddah dan
status anak bagi penzina dalam keumuman tersebut. Juga menggunakan kaedah
qiyas bagi menghubungkan hukum iddah dan status anak penzina kepada
dalil-dalil yang membicara hukum lain secara khusus.
2.Menggunakan hujah kesempurnaan al-Qur’an dan al-Sunnah, bahawa
jika kedua-dua sumber tersebut tidak menggariskan hukum iddah dan status anak
penzina, padahal kedua-dua masalah tersebut sedia wujud pada masa sebelum
kesempurnaan al-Qur’an dan al-Sunnah, maka tidak perlu bagi orang selepas kesempurnaan
al-Qur’an dan al-Sunnah menggariskan sesuatu hukum.
Kedua-dua manhaj di
atas adalah benar jika diukur melalui disiplin ilmu-ilmu Islam. Dalam
menganalisa dalil dan hujah kedua-dua pihak, saya menggunakan satu ukuran
lain yang sering ditinggalkan, iaitu pengaruh taubat dalam menghapuskan kesan
kesalahan orang yang berzina. Selain itu pada pandangan saya, perbicaraan
hukum tidak patut memiliki sifat teknikal sahaja, tetapi perlu juga memiliki
sifat adil (al-‘Adil), rahmat (al-Rahman), belas kasih (al-Rahim)
dan memaafkan (al-‘Afuw). Semua ini adalah sifat-sifat Allah, Tuhan
yang menurunkan hukum Islam itu sendiri.
Beberapa Nasihat Akhir.
Sebelum mengakhiri
risalah ini, ingin saya ambil kesempatan untuk menyampaikan beberapa nasihat
akhir.
Pertama:
Tujuan risalah ini
bukanlah untuk meringankan kesalahan zina tetapi sekadar memberi jalan keluar
kepada orang yang terlanjur berzina lalu ingin kembali ke jalan yang benar.
Zina tetap merupakan kesalahan yang amat berat lagi keji dalam Islam. Allah Subhanahu
wa Ta'ala berfirman:
وَلاَ تَقْرَبُوا
الزِّنَى إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاءَ سَبِيلاً.
Dan janganlah kamu
menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan
satu jalan yang jahat
(yang membawa
kerosakan). [al-Isra’ 17:32]
Oleh itu sikap yang
benar, matang lagi selamat adalah menjauhi zina serta apa jua faktor yang
mungkin mengarah kepada zina.
Kedua:
Maaf kata, kadangkala
faktor yang mengarah kepada zina adalah ibubapa penzina itu sendiri.
Sebabnya, apabila anak ingin bernikah, ibubapa sering menghalang dengan
alasan-alasan yang hanya layak dikemukakan jika mereka hidup pada Jurasic
Park. Alasan “Tamatlah pengajian dulu”, “Kerjalah dulu”, “Tunggulah naik pangkat
dulu” dan “Belilah rumah dulu” tidak lagi releven untuk masa kini. Kenapa tak releven? Sudah
masanya anda, Wahai Ibubapa, duduk sejenak dan memikirkannya.
Sikap ibubapa yang
menghalang anak bernikah tanpa alasan yang munasabah pada zaman kini adalah
antara sebab utama mengapa anak-anak muda terlanjur berzina. Oleh itu pada
kesempatan ini, ingin saya nasihatkan diri saya dan para ibubapa sekalian
agar:
1.Jangan menghalang anak yang ingin bernikah kecuali dengan alasan
yang munasabah lagi benar. Alasan itu pula hendaklah memiliki manfaat yang
jauh lebih besar berbanding mudarat yang bakal menimpa seandainya diizinkan
bernikah.
2.Seandainya anak terlanjur berzina, ibubapa janganlah menghalang
mereka jika mereka ingin bertaubat, bernikah dan meneruskan kehidupan sebagai
pasangan yang halal. Malah ibubapa sepatutnya memainkan peranan positif
dengan menasihati mereka untuk bertaubat dengan cara bernikah dan meneruskan
kehidupan sebagai pasangan yang halal. Seterusnya ibubapa memainkan peranan
memimpin dan membantu pasangan muda tersebut menghadapi suka duka kehidupan
berumahtangga.
Jangan lupa bahawa
ibubapa memiliki tanggungjawab yang besar dalam persoalan ini sehingga ke
Hari Akhirat. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:
كُلُّكُمْ رَاعٍ
وَكُلُّكُمْ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ
وَالأَمِيرُ رَاعٍ
وَالرَّجُلُ رَاعٍ عَلَى أَهْلِ بَيْتِهِ وَالْمَرْأَةُ رَاعِيَةٌ عَلَى بَيْتِ
زَوْجِهَا وَوَلَدِهِ
فَكُلُّكُمْ رَاعٍ
وَكُلُّكُمْ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ.
Setiap daripada kalian adalah pemimpin dan setiap daripada
kalian akan dipersoal akan apa yang dipimpinnya.
Seorang amir adalah pemimpin (kepada rakyatnya), seorang lelaki
adalah pemimpin ke atas ahli keluarganya
dan seorang wanita adalah pemimpin ke atas rumah suaminya dan
anak-anaknya.
Maka setiap daripada kalian adalah pemimpin dan setiap daripada
kalian akan dipersoal akan apa yang dipimpinnya.
[Shahih
al-Bukhari, hadis no: 5200 (Kitab al-Nikah, Bab seorang wanita ad alah
pemimpin di rumah suaminya)]
Ketiga:
Kemungkinan antara
yang membaca risalah ini adalah pasangan yang sebelum ini pernah melalui
senario-senario yang saya sebutkan atau sesuatu yang menghampirinya. Bagi
pasangan ini, saya nasihatkan agar berhati-hati dengan syaitan kerana ia
memiliki senjata extra untuk mengganggu kalian. Ini kerana syaitan
sentiasa mencari celah untuk merosakkan keharmonian rumahtangga dan kesalahan
yang lampau adalah sesuatu yang sentiasa baru lagi efektif bagi syaitan.
Syaitan akan
menghasut, konon kalian hidup dalam suasana haram, taubat tidak cukup
sempurna untuk diterima Allah dan pelbagai lagi demi menaruh keraguan dan
akhirnya merosakkan keharmonian rumahtangga.
Semoga risalah ini
dapat menjadi senjata untuk melawan balik serangan-serangan syaitan tersebut
dan menutup apa-apa celahan lain yang mungkin dapat diselit olehnya.
Keempat:
Kemungkinan antara
yang membaca risalah ini adalah mereka yang pernah terlanjur berzina atau
memiliki kawan yang pernah terlanjur berzina. Hasil dari keterlanjuran
tersebut, lahirlah seorang anak yang suci bersih statusnya. Akan tetapi
disebabkan oleh pandangan masyarakat, anak tersebut lazim dihukum sebagai
anak haram, anak luar nikah, anak zina dan sebagainya.
Pandangan masyarakat
yang negatif inilah yang menyebabkan pasangan yang terlanjur membuang anaknya
dalam tong sampah, tandas atau di tempat perhentian bas.
Diharapkan melalui
risalah ini, pandangan masyarakat yang menghukum secara negatif ke atas bayi
yang tidak berdosa itu segera dipadamkan. Hasilnya, pasangan yang terlanjur
tidak akan merasa bersalah untuk terus memelihara anak mereka itu sepertimana
ibubapa yang lain.
|
Friday 27 January 2012
nikah kahwin
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment