Saturday 28 January 2012

ADI PUTRA


Adi Putra

Jika tidak kerana sorotan khas oleh sebuah stesen televisyen swasta selama dua malam berturut-turut mengenai kedudukan terkini Adi Putra Abdul Ghani, nescaya tidak ramai yang tahubahawa budak pintar Matematik itu kini sedang menghadapi hari-hari sukar menyesuaikan diri dengan sistem pendidikan negara.

Bahkan, ditolak jiran-jiran dan keluarga terdekat, barangkali semua pihak menyangka Adi Putra kini sudah ditempatkan di kelas khas sebagaimana disaran dan dijanjikan pelbagai pihak sebelum ini.

Tinggalkan sekolah, belajar di rumah

Tidak akan ada yang menyangka betapa budak itu kini terpaksa meninggalkan bangku persekolahan dan memilih kaedah pembelajaran sendiri di rumah.

Sorotan perkembangan terkini Adi Putra disiarkan menerusi slot Buletin Utama TV3 dua malam berturut-turut bermula Rabu (16 Januari). Sebelum itu akhbar-akhbar arus perdana juga ada menyiarkan keadaan beliau sekali dalam beberapa ketika.

Menurut pengakuan dibuat ibu bapanya, Adi Putra tidak lagi meneruskan persekolahan di Sekolah Islam Antarabangsa (IIS), Gombak. Sebelum berpindah ke situ pada April 2006, Adi Putra hanya sempat bersekolah selama tiga bulan di Sekolah Kebangsaan Jalan Matang Buloh, Bagan Serai. Itu pun Adi Putra kerap tidak hadir ke sekolah kerana mendapati pembelajaran di sekolah sangat membosankan.

Kebolehan Adi Putra menarik perhatian banyak pihak apabila beliau mampu menyelesaikan persoalan matematik paling sukar seperti ilmu pengiraan trigonometri, algebra dan pelbagai lagi dalam tempoh singkat. Kepintarannya itu mendapat pengiktirafan pelbagai pihak, termasuk Institut Penyelidikan Matematik Universiti Putra Malaysia (INSPEM).

Hingga kini Adi Putra dikatakan telah menghasilkan lebih 200 formula matematik. Menurut bapanya lagi, sebuah syarikat swasta pernah menawarkan berjuta-juta ringgit untuk membeli formula-formula tersebut.

Di sebalik kemampuan luar biasanya itu, Adi Putra masih perlu menghadiri kelas seperti rakan-rakan sebayanya. Menurut sukatan pelajaran di tahun satu, beliau terpaksa belajar menulis nombor asas dan kemudian mewarnakannya, walau pun di ketika itu dia sudah mampu menyelesaikan masalah matematik sehingga ke angka trilion.

Kebolehan otaknya yang setaraf dengan seorang pakar dalam bidang tersebut seakan 'diperbudakkan' apabila dipaksa kembali ke tahap permulaan. Bapanya pernah meluahkan rasa terkilan itu dua tahun lalu.

Dalam satu kenyataan kepada akhbar pada 21 Januari 2006, Abdul Ghani dipetik berkata, "saya kasihan dengan keadaan Adi sebab dia mempunyai kebolehan yang hebat tetapi terpaksa mengikuti sukatan pelajaran tahun satu."

Bosan

Logiknya, seorang kanak-kanak dengan kebolehan istimewa akan mudah bosan jika Adi Putra dipaksa melakukan kerja yang tidak membantu mengembangkan pemikirannya. Seorang kanak-kanak yang bosan seterusnya akan mendapati dia berada di tempat yang salah.

Keadaan itu akan mendorong Adi Putra melakukan perkara tidak menyenangkan termasuk menimbulkan masalah disiplin. Apabila dilanda kebosanan, Adi Putra akan mengganggu perjalanan kelas dan menjadi beban kepada rakan-rakan sekelas yang lain.

Sebab itu tidak mengejutkan apabila dua tahun lalu sekolahnya di Perak terpaksa mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada Adi Putra. Menurut peraturan dalam sistem pendidikan kita, seseorang yang sering tidak menghadirkan diri ke kelas perlu ada alasan sangat kukuh mengapa beliau tidak boleh dibuang sekolah.

Dakwaan bahawa pembelajaran di sekolah sangat membosankan, setakat ini tidak dapat diterima sebagai alasan untuk itu.

Keluarganya akhirnya memilih untuk memindahkan Adi Putra ke IIS. Bapanya, Abdul Ghani Wahid mengambil keputusan bercuti setahun tanpa gaji daripada majikannya, Tenaga Nasional Berhad (TNB) cawangan Bagan Serai, Perak untuk kepentingan pendidikan anaknya.

Ia bagi memastikan beliau mempunyai masa yang mencukupi untuk memenuhi keperluan anak pintarnya itu bersama dua lagi anaknya bertukar ke IIS.

Kita menyangka keadaan itu akan berubah apabila Adi Putra berpindah ke IIS. Apatah lagi perkembangan kanak-kanak pintar itu akan dipantau oleh kumpulan khas ahli-ahli akademik dan pakar psikologi kanak-kanak yang diketuai oleh Naib Canselor Universiti Teknologi Twintech, Datuk Prof. Dr. Ismail Mohd Salleh.

Apa rasional Idris Jusoh isytihar Adi 'anak angkat'

Kehadirannya ke IIS pula dikatakan mendapat tajaan pelbagai pihak. Antaranya ialah TNB dan kerajaan negeri Terengganu. Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Idris Jusoh, siang-siang lagi mengisytiharkan Adi Putra sebagai ‘anak angkat’ kerajaan negerinya. Ia akan membiayai keseluruhan pendidikan Adi Putra.

Apa rasional Idris begitu beriya membantu seorang pelajar yang bermastautin di Perak, sedangkan ribuan pelajar pintar tetapi miskin di negeri sendiri masih tidak terbela?

Kes penafian bantuan pelajaran kepada pelajar cemerlang Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2006, Abdullah Haris Zakaria Dagang oleh Yayasan Terengganu tahun lalu adalah contoh paling diketahui umum.

Bukan berdengki dengan Adi Putra. Soal kerajaan Terengganu nak tolong, tolong lah! Tapi jangan pula di masa sama menafikan hak rakyat negeri sendiri mendapatkan peluang menerima bantuan sepatutnya.

Apatah lagi Perak (negeri tempat Adi Putra bermastautin ketika itu) juga ada negeri dan kerajaannya sendiri. Ia juga diperintah oleh Barisan Nasional. Apa perlunya Terengganu yang mengambilalih tanggungjawab kerajaan Perak membiayai budak itu?

Apa pun hujah kita, kerajaan Terengganu tetap dengan keputusannya membiayai Adi Putra. Ia mengumumkan bantuan RM13,000 setahun bagi kos pengajian Adi Putra di IIS.

Itu tidak menjadi masalah bagi kita. Sebagaimana disebutkan tadi, kita bukan membantah mana-mana pihak nak bantu Adi Putra. Moga-moga IIS dapat menampung keperluan Adi Putra mengembangkan kepintaran luar biasanya itu.

Menagih janji

Rupa-rupanya nasib Adi Putra tidak bertambah baik. Amat mengejut dan mendukacitakan kita apabila mengetahui sekolah berprestij itu juga gagal menyediakan pembelajaran yang sesuai dengan otak budak itu.

Rabu lalu, Adi Putra sendiri dipetik TV3 sebagai berkata, "otak Adi ni ibarat kereta Ferrari. Kalau suruh bawa macam kereta Kancil, rosak lah ia!”.

Perumpamaan itu difahami bagi menjelaskan mengapa beliau memilih untuk tidak meneruskan pengajian secara formal di IIS, sebaliknya memilih kerangka sendiri dibimbing kedua-dua ibu bapanya.

Apa sudah jadi dengan janji-janji pelbagai pihak untuk menyediakan sesuatu yang khusus untuk beliau? Atau apakah masalah sebenar menyebabkan ibu bapa Adi Putra terpaksa memilih cara sendiri mendidik anak pintar mereka itu?

Kenyataan Dr. Ismail turut disiarkan TV3. Ia bagaimana pun tidak menjawab tanda tanya umum mengenai punca permasalahan yang sebenar.

Dr Ismail hanya dipetik berkata, beliau sudah tidak mahu menyentuh apa-apa mengenai Adi Putra. Beliau mendakwa sangat kecewa kerana segala usaha dan pandangan beliau untuk kanak-kanak itu tidak dihargai oleh ibu bapanya.

Aset

Adi Putra adalah ‘aset’ berharga yang berpotensi menyumbang kepada pembangunan dan kemajuan negara sekiranya diberi peluang mengetengahkan kebolehan yang dikurniakan kepadanya. Malangnya, hingga kini kita nampaknya masih terkial-kial mencari kaedah terbaik memanfaatkan kepintarannya itu.

Ironis bukan? Sebuah negara yang kononnya diuar-uarkan sebagai hab pendidikan serantau, tetapi gagal menemui kaedah terbaik mendidik seorang budak pintar dari negara sendiri?

Nampak sangat sistem pendidikan kita tidak bersedia menerima sesuatu yang luar biasa. Kita gagal memberi ruang kepada Adi Putra untuk mengembangkan kebolehannya. Sebaliknya kita hanya mampu memaksa anak-anak mematuhi peraturan pembelajaran dalam sistem sedia ada.

Memang tepat analogi Adi Putra, sistem pendidikan kita telah memaksa “sebuah kereta Ferrari” berjalan macam “kereta Kancil”./wann.

-Maaf terkeluar tajuk sikit tapi inilah kebenarannya. Malaysia tidak mempunyai satu program atau pendekatan yang berkesan untuk menangani kanak-kanak pintar seperti ini. Lihat saja jiran kita, Singapura. Mereka ada program khas untuk kanak-kanak pintar ini. Sebab mereka ini aset penting bagi negara. Kalau Malaysia berterusan dengan dasar yang ada, mungkin satu hari nanti kanak-kanak pintar yang lahir di Malaysia akan dibawa oleh keluarga mereka ke luar negara mencari tempat pengajian yang lebih sesuai.

No comments:

Post a Comment