Friday 27 January 2012

ABDULLAH IBNU UMAR


Seramai seribu orang tentera kaum Muslimin yang terdiri daripada pahlawan-pahlawan gagah berani dan diketuai oleh Rasulullah SAW telah berhenti di Syaikhan, di tengah perjalanan di antara Madinah dan Uhud. Pada ketika itu matahari telah mula tenggelam di ufuk barat. Nabi SAW turun dari kudanya, Sakb. Baginda siap berpakaian untuk berperang. Serbannya diikat di sekeliling topi besinya. Baginda memakai penutup besi di dadanya di bawah baju besinya. Sebuah perisai tergantung di belakangnya dan pedangnya pula diletakkan di tepi badannya.

Bila matahari tenggelam, Bilal mengumandangkan azan lalu mereka pun menunaikan solat. Kemudian, Nabi SAW memeriksa barisan tenteranya sekali lagi. Baginda mendapati bahawa di antara para tenteranya itu, ada lapan orang budak lelaki yang turut ingin menyertai peperangan tersebut meskipun mereka masih di bawah umur. Di kalangan mereka adalah Zaid bin Usamah dan Abdullah ibn Umar, kedua-duanya hanya berusia tiga belas tahun. Nabi SAW memerintahkan agar mereka semua kembali ke rumah dengan segera. Namun, dua orang daripada budak-budak lelaki itu menunjukkan kekuatan masing-masing untuk membuktikan bahawa mereka layak berperang. Nabi SAW pun membenarkan mereka berdua turut menyertai tentera menuju peperangan Uhud manakala yang lain dihantar kembali kepada keluarga masing-masing. Dan sejak usia yang masih terlalu muda, Abdullah ibn Umar turut menunjukkan keinginan yang mendalam untuk menyertai Nabi SAW dalam kesemua urusan baginda. Beliau telah menerima Islam sebelum berusia sepuluh tahun dan telah melakukan hijrah bersama ayah dan kakaknya, Hafsah, yang kemudian menjadi isteri Nabi SAW. Sebelum peperangan Uhud, beliau juga diketepikan dari peperangan Badar dan hanya dalam peperangan Khandaq saja beliau bersama Usamah, kedua-duanya telah berusia lima belas tahun dan yang lain-lain yang sebaya dengan mereka dibenarkan menyertai barisan orang-orang Islam yang bukan saja menggali parit bahkan menyertai pertempuran yang berlangsung semasa peperangan tersebut. Dari masa berlakunya hijrah beliau hinggalah saat kematiannya lebih dari tujuh puluh tahun kemudian, Abdullah ibn Umar mengkhususkan dirinya untuk berkhidmat kepada Islam. Menurut Abu Musa al-Asha’ari, beliau digelar di kalangan kaum Muslimin sebagai “Yang baik, anak orang yang baik.” Beliau terkenal kerana ilmunya, tawadhu’nya, pemurahnya, solehnya dan kebenaran yang sentiasa ada pada dirinya, kelurusan dan istiqamah di dalam amal ibadah.

Dan ayahnya yang terkenal masyhur dan mulia, Umar, beliau mempelajari perkara yang besar dan kedua-duanya mendapat faedah dengan belajar daripada guru yang paling agung, Muhammad Rasulullah. Abdullah sentiasa memerhati dan meneliti segala perkataan dan perbuatan Nabi SAW dalam pelbagai situasi dan beliau melaksanakan apa yang dilihatnya dan didengar dari lisan Nabi itu dengan bersungguh-sungguh. Misalnya, jika Abdullah melihat Nabi SAW mengambil wudhu’ untuk mengerjakan solat di suatu tempat, maka beliau juga akan solat di tempat yang sama setelah itu. Jika dia melihat Nabi SAW berdoa ketika berdiri, beliau juga akan berdoa ketika sedang berdiri. Jika beliau melihat Nabi SAW berdoa ketika duduk, maka beliau juga akan berbuat demikian. Dalam satu perjalanan, jika beliau melihat Nabi SAW turun dari untanya di suatu tempat lalu solat dua rakaat, maka beliau juga akan melalui jalan yang sama, berhenti di tempat yang sama dan melakukan solat dua rakaat. Beliau pernah memerhatikan unta Nabi SAW melakukan pusingan dua kali sebelum baginda turun dan solat dua rakaat. Boleh jadi unta itu melakukannya tanpa sukarela, tetapi sekiranya Abdullah ibn Umar kebetulan berada di tempat yang sama pada waktu lain, beliau akan membuat untanya berpusing dua kali sebelum mendudukkannya dan beliau turun darinya. Kemudian, beliau solat dua rakaat sebagaimana yang pernah beliau lihat baginda melakukannya.

Aisyah r.a melihat kebaktian Abdullah ini terhadap Rasulullah SAW lalu berkata:

“Tiada seorang pun yang mengikuti jejak langkah Rasulullah SAW di tempat-tempat yang pernah disinggahi baginda sebagaimana yang dilakukan oleh Ibn Umar.”

Meskipun beliau akrab dalam memerhatikan perbuatan Nabi, namun Abdullah merasa teragak-agak, bahkan takut meriwayatkan hadith-hadith Rasulullah SAW. Beliau hanya meriwayatkan sebuah hadith sekiranya beliau telah benar-benar yakin bahawa beliau mengingati setiap patah perkataan daripadanya. Salah seorang sahabatnya berkata:

“Di antara para sahabat Nabi, tiada seorang yang lebih khuatir hendak menambah atau mengurangkan sesuatu hadith selain dan Abdullah ibn Umar.”

Begitu juga, beliau sangat berhati-hati dan keberatan untuk membuat fatwa. Suatu ketika seorang telah datang kepadanya dan meminta fatwa mengenai suatu persoalan. Abdullah ibn Umar berkata: “Aku tidak tahu apa yang kamu tanyakan itu.” Orang itu pun pergi lalu Abdullah menepuk tangannya dengan gembira lalu berkata pada dirinya sendiri: “Anak Umar telah dimintai sesuatu yang tidak diketahuinya, lalu ia katakan: Aku tidak tahu.”

Kerana sikapnya itu beliau rasa keberatan menjadi seorang qadhi meskipun beliau amat layak menduduki jawatan tersebut. Kedudukan qadhi merupakan satu kedudukan yang sangat penting dan dihormati dalam masyarakat dan negara Islam. Jawatan tersebut membawa penghormatan, kemuliaan dan bahkan kekayaan, namun beliau menolak kedudukan tersebut yang ditawarkan oleh Khalifah Uthman di masa pemerintahannya. Alasannya berbuat demikian ialah beliau bukannya memandang rendah terhadap kedudukan qadhi yang penting itu tetapi kerana beliau takut kalau-kalau melakukan kesilapan di dalam menjatuhkan hukum dalam persoalan yang berhubung dengan Islam. Uthman berjaya memujuknya supaya tidak menceritakan putusannya itu kerana hal itu mungkin akan mempengaruhi ramai para sahabat Rasulullah SAW yang lain, yang layak melaksanakan tugas-tugas sebagai qadhi dan penasihat.

Abdullah ibn Umar pernah digelar sebagai “saudara malam.” Beliau selalu berjaga malam untuk solat, menangis dan bertaubat kepada Allah serta membaca al-Qur’an. Pada suatu malam, ia menanyakan kepada pelayannya, Nafi’, apakah sudah tiba waktu fajar atau belum. Kalau Nafi’ menjawab fajar belum tiba, maka Abdullah meneruskan solat malamnya. Kalau Nafi’ mengatakan bahawa waktu fajar sudah tiba, maka beliau segera menunaikan solat subuh. Nabi SAW pernah berkata kepada kakaknya, Hafsah:

“Abdullah adalah seorang yang diberkahi. Kalau dia beribadah di malam hari, dia akan lebih berkahi lagi.”

Dan saat itu, Abdullah tidak meninggalkan qiyamullail sama ada di rumah atau dalam perjalanan. Dalam ketenangan malam, beliau akan sentiasa mengingati Allah, mengerjakan solat dan membaca al-Qur’an serta menangis. Airmatanya sentiasa berada di pelupuk matanya setiap kali beliau mendengar ayat-ayat peringatan dari al-Qur’an yang dibacakan, tidak ubah seperti bapanya. Apabila beliau membaca ayat yang ertinya: “Apakah belum tiba masanya bagi orang-orang mu’min untuk khusyu’ hatinya kerana mengingati Allah...” lantas Abdullah menangis tersedu-sedu. Ubaid ibn Umair menceritakan bahawa suatu hari beliau telah membacakan ayat-ayat berikut ini kepada Abdullah ibn Umar:

“Maka bagaimanakah (halnya orang-orang kafir nanti), apabila Kami mendatangkan seseorang saksi (rasul) dari tiap-tiap umat dan Kami mendatangkan kamu (Muhammad) sebagai saksi atas mereka itu (sebagai umatmu). Di hari itu orang-orang kafir dan orang-orang yang menderhakai rasul, ingin supaya mereka disamaratakan dengan tanah dan mereka tidak dapat menyembunyikan (dari Allah) sesuatu kejadian pun.” (‘an-Nisa’: 41-42)

Abdullah menangis ketika mendengarkan ayat-ayat itu dibacakan padanya sehingga janggutnya dibasahi airmatanya. Suatu hari, beliau duduk bersama-sama beberapa orang sahabat karibnya, lalu beliau membaca:

“Kecelakaan besarlah bagi orang-orang yang curang, (iaitu) orang-orang yang apabila menimbang untuk orang lain mereka minta dipenuhi, dan apabila mereka menakar atau menimbang untuk orang lain, mereka mengurangi. Tidakkah orang-orang itu menyangka, bahawa sesungguhnya mereka akan dibangkitkan, pada suatu hari yang besar, (iaitu) hari (ketika) manusia berdiri menghadap Tuhan semesta alam ?“ (al-Muthaffifin:1 -6)

Pada saat itu, beliau terus mengulangi bacaan “Pada suatu hari yang besar, (iaitu) hari (ketika) manusia berdiri menghadap Tuhan semesta alam” berkali-kali sambil menangis sehingga beliau pengsan.

Sifat soleh, sederhana dan pemurah bergabung dalam jiwa Abdullah menjadikan beliau seorang yang berkedudukan tinggi di samping para sahabat dan para tabi’in. Beliau gemar bersedekah dan memberi tanpa batas, dan tidak peduli berpisah dengan harta meskipun akibatnya beliau sendiri mengalami kekurangan keperluan hidup. Contoh teladan tentang kemurahan hatinya ialah, beliau pernah memberi wang berjumlah sepuluh ribu dirham kepada Nafi’, hambanya lalu berkata: “Sekarang engkau bebas dan merdeka.” Beliau adalah seorang peniaga yang berjaya dan amanah di sepanjang hidupnya. Sebagai tambahan, beliau mendapat wang dari Baitul Mal yang kerap dibelanjakannya untuk fakir miskin dan orang-orang yang memerlukan bantuan. Ayyub ibn Wail ar-Razi menceritakan satu peristiwa mengenai kemurahan hatinya itu:

“Suatu hari Ibn Umar menerima empat ribu dirham dan sehelai selimut baldu. Pada hari berikutnya, Ayyub melihat beliau makan makanan kering untuk untanya dengan berhutang.

Kemudian Ayyub pergi menemui keluarga Abdullah lalu bertanya:

“Tidakkah Abu Abdur Rahman (bermaksud Abdullah ibn Umar) mendapat empat ribu dirham dan sehelai selimut baldu semalam?”

“Ya, memang.” jawab mereka.

“Tetapi tadi aku lihat dia membeli makanan kering untuk untanya dan dia tiada wang untuk membayar harganya.”

“Sebelum malam datang, beliau telah pun berpisah dan semua yang diperolehinya itu. Kemudian, beliau ambil selimut tersebut dan mencampakkannya ke atas bahunya lalu keluar. Bila dia kembali, selimut itu tiada lagi bersamanya. Kami bertanya padanya kemana selimut itu, lalu beliau mengatakan bahawa beliau telah pun memberikannya kepada seorang fakir miskin,” terang mereka.

Abdullah ibn Umar suka menggalakkan orang ramai supaya memberi makan dan membantu kaum fakir miskin dan mereka yang memerlukan bantuan. Bila beliau makan, beliau kerap mengajak anak-anak yatim dan orang-orang miskin untuk makan bersama-samanya. Beliau sangat suka menolong dalam hal ini dengan cara hidupnya yang sederhana dan serba kekurangan. Suatu ketika, salah seorang sahabatnya yang datang dari Khurasan memberinya sehelai kain yang lembut dan mahal:

“Aku bawakan kamu thawb ini dari Khurasan,” kata kawannya, “tentu ia dapat menyejukkan biji matamu. Aku cadangkan supaya kamu tanggalkan pakaian kasar itu dan memakai thawb yang cantik ini .”

“Hulurkanlah ia padaku,” kata Abdullah lalu memegang kain tersebut lalu bertanya: “Adakah ini kain sutera?”

Kawannya menjawab: “Bukan, itu kain kapas”.

Selama beberapa ketika, Abdullah merasa gembira atas pemberian tersebut. Tetapi kemudian, beliau mencampakkan thawb tersebut dengan tangan kanannya lalu berkata:

“Tidak! Aku takut kain ini akan menjadikan aku sombong dan takbur. Dan Allah tidak menyukai orang yang sombong dan takbur.”

Maymun ibn Mahran menceritakan peristiwa berikut:

“Aku masuk ke dalam rumah Ibn Umar. Aku dapati barang-barang dalam rumahnya itu tidak sampai seratus dirham harganya.”

Hal itu kerana Abdullah ibn Umar seorang yang miskin. Sememangnya beliau kaya kerana beliau tidak bersikap kedekut, sebaliknya amat pemurah dan bersifat liberal.

Abdullah ibn Umar juga seorang yang amat sabar dalam menghadapi pelbagai kesakitan dan kesukaran, dan beliau segera memaafkan orang yang menyakitinya.

Diriwayatkan bahawa, seorang lelaki telah memakinya, tetapi beliau tidak melayannya. Setibanya di rumah, Abdullah ibn Umar berpaling ke belakang dan berkata:

“Saya dan saudara saya, Asim adalah termasuk keluarga yang terhormat.”

Dengan perkataan tersebut beliau bermaksud bahawa sebagai keluarga yang terhormat tidak layak apabila ia melayani orang yang memaki-maki.

Suatu ketika, di waktu al-Hajjaj bin Yusuf, seorang gabenor Muawiyah yang memerintah Hijaz, yang terkenal kejam dan fasik sedang berpidato di masjid, ketika itu Abdullah ibn Umar berdiri lalu berkata: “Engkau musuh Allah. engkau menghalalkan barang yang diharamkan Allah. Engkau meruntuhkan rumah Allah, dan engkau membunuh ramai wali-wali Allah.”

Al-Hajjaj bertanya: “Siapakah orang yang berkata demikian itu?”

Seseorang menjawab bahawa yang berkata itu ialah Abdullah ibn Umar. Mendengar itu, al-Hajjaj segera berkata: “Diamlah wahai orang yang sudah nyanyuk!”

Setelah al-Hajjaj kembali ke pejabatnya, dia memerintahkan pembantunya supaya menikam Abdullah ibn Umar dengan sebilah pisau yang telah diracun. Akibatnya, Abdullah ibn Umar menderita kesakitan. Pada suatu hari, al-Hajjaj datang ke tempat Abdullah yang sedang sakit itu. Al-Hajjaj mengucapkan salam, tetapi Abdullah tidak menjawabnya. Al-Hajjaj menanyakan sesuatu dan mengajaknya berbicara, namun Abdullah tetap mendiamkan dirinya. Beliau meninggal dunia pada tahun 72 Hijrah dalam usia 84 tahun akibat luka tikaman tersebut.

_________________
 

No comments:

Post a Comment