Friday 27 January 2012

ABBAD BIN BISYR


Pada waktu itu adalah tahun keempat selepas hijrah. Kota Nabi, Madinah masih lagi berada di dalam bahaya serangan musuh dari luar dan dalam. Dan dalam, suku Yahudi yang amat berpengaruh, iaitu Bani an-Nadir memungkiri perjanjian mereka dengan Rasulullah SAW dan mengadakan rancangan untuk membunuh baginda. Kerana itulah mereka diusir dari kota tersebut. Hal itu berlaku di dalam bulan Safar.

Dua bulan yang sukar itu berlalu perlahan-lahan. Kemudian Nabi SAW menerima berita bahawa suku-suku dari Najd sedang merancangkan suatu serangan. Untuk mendahului mereka, Nabi SAW mengumpulkan sepasukan tentera mengandungi empat ratus lebih orang, keluar dari Madinah menuju ke arab timur dengan meninggalkan Uthman bin Affan untuk menjaga kota Madinah. Di kalangan orang-orang yang mengikuti pasukan tentera itu adalah seorang pemuda bernama Abbad ibn Bisyr.

Apabila sampai di Najd, Rasulullah SAW mendapati bahawa tiada seorang pun orang lelaki berada di antara penduduk suku-suku yang bermusuh dengan kaum Muslimin itu. Hanya kaum wanita yang mereka temui. Orang-orang lelaki telah lari ke bukit-bukit untuk bersembunyi. Sebahagian daripada mereka berkumpul dan bersedia untuk berperang. Tidak lama kemudian, waktu solat Asar pun datang. Nabi SAW khuatir kalau-kalau puak musuh itu akan menyerang mereka di waktu sedang solat. Baginda pun mengatur saf-saf tentera Muslim dan membahagikan mereka ke dalam dua kumpulan lalu mengarahkan mereka supaya mengerjakan solat al-Khauf. Dengan satu kumpulan mengerjakan satu rakaat manakala kumpulan kedua berdiri dalam keadaan benjaga-jaga. Pada rakaat kedua, kedua-dua kumpulan itu bertukar tempat. Setiap kumpulan itu menyelesaikan solat mereka dengan satu rakaat selepas Nabi selesai.

Apabila melihat barisan tentera Muslimin yang bendisiplin, maka puak yang bermusuhan itu merasa tidak senang dan takut. Pada mulanya, Nabi SAW telah menjadikan kehadirannya dan missinya tidak diketahui di tengah-tengah tanah tinggi Arab sehingga baginda dapat kembali dengan aman.

Dalam perjalanan pulang, Nabi SAW mendirikan khemah di sebuah lembah untuk bermalam. Sebaik saja kaum Muslimin mengikat unta-unta mereka, Nabi SAW bertanya: “Siapa yang akan berjaga pada malam ini?” Abbad ibn Bisyr dan Ammar ibn Yasir, kedua-duanya yang dipersaudarakan oleh Nabi SAW ketika sampai di Madinah selepas peristiwa hijrah berkata: “Kami, ya Rasulullah.”

Abbad dan Ammar pergi ke tepi lembah untuk melaksanakan tugas mereka. Abbas nampak saudaranya itu kelihatan penat lalu bertanya kepadanya: “Bahagian malam yang mana yang engkau hendak tidur, yang pertama atau kedua?” “Aku akan tidur pada bahagian malam yang pertama,” kata Ammar. Tidak lama kemudian beliau tertidur di samping Abbad.

Malam itu begitu sunyi dan tenang. Bintang-bintang, pohon-pohon dan batu-batu semuanya seolah-olah seperti merayakan kesunyian tersebut dengan memuji-muji Tuhan mereka. Abbad merasa tenang. Tiada pergerakan atau tanda-tanda ancaman yang dilihatnya di sekitar kawasan itu. Mengapa tidak menghabiskan masa dengan beribadah dan membaca al-Qur’an? Alangkah menyeronokkan jika menggabungkan solat dengan membaca al-Qur’ an, dua perkara yang amat disukainya.

Pada hakikatnya, Abbas sangat terpikat dengan alQur’an sejak saat pertama kali beliau mendengar ianya dibaca oleh Mus’ab ibn Umair yang memiliki suara yang bagus dan merdu. Hal itu berlaku sebelum hijrah ketika Abbad baru saja berusia kira-kira lima belas tahun. AlQur’an telah tertancap di hatinya dan setelah itu siang malam beliau akan mendengarkan bacaan kalimah-kalimah Allah itu sebanyak mungkin sehingga beliau terkenal di kalangan para sahabat Rasulullah SAW sebagai teman alQur’ an.

Pada suatu malam yang telah lewat, Rasulullah SAW berdiri untuk mengerjakan solat tahajjud di rumah Aisyah yang bersambung dengan masjid. Baginda mendengar suatu suara membaca al-Qur’an, begitu merndu dan bagus sebagaimana Jibril menurunkan kalimah-kalimah itu kepadanya. Baginda bertanya: “Hai Aisyah, adakah itu suara Abbad ibn Bisyr?” Aisyah menjawab: “Ya, ya Rasulullah. Nabi SAW pun berdoa: “Ya Allah, ampunilah dia.”

Dan dengan demikian, dalam keheningan malam itu, di tengah-tengah lembah Najd, Abbad berdiri sambil mengadap kiblat. Sambil mengangkat tangannya menyerahkan diri kepada Allah, beliau memulakan solat. Selepas tamat membaca surah Fatihah, beliau pun membaca surah al-Kahfi dengan suaranya yang merdu dan menawan. Surah al-Kahfi adalah surah yang panjang mengandungi seratus sepuluh ayat yang menyentuh tentang iman, kebenaran dan dengan relativiti masa. Ketika beliau sedang asyik membaca dan menenungkan kalimat-kalimat Tuhan, kalimat-kalimat abadi yang tinggi dan penuh hikmah itu, seorang pengintip berjalan mendekati pinggir lembah tersebut untuk mencari berita mengenai Muhammad dan para pengikutnya. Dia adalah salah seorang yang merencanakan untuk menyerang Nabi tetapi telah lari ke kawasan pergunungan apabila kaum Muslimin sampai di Najd. Isterinya yang telah ditinggalkan di kampung telah diambil sebagai salah seorang dari para tawanan oleh kaum Muslimin. Apabila dia mendapati bahawa isterinya telah tiada, dia bersumpah dengan nama Latta dan Uzza bahawa dia akan memburu Muhammad dan para sahabat baginda dan dia tidak akan kembali selagi tidak menumpahkan darah.

Dan kejauhan, orang itu nampak bayang-bayang tubuh Abbad di tepi lembah itu dan dia tahu bahawa Nabi dan para pengikutnya pasti berada di dalam lembah. Diam-diam dia menarik anak panahnya dan memanahkannya ke arab Abbad. Ia tepat kena pada tubuh Abbad.

Dengan tenang, Abbad menarik keluar anak panah itu dari tubuhnya dan meneruskan bacaan al-Qur’annya, beliau tetap leka di dalam beribadah. Pengintip itu memanahnya buat kali kedua dan ketiga yang mengena sasarannya.

Abbad menarik keluan kedua-dua anak panah itu satu persatu. Beliau menghabiskan bacaannya, ruku’ kemudian sujud. Dalam keadaan lemah dan kesakitan, beliau menghulurkan tangan kanannya ketika masih sujud dan menggoyang-goyangkan temannya yang sedang tidur. Ammar terbangun. Dengan diam-diam, Abbad meneruskan solat sehingga habis, lalu beliau berkata: “Bangunlah dan berjagalah. Aku tercedera.”

Ammar melompat lalu menjerit. Melihat kedua-duanya, pengintip itu segera lari dalam kegelapan malam. Ammar berpaling ke arah Abbad ketika ia terbaring di atas tanah dengan darah mengalir keluar dari luka-lukanya.

“Ya Subhanallah! Kenapa engkau tidak mengejutkan aku ketika anak panah pertama menusukmu?”

“Aku sedang membaca ayat-ayat al-Qur’an yang memenuhi jiwaku dengan kerendahan diri dan aku tidak mahu menghentikan bacaanku itu. Nabi SAW telah memerintahkan aku supaya menghafal surah ini. Aku lebih suka mati daripada menghentikan bacaannya.”

Kebaktian Abbad terhadap al-Qur’an merupakan suatu tanda kesetiaan dan kecintaannya yang mendalam terhadap Allah, Rasul dan agamaNya. Beliau terkenal amat rajin beribadat, sangat berani dan amat pemurah di jalan Allah. Pada waktu-waktu jihad dan berhadapan dengan maut, beliau selalu berada di barisan depan. Bila sampai masa mendapatkan ganjanan (ghanimah) kerana kemenangan, beliau hanya akan ditemui selepas kaum Muslimin berusaha mencarinya dengan susah payah. Beliau selalu bersikap amanah di dalam segala urusannya yang berkaitan dengan harta benda kaum Muslimin. Aisyah, isteri Rasulullah SAW pernah berkata:

“Ada tiga orang di kalangan Ansar yang tiada seorang pun dapat mengatasi mereka dalam kebajikan, iaitu: Saad ibn Mu’az, Usaid ibn Khudair dan Abbad ibn Bisyr.”

Abbad mati sebagai syahid dalam peperangan Yamamah. Sebelum berlakunya pertempuran itu, beliau merasakan bahawa beliau akan mati dan menjadi syahid. Beliau mendapati bahawa adanya kekurangan rasa yakin di kalangan kaum Muhajirin dan Ansar. Beliau merasa kecewa dan sedih. Beliau menyedari bahawa pasti kaum Muslimin tidak akan berjaya dalam pertempuran yang dahsyat itu melainkan kaum Muhajirin dan Ansar dikumpulkan dalam pasukan yang berasingan supaya dapat dilihat dengan jelas siapakah yang benar-benar bertanggungjawab dan dapat bertahan dalam pertempuran itu.

Ketika pertempuran bermula, Abbad berdiri di suatu tempat yang tinggi lalu berucap:

“Hai kaum Ansar, camkan diri kamu di kalangan manusia. Hancurkan senjatamu dan janganlah kamu meninggalkan Islam.”

Abbad berucap panjang mengingatkan orang-onang Ansar hingga kira-kira empat ratus orang berkumpul di sekelilingnya diketuai oleh Thabit ibn Qais, al-Bana’ ibn Malik dan Abu Dujanah, penyimpan pedang Nabi. Dengan barisan kekuatan ini, Abbad mara ke barisan musuh dengan serangan berani mati sehingga berjaya melumpuhkan kekuatan mereka dan mengusir mereka ke ‘taman kematian.’ Di dinding taman in, Abbad ibn Bisyr jatuh syahid. Luka-lukanya begitu banyak sehingga sukar hendak mengenalinya lagi. Sesungguhnya beliau telah hidup, berperang dan mati sebagai seorang yang beriman.

No comments:

Post a Comment