(Beberapa Pandangan Ulama’ Semasa)
Segala puji bagi Allah swt Tuhan pencipta
sekalian alam.
Bagi menentukan adakah sesuatu perkahwinan itu
boleh diiktibar (dianggap) sah di sisi Syara’ perlulah ianya memenuhi
syarat-syarat yang ditetapkan oleh Syara’.
Antara syarat-syarat untuk memastikan bahawa
perkahwinan itu sah ialah:
1. Wujudnya keredhaan yang tulus daripada
kedua-dua pihak suami dan isteri.
2. Lafaz yang menunjukkan bahawa perkahwinan itu
tidak dibataskan oleh waktu-waktu tertentu.
3. Adanya wali bagi pihak isteri.
4. Perkahwinan itu disaksikan oleh saksi yang
melengkapi syarat-syarat persaksian.
5. Perkahwinan tersebut diwarwarkan kepada
umum.
Jika lengkap syarat-syarat yang telah ditetapkan
oleh syara’ ini maka perkahwinan Misyar ini adalah perkahwinan yang sah
selagimana perkahwinan ini tidak bertempoh
walau apa nama perkahwinan ini sekalipun.
Namun apabila si isteri rela untuk menggugurkan
hak-hak yang berhak untuk diperolehi oleh si isteri tersebut yang telah
diberikan oleh syarak seperti nafkah, tempat tinggal dan pembahagian male untuk
suami bermale di rumah isteri yang bermadu, maka pengguguran hak tersebut
adalah harus di sisi syara’ sepertimana yang dilakukan oleh Sayyidah Sau’dah
R.A.
Beliau telah menghadiahkan hari yang sepatutnya
Rasulullah saw bermale di rumah beliau kepada Saiyyidah Aisyah R.A
Pendapat daripada Fadhilah Al-Syeikh Dr. Nasr
Farid Wasil (Bekas Mufti Mesir)
Perkahwinan di dalam Islam adalah di antara hubungan
kemanusiaan dan sesam, manusia yang amat suci yang dipelihara oleh Islam dan
Islam turut menyuruh untuk diambil segala jalan. yang boleh memudahkan
perkahwinan di kalangan manusia, lelaki dan wanita malahan syarak turut meminta
untuk memelihara perkahwinan dengan mewujudkan satu perjanjian yang kukuh yang
menjelaskan hak-hak dan kewajipan rumahtangga dan kekeluargaan. yang diberkati
dengan kalimah Allah.
Perkahwinan adalah dituntut berdasarkan nas
Al-Quran melalui firman Allah SWT di dalam surah al-Nur ayat 32:
Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan
perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba
kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan
kepada mereka dari limpah kurniaNya kerana Allah Mohor Luas (rahmatNya dan
limpah kurniaNya), lagi Mohor Mengetahui.
Allah swt jua berfirman di dalam surah al-Rum
ayat 21: Dan di antara membuktikan kekuasaan ALLAH dan rahmatNya, bahawa Dia
menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu
sendiri, supaya kamu bersenang hati SAKINAH dan hidup mesra dengannya dan
dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas
kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang
menimbulkan kesedaran) bagi tanda-tanda yang orang-orang yang berfikir.
Rasulullah saw juga bersabda dengan kalamnya
yang mulia:
“Perkahwinan adalah sunnahku. Barangsiapa yang
berpaling daripada sunnahku maka bukanlah mereka daripada UMAT ku.” Melalui
perkahwinan, berlakulah perlaksanaan Syariat Islam yang dikehendaki oleh Allah
YANG HALAL bagi kepentingan manusia menelusuri firman Allah Taala yang
bermaksud:
"Sesungguhnya Aku hendak menjadikan
seorang khalifah di bumi" (Al Baqarah ayat 30)
Melalui perlaksanaan Syariat Islam maka ibadah
akan sempurna yang kesempurnaan ibadah itu adalah dituntut dan diperintahkan
oleh Allah meLalui firmannya yang bermaksud:
Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan
manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu. Aku tidak
sekali-kali menghendaki sebarang rezeki pemberian dari mereka dan Aku tidak
menghendaki supaya mereka memberi makan kepadaKu. Sesungguhnya Allah Dialah
sahaja Yang Memberi rezeki (kepada sekalian makhlukNya, dan Dialah sahaja) Yang
Mempunyai Kekuasaan yang tidak terhingga, lagi Yang MOhOR Kuat Kukuh
kekuasaanNya. (Al Zhariat ayat 56 hingga 58)
Perkahwinan yang memenuhi MATLAMAT yang baik
dan mulia ini adalah perkahwinan yang sah di sisi syara’ yang memenuhi
rukun-rukun dan syarat-syarat perkahwinan yang diPANDU oleh syarak yang
diperintahkan oleh Allah dan rasulNya di dalam Al-Quran dan Al-Sunnah di
samping turut disepakati oleh ulama Islam di setiap zaman.
Ini kerana , rukun-rukun nikah dan
syarat-syaratnya lah yang akan membezakan antara akad nikah yang menepati
syarak dan akad nikah yang diharamkan oleh Islam. Rukun serta syarat nikah ini
yang akan menjadi pembeza yang berterusan sehingga hari kiamat. Sehubungan
dengan itu, pihak Dar al-Ifta’ (Majlis Fatwa Mesir) berpandangan bahawa nikah
misyar jika ia memenuhi syarat-syarat dan rukun-rukun ini iaitu keredaan yang
sempurna daripada pihak suami dan isteri, lafaz akad nikah yang mengandungi
maksud perkahwinan yang berterusan, wali daripada pihak pengantin wanita,
saksi-saksi yang memenuhi kriteria yang penuh sebagai seorang saksi yang
sempurna dan peisytiharan perkahwinan tersebut dengan cara yang pelbagai maka
perkahwinan tersebut adalah perkahwianan yang sah di sisi syara’ dengan kita
tidak perlu memandang kepada apa sahaja jenis istilah yang diberikan terhadap
nama perkahwinan itu selama mana perkahwinan itu tidak diterhadkan kepada
tempoh tertentu atas sebab-sebab berikut: 1. Sesungguhnya Allah SWT telah
menjadikan risalah Muhammad SAW ini sebagai penutup segala risalah dan Allah
swt telah menurunkan al-Quran sebagai penunjuk kepada kesejahteraan seluruh
umat sehingga waktu di mana Allah akan mewarisi bumi ini dan insan yang berada
di dalamnya (hari kiamat). Oleh itu tidak ada satupun perkara yang berlaku
dalam kehidupan manusia melainkan manusia akan mendapati penyelesaiannya di
dalam kitab kepada risalah Nabi Muhammad SAW (Al-Quran) Allah berfirman:
"Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab Al-Quran ini" (Al
An`am ayat 38) Istilah Misyar terdapat hukum padanya jika kita meniliti secara
terperinci di dalam sejarah-sejarah para ulama terdahulu dan sekarang. Sesiapa
yang meneliti sejarah pengembaraan umat Islam terdahulu, dia akan mendapati
bahawa terdapat di kalangan generasi terdahulu insan-insan yang mengembara keluar
daripada tanah air demi menuntut ilmu atau berniaga. Jika mereka singgah di
sesuatu negara di tengah perjalanan maka mereka akan menetap di situ dalam
beberapa masa tertentu, lama atau sekejap seterusnya berkahwin dengan penduduk
negeri tersebut dan mendapat zuriat kemudian menyambung kembali perjalanannya
dengan meninggalkan isterinya sama ada dengan jalan talak atau sebagainya dalam
keadaan isterinya rela dengan perkara tersebut. 2. Di sana hanya ada satu jalan
sahaja tanpa ada jalan yang kedua yang membenarkan kepuasan seks dapat
disalurkan. Jalan ini ialah perkahwinan yang menepati syarak. Oleh itu selain
daripada perkahwinan yang sah di sisi syarak, maka ia adalah dilarang oleh
syariat-syariat Allah dalam semua agama malahan syariat-syariat Allah Taala
menganggap jalan selain perkahwinan adalah jalan-jalan yang mungkar. Al-Quran
telah menerangkan perkara ini di dalam firman Allah Taala : "Dan mereka
yang menjaga kehormatannya. Kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya maka
sesungguhnya mereka tidak tercela. Kemudian, sesiapa yang mengingini selain
dari yang demikian, maka merekalah orang-orang yang melampaui batas"
(Al-Mukminun ayat 5-7) Syariat Islamiah telahpun menerangkan bahawa perkahwinan
yang menepati Islam sahaja yang dapat mengumpulkan antara lelaki dan wanita
dengan kalimat Allah di atas akad yang berterusan dan perjanjian yang kukuh.
Oleh itu setiap kehendak yang jauh daripada perkahwinan yang menepati syarak
adalah satu penderhakaan terhadap Allah dan satu pelampauan batas terhadap garis
panduan yang telah ditetapkan oleh Allah. 3. Seseorang isteri itu mempunyai hak
di sisi syariat untuk menggugurkan hak-hak mereka yang sepatutnya mereka
perolehi seperti memohon nafkah, tempat tinggal dan pembahagian malam untuk
bersama dengan suami bagi isteri yang bermadu. Perkara ini secara jelas telah
ditunjukkan oleh isteri Rasulullah saw iaitu Sayyidah Saudah yang secara rela
telah memberikan hari yang sepatutnya Rasulullah saw bersama dengannya kepada
Saiyyidah Aisyah r.a. Seandainya kerelaan ini tidak menepati syarak maka pasti
Rasulullah akan tidak bersetuju dengan tindakan Sayyidah Saudah. Oleh itu
setiap syarat yang dibuat yang tidak menafikan tujuan asas dan maksud utama
bagi perkahwinan, maka syarat tersebut adalah sah dan tidak akan sama sekali
mencacatkan akad nikah atau membatalkannya. Dar al-Ifta’ (Majlis Fatwa Mesir)
tidaklah bermaksud melalui fatwa ini untuk menyuruh masyarakat memilih jalan
perkahwinan sebegini. Namun begitu, pihak Dar al-Ifta’ hanya bertanggungjawab
untuk bersungguh-sungguh menerangkan hukum-hukum syarak yang betul dengan
bersumberkan sumber-sumber hukum daripada Al-Quran dan sunnah baginda
Rasulullah saw serta pendapat para ulama muktabar daripada mazhab terdahulu.
Pendapat daripada Fadilah al-Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi : Perkahwinan Misyar
adalah perkahwinan yang seperti kita selalu perhatikan. Cuma yang berbeza
disini ialah istilah misyar yang digunakan. Sesuatu perkara itu bukanlah
diambil hukumnya daripada nama dan ibaratnya tetapi dilihat kepada apakah yang
terkandung didalam perkara tersebut. Terkadang manusia ada meletakkan nama yang
lain daripada nama tersebut. Kita mengetahui bahawa terdapat dikalangan para
suami yang berkahwin dengan isteri yang kedua tanpa memberitahu kepada
isterinya yang pertama berhubung dengan perkahwinan tersebut. Perkahwinan
seperti ini seolah-olah menyerupai nikah urfi walaupun bukanlah secara
keseluruhannya. Terdapat juga sebahagian daripada para fuqaha’ yang berpendapat
bahawa harus bagi si isteri untuk tidak menuntut hak kepada suami mereka
seperti hak bermalam dirumah mereka. Saya bukanlah dikalangan orang yang
mencanangkan perkahwinan sebegini, dan saya juga bukanlah dikalangan orang yang
menulis risalah untuk menyokong kearah perlaksanaan perkahwinan sebegini. Namun
bukanlah saya mampu untuk mengharamkan sesuatu perkara yang telah dihalalkan
oleh Allah swt. Bilamana ditanya kepada saya, apakah hukum perkahwinan
sebegini? Saya pasti akan berkata saya tidaklah mengetahui akan perkahwinan
sebegini. Tetapi cubalah kamu berikan gambaran secara jelas kepada saya
berkenaan perkahwinan tersebut. Maka kata lelaki tersebut, Perkahwinan tersebut
terdapat akad yang sah, terdapat saksi yang memenuhi syarat, terdapat juga
didalam perkahwinan ini walimatulurus, dan pendek kata kesemua hukum yang ditetapkan
syara’ memenuhi pekahwinan ini. Bagaimana mungkin bagi seorang fakih yang
mendengarkan permasalahan sebegini akan mengatakan perkahwinan sebegini adalah
haram? Walaupun ianya mengundang ketidakpuasan hati dikalangan masyarakat.
Terdapat perkara yang tidak disepakati oleh masyarakat tetapi ianya adalah
harus bagi syara’. Contohnya ialah seperti perkahwinan antara seorang hamba
dengan tuannya Perkara ini tentulah tidak mendapat persetujuan daripada
masyarakat tetapi jika ianya sempurna syarat-syaratnya dan rukunnya maka
tentulah saya akan mengatakan bahawa perkara adalah harus bagi syara’. Contoh
lain yang dapat saya berikan disini ialah perkahwinan seorang perempuan dengan
seorang lelaki yang sudah tua seperti datuknya (hanya kerana lelaki itu kaya)
tentulah akan mendapat tentangan daripada masyarakat. Adakah perkahwinan antara
perempuan muda tersebut dengan lelaki tua itu haram? Jawabnya Tidak! Kita tidak
pernah mengatakan perkara itu haram. Bahkan saya mengatakan perkara ini dibenci
oleh masyarakat.Tetapi untuk mengatakan sesuatu perkara itu haram atau halal
bukanlah satu perbuatan yang mudah. Mahu tidak mahu bagi si alim perlulah
senantiasa takutkan Allah dan senantiasa berjaga-jaga didalam mengistinbatkan
(mensabitkan) sesuatu hukum berkaitan dengan agamanya. Kita tidak mengatakan
bahawa perkahwinan sebegini haram melainkan jika terdapatnya dalil-dalil yang
menguatkan bahawa perkahwinan sebegini adalah haram!! Pendapat daripada
Fadhilah al-Syeikh Dr. Ali Jum’ah Al-Syafie (Mufti Mesir Sekarang) Syarat
perkahwinan di dalam Islam adalah perlunya ada ijab dan qabul serta tidak
bercanggah dengan larangan syara’ pada suami, isteri, wali, dan saksi. Apabila
telah sempurna syarat-syarat dengan akad di antara lelaki dan wanita, maka
sempurnalah pernikahan tersebut. Sebaliknya apabila tidak cukup syarat
tersebut, maka pernikahan tersebut terbatal. Orang Islam diminta untuk
menunaikan syarat yang telah dipersetujuinya. Oleh itu seorang wanita
dibenarkan untuk menggugurkan hak yang berhak diperolehinya dalam masalah
kewajipan suami untuk bermalam dengan si isteri kerana Sayyidah Saudah Binti
Zam`ah telah tidak mengambil hak bermalam bersama Rasulullah SAW dan memberikan
hak tersebut kepada ‘Aisyah R.A. Wanita juga dibenarkan untuk memulangkan
maharnya atau nafkah yang berhak diperolehinya kerana Allah SWT berfirman di
dalam surah An-Nisa’ ayat 4 yang bermaksud : "Kemudian jika mereka dengan
suka hatinya memberikan kepada kamu sebahagian dari mas kahwinnya maka makanlah
(gunakanlah) pemberian (yang halal) itu sebagai nikmat yang lazat, lagi baik
kesudahannya" Pendapat Prof. Dr. Wahbah Az-Zuhaily (Universiti Damsyiq,
Syria) Perkahwinan Misyar adalah satu perkahwinan dimana seorang wanita tidak
mengambil sebahagian daripada hak-haknya. Perkahwinan ini walaupun tidak menyampaikan
hasrat dan maksud perkahwinan, namun perkahwinan ini harus tetapi makruh dan
tidak sepatutnya diamalkan melainkan pada beberapa keadaan tertentu. Telah
berkata Prof Dr Wahbah Az-Zuhaily, pensyarah Syariah di Universiti Damsyiq,
Syria. “Perkahwinan disyariatkan oleh Allah SWT untuk merealisasikan beberapa
tujuan”. Di antaranya adalah : 1. Untuk menambah keturunan dan memelihara
kelangsungan zuriat. 2. Adalah untuk mendatangkan kebahagiaan, 3. Memelihara
diri daripada terjebak ke kancah maksiat dan zina 4. Mewujudkan kerjasama dan
keserasian hidup antara lelaki dan wanita untuk kehidupan berumahtangga. 5.
Perkahwinan juga adalah untuk mewujudkan kebahagiaan, dan ketenangan di antara
suami dan isteri selain bertujuan untuk mendidik anak-anak dengan didikan yang
sempurna. Perkahwinan Misyar juga merealisasikan sebahagian daripada
tujuan-tujuan perkahwinan walaupun tidak kesemuanya. Isteri tidak mengambil
haknya di dalam nafkah, tempat tinggal, sekiranya suami mempunyai isteri lain.
Tujuan yang jelas daripada pernikahan ini adalah untuk bersenang-senang
(melunasi fitrah batin isteri) samada si suami jelas mengambil faedah daripada
harta isteri manakala si isteri dapat menikmati kehidupan berumah-tangga. Pada
hemat saya, hukum perkahwinan misyar ini adalah sah sekiranya cukup dan
sempurna rukun-rukun dan syarat-syarat yang ditetapkan oleh syarak iaitu
kerelaan wali, saksi dan pemakluman kepada umum. Sekiranya tidak cukup salah
satu daripada syarat-syarat ini maka tidak sah di sisi para fuqahak. Tetapi, sebagai
jaminan kepada isteri dan hak-haknya dalam jangka masa yang panjang, hendaklah
isteri tersebut berwaspada dengan mendaftarkan perkahwinan tersebut kepada
pendaftaran rasmi dengan pihak berkuasa atau yang bertanggungjawab. Hal ini
kerana, sekiranya si suami meninggal dunia, dituntut daripada si isteri ‘iddah
dan berhak terhadap warisan harta pusaka suami. Si isteri pula telah berubah
fikiran dan menuntut haknya di dalam nafkah atau bahagian yang wajib daripada
harta pusaka suami. Selagimana pernikahan ini tidak merealisasikan semua tujuan
dan motif perkahwinan, kemanusiaan dan kemasyarakatan didalam keadaan yang
sempurna dan optimum, maka saya memberikan peringatan dan tidak menggalakkan
pernikahan ini dan menghukumkan ia sebagai makruh. Sesungguhnya perkahwinan
adalah bersendikan kepercayaan yang padu. Namun begitu, sekiranya sesuatu
pasangan masih tetap ingin mendirikan rumah tangga mereka dengan perkahwinan
jenis ini, maka diharuskan tetapi mereka berdua mesti menanggung kesan dan
akibat daripada perkahwinan tersebut seperti salah seorang daripada keduanya
tidak adil didalam menjaga hak-hak dan melaksanakan kewajipan khususnya di
dalam hubungan suami isteri. Pada keadaan begini, ianya menjadi haram walaupun
aqad perkahwinan tersebut sah.
No comments:
Post a Comment