“Al-Quran bukan makhluk, al-Quran adalah kalamullah.” Tegas Imam Ahmad
Hanbali, sedangkan beliau dalam keadaan dirantai dan dipaksa mengiyakan
pendapat pemerintah.
Beliau tidak gentar dalam menyatakan kebenaran di hadapan pemerintah
ketika itu – Khalifah al-Makmum. Khalifah al-Makmum adalah merupakan pengganti
kepada Khalifah al-Amin. Beliau adalah berfahaman muktazilah, iaitu golongan
yang bermazhab lebih cenderung menggunakan logik akal.
Ia meletakkan sesuatu perkara itu dengan logik akal, dan ini bersalahan
dengan apa yang dipegangi oleh Ahli Sunnah Wal Jama’ah. Antara kefahaman
songsang golongan muktazilah ini ialah berpendapat bahawa al-Quran adalah
makhluk.
Sebenarnya pendapat songsang ini telah pun disebarluaskan ketika era
pemerintahan Khalifah Harun ar-Rasyid – bapa kepada Khalifah al-Amin lagi.
Namun Khalifah Harun ar-Rasyid bertegas. Beliau membanterasnya dengan
bersungguh-sungguh. Bahkan pemerintah juga turut melakukan operasi penangkapan
terhadap mereka yang menyebarkan idea-idea itu.
Salah seorang penyebarnya bernama Basyar al-Murisy, dia tidak
tertangkap. Sempat pula melarikan diri dan bersembunyi. Dia muncul kembali
setelah kematian Khalifah Harun ar-Rasyid untuk meneruskan misinya.
PENANGKAPAN IMAM AHMAD HANBALI
Bila tiba pemerintahan Khalifah al-Makmum, isu ini kembali mewarnai
pentas politik pemerintah ketika itu. Imam Ahmad Hanbali atau nama sebenarnya
ialah Abu Abdullah Ahmad bin Muhammad bin Hanbal bin Hilal al-Syaibani
ditangkap dan dihadapkan kemuka pengadilan pemerintah – pemerintah yang
menyokong kata-kata Basyar. Beliau tidak gentar. Bahkan tetap mempertahankan
hujjahnya bahawa “Al-Quran itu adalah kalamullah, bukan makhluk.”
Sedangkan waktu itu, ramai ulama’ lain melarikan diri. Tidak berani
menyatakan kebenaran pada pemerintah, tetapi ia berbeza dengan Imam Hanbali. Imam
Ahmad Hanbali tidak pula menyertai pihak pemerintah dan bersekongkol dalam
mempertahankan hujjah muktazilah, tetapi beliau rela bersendiri.
Akhirnya, dia dihadapkan kepada Khalifah, dirantai dan dipenjara.
Suatu pertemuan diadakan. Dalam pertemuan itu, turut tersedia pelbagai
jenis alatan untuk menyeksa manusia. Ada pedang berkilat, ada cabuk berbisa,
ada lembing terhunus. Siap mencari mangsa untuk dihukumi. Pertemuan itu bakal
menentukan samaada ulama’ tersohor perintis kepada mazhab Hanbali itu akan
diseksa atau terlepas derita.
Beliau ditanya, tetapi tetap tegas pada jalan kebenaran. Sedangkan
dihadapannya sudah terang tanpa bersuluh siksaan yang akan dikenakan. Akhirnya,
beliau dicabuk.
Pada sebatan pertama, terpacul dimulutnya kalimah “Bismillah!”
Lalu disertai sebatan kedua. Beliau lantas menyebut “La haula wala
kuata illa billah”.
Dan pada sebatan yang ketiga, beliau segera membaca firman Allah
bermaksud:
“Katakanlah sekali-kali tidak akan menimpa kami melainkan apa yang telah
ditetapkan Allah bagi kami.”
Pukulan demi pukulan menghinggapi tubuhnya. Kesakitan tidak terperi
lagi. Bukan tiga kali sebatan, tetapi mencecah hingga 29 kali beliau disebat.
Bekas sebatan di tubuhnya mengalir darah dan kulit-kulit menggelupas
menampakkan isi. Saat itu, tali seluar yang dipakainya terputus. Lalu seluar
itu sedikit demi sedikit semakin terlondeh.
Ketika itu juga beliau merasa auratnya kian terserlah akibat seluar yang
semakin menurun. Beliau mendongak ke langit. Bibirnya bergerak-gerak tanda
menguntum doa pada Jalla Wa’ala. Beliau lantas berdoa agar
auratnya terhijab.
Sebentar kemudian, seluarnya secara tiba-tiba naik ke tempat asal.
Permohanan agar auratnya terhijab akhirnya dimakbulkan Allah Ta’ala.
Subhanallah! Lihatlah, lihatlah. Bagaimana ulama’ yang berada dijalan
kebenaran, pasti akan mendapat pertolongan Allah Ta’ala. Ulama’-ulama’
yang sebenar-benar ulama’, bukan boneka mahupun ulama’ suk yang kenyang dengan
kebathilan.
Lalu Imam Hanbali dipenjarakan hinggalah kematian Khalifah al-Makmum.
Selepas itu tampuk pemerintahan bertukar kepada Khalifah al-Muktasim. Namun
saat itu Imam Ahmad Hanbali tetap hidup dalam keadaan terseksa kerana fahaman
muktazilah itu masih merajalela. Bahkan Khalifah al-Muktasim juga berfahaman seiring
golongan itu.
TEGAS MENYATAKAN KEBENARAN
Era pemerintahan Khalifah al-Muktasim, sekali perdebatan mengenai
‘al-Quran makhluk atau kalamullah’ dianjurkan. Kali ini beliau berdepan dengan
seorang Qadhi besar bernama Qadhi Ahmad bin Ali Daud. Akan tetapi atas
kebijaksaan Imam Ahmad Hanbali, beliau akhirnya berjaya menewaskan wakil
kerajaan ketika itu.
Akibat merasa malu dengan kekalahan itu, pemerintah memaksa Imam Hanbali
mengakui kesilapannya. Tetapi ia tidak semudah disangkakan, beliau tetap
bertegas dengan hujjahnya walau berada di hadapan sesiapa pun.
Natijahnya, beliau tetap diseksa dan dipenjara. Hinggalah kematian
Khalifah al-Muktasim serta Khalifah al-Watsik dan diganti pula oleh Khalifah
al-Mutawakkil, barulah Imam Ahmad Hanbali dibebaskan. Khalifah al-Mutawakkil
membersihkan kembali pemerintahan dari cengkaman muktazilah dan menghukum
mereka-mereka yang bersekongkol.
Begitulah secebis riwayat hidup seorang Imam besar yang hebat. Tetap
tegas menyatakan kebenaran walaupun berdepan dengan pemerintah yang zalim.
Tidak takut, dan tidak gentar sama-sekali!
Justeru, andainya ada riwayat sirah menyatakan bahawa ulama’ hebat
dahulukala menyatakan kebenaran beriringan kebathilan, sila
khabarkan!
Adalah kisah ulama’ yang tertulis,
di sebalik jeriji zalim terhiris
luka yang pedih.
Dia derita disebat dusta,
tetapi teguh walau dipaksa,
meski dunia ralit mengulit najis-
kehinaan.
Dia teguh berteman yang haq,
walau tersiat dipalu maksiat,
tidak kenyang menjamah mazmumah -
kebathilan.
Kerana dia pewaris kalam Tuhan,
Bukan rela menjulang panji kejahilan.
No comments:
Post a Comment