KUALA LUMPUR 6 April – Seorang pegawai Jabatan Kastam
Diraja Malaysia (JKDM) yang ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
(SPRM) bagi membantu siasatan dalam aktiviti pengubahan wang haram dan pelbagai
kesalahan lain dalam Operasi 3B pada Jumaat lalu, ditemui mati terjatuh di
bangunan Ibu Pejabat SPRM Kuala Lumpur di Jalan Cochrane, di sini hari ini.
Mayat Penolong Pengarah Kastam Selangor, Ahmad Sarbani
Mohamed, 56, ditemui berlumuran darah dalam keadaan tertiarap di gelanggang
badminton di tingkat satu bangunan tersebut.
Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Mustafar Ali berkata,
Ahmad Sarbani ditahan SPRM pada 1 April lalu di pejabat Kastam Pelabuhan Utara,
Pelabuhan Klang dekat sini bagi membantu siasatan melibatkan Operasi 3B iaitu
siasatan di bawah Akta SPRM 2009.
Beliau berkata, pegawai JKDM terbabit bagaimanapun dibebaskan
dengan jaminan pada pukul 12.30 tengah hari, keesokan harinya.
“Pada pukul 8.26 pagi ini, Ahmad Sarbani datang ke
pejabat SPRM Kuala Lumpur bersendirian dengan menunggang motosikal.
“Sebaik sahaja tiba, beliau meminta untuk berjumpa
dengan pegawai penyiasat bagi membincangkan kes terhadapnya,” kata Mustafar
pada sidang akhbar di Ibu Pejabat SPRM Kuala Lumpur hari ini.
Menurutnya, disebabkan pengawai penyiasat yang ingin
ditemui sedang bermesyuarat, maka Ahmad Sarbani menunggu di lobi pejabat sehingga
pukul 9.30 pagi sebelum seorang pegawai lain datang berjumpa dan mengiringinya
untuk menemui pegawai penyiasat berkenaan.
Beliau berkata, pengawai pengiring terbabit berada
bersama Ahmad Sarbani dalam bilik pejabatnya di tingkat tiga, namun tidak lama
kemudian meninggalkan mangsa bersendirian kerana mahu mendapatkan pegawai
penyiasat yang ingin ditemui oleh mangsa.
Selang beberapa minit, katanya, pegawai pengiring itu
kembali ke pejabatnya dan mendapati Ahmad Sarbani sudah tiada di situ.
“Setelah mencari dalam kawasan pejabat, antara pukul
10.15 dan 10.20 pagi, seorang pegawai terlihat satu tubuh manusia terlantar di
tingkat satu bangunan pejabat ini,” katanya.
Beliau berkata, SPRM telah memaklumkan kejadian
menimpa mangsa kepada keluarganya dan pihak pengurusan JKDM serta menyerahkan
kepada polis untuk siasatan lanjut.
KUALA LUMPUR 6 April - Polis
menubuhkan pasukan khas bagi menyiasat kematian Penolong Pengarah Kastam
Selangor, Ahmad Sarbani Mohamed, 56, di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah
Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur, Jalan Cochrane, di sini hari ini.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk
Zulkifli Abdullah berkata, pasukan khas itu diketuai oleh Ketua Jabatan
Siasatan Jenayah Kontinjen Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah akan melakukan
siasatan menyeluruh termasuk punca kejadian.
Beliau memberitahu, polis
menerima maklumat mengenai seorang lelaki ditemui terjatuh daripada bangunan
pada pukul 10.42 pagi sebelum anggotanya tiba tujuh minit kemudian.
"Ketika itu, mayat seorang
lelaki dalam keadaan tertiarap dan mengalami kecederaan parah di kepala ditemui
di gelanggang badminton aras satu bangunan berkenaan.
"Selepas pihak forensik
polis dan jabatan patologi melakukan pemeriksaan awal, kematian mangsa
diklasifikasikan sebagai laporan kematian mengejut (SDR)," katanya ketika
melawat lokasi kejadian di sini hari ini.
Bagaimanapun, jelas beliau,
laporan rasmi mengenai kematian mangsa akan hanya diperoleh selepas Pusat
Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) melakukan bedah siasat.
"Jika terdapat kemungkinan
lain dalam bedah siasat tersebut, polis sedia melakukan siasatan.
"Tapi ketika ini, kesemua
pihak jangan timbulkan sebarang spekulasi, biarlah polis siasat dulu,"
ujarnya.
No comments:
Post a Comment