by Harlina Halizah
Siraj on Thursday, June 16, 2011 at 8:30am
( Artikel ini
diterbitkan sebagai buahtangan sulong Dr.Har dalam ruangan Fitrah: Menyantuni
Naluri Insan dalam majalah Solusi Isu ke23, 2010 terbitan Telaga Biru. Mohon
dimanfaatkan sebaiknya jika ada kebaikan yang boleh sama-sama dikongsi. Semoga
ia menjadi amal soleh yang dinilai oleh Rabbul Jalil.)
Apabila disebutkan
pendidikan seks, apakah yang tergambar di dalam benak pemikiran kita? Ramai di
antara kita yang akan membayangkan satu bentuk matapelajaran yang diajar di
sekolah-sekolah di Barat khususnya, yang menghuraikan aspek biologi manusia
menjurus kepada perlakuan seksual dan hubungan kelamin. Kita juga menggambarkan
betapa liberal sikap guru yang mengajarkan subjek tersebut, di samping latarbelakang
masyarakat sekitar yang menganggap seks sebagai satu keseronokan tanpa ikatan
dan tanggungjawab.
Implikasinya, amat
mudah kita menolak bulat-bulat saranan dan cadangan yang diajukan agar
pendidikan seksualiti diketengahkan sebagai salah satu kaedah penyelesaian
kepada kemelut gejala sosial dan seksual yang sedang meruncing dalam masyarakat
kita hari ini. Sebelum kita mengambil sebarang tindakan selanjutnya, elok kita
perhalusi terlebih dahulu perspektif yang merangkumi pendidikan seksualiti ini.
Pendidikan seksualiti
dalam ertikata sebenarnya adalah satu bidang pendidikan yang menggabungkan
sekurang-kurangnya lima dimensi – biologikal, intelektual, emosional, sosial
dan spiritual. Pendidikan ini bertujuan membentuk manusia yang terhormat dan mulia,
dengan perubahan khusus tingkahlaku seksual yang selamat – yang tidak akan
merosakkan diri sendiri, orang lain dan masyarakat. Melalui ilmu mengenai aspek
seksualiti yang holistik, kemahiran manusia untuk membuat keputusan
(decision-making skills) yang berkaitan dengan aspek seksualiti dilatih menjadi
lebih mantap. Akhirnya manusia memilih tindak tanduk serta tingkahlaku seksual
yang selaras dengan peraturan fitrah yang sejahtera. Begitulah matlamat utama
pendidikan seksualiti yang diharap dan diidam-idamkan.
Mary Buxton, seorang
perunding terapi seksual memberi huraian mengenai ciri-ciri remaja belia yang
sihat dari sudut seksualnya seperti berikut :
Menghargai tubuh
badannya
Bertanggungjawab
terhadap setiap tingkahlaku
Berkomunikasi dengan
berkesan dan terhormat
Meluahkan rasa cinta
dan keintiman melalui cara yang bersesuaian dengan usianya
http://www.marybuxton.com/Family_Matters/Sexually_Healthy_Teens
Penulis yakin, ramai
antara kita yang tiada masalah untuk bersetuju dengan ciri-ciri remaja belia yang
sihat aspek seksualnya sebagaimana yang dihuraikan oleh Mary Buxton.
Persoalannya, bagaimanakah kita hendak menanamkan ciri-ciri tersebut agar
sebati dengan kehidupan remaja belia hari ini? Apakah cara paling berkesan
untuk mendidik mereka agar berupaya memilih jalan yang benar, sejahtera dan
selamat apabila berhadapan dengan persoalan-persoalan berkaitan seksualiti?
Banyak kajian
dijalankan di Eropah dan AS mengenai keberkesanan pendidikan seks yang telah
sekian lama diajarkan kepada anak remaja di sekolah-sekolah di sana.
Keberkesanan diukur dengan kadar kehamilan remaja di bawah umur, usia ketika
hubungan seks yang pertama dan kadar penggunaan kaedah pencegahan kehamilan
(kontrasepsi). Kadar kehamilan remaja di negera Belanda (Netherlands) didapati yang
terendah dicatatkan di kalangan negara-negara Eropah (lihat Jadual (1).
Jadual (1) : Kadar
kehamilan remaja dan kelahiran di kalangan remaja
Negara
Kadar kehamilan remaja
( setiap 1,000 wanita
usia 15-19 tahun)
USA
72.2 (2004)
Perancis
25.7 (2002)
Jerman
18.8(2003)
Belanda
11.8 (2005)
Kadar kelahiran remaja
( setiap 1,000 wanita
usia 15-19 tahun) (2007)
USA
42.5
Perancis
7.1
Jerman
9.6
Belanda
4.8
Sumber:
http://www.advocatesforyouth.org/storage/advfy)
Antara beberapa sebab
yang dikatakan membolehkan Belanda mencatatkan kadar kehamilan remaja yang
rendah :
Pendidikan seksualiti
dimulakan awal di rumah menurut peringkat usia dan kematangan anak.
Keterbukaan sikap
terhadap aspek seksualiti di kalangan ibu bapa Belanda.
Nilai kekeluargaan yang
masih diutamakan dan keutuhan rumahtangga di kalangan penduduk Belanda ( kadar
penceraian di Netherlands adalah antara yang terendah di Eropah)
Pendidikan seksualiti
yang diajarkan secara formal di Belanda dilengkapkan dengan nilai moral, etika
dan agama yang dipegang oleh keluarga pelajar ( Kurikulum ini dinamakan
Sexuality Education Plus)
Banyak kajian juga
mengakui peranan moral dan agama dalam membantu remaja belia membuat keputusan
yang lebih selamat apabila berhadapan dengan persoalan berkaitan aspek
seksualiti. Satu laporan yang dikeluarkan oleh Institut Kesihatan Kebangsaan
(NIH) USA pada April 2003 menyimpulkan bahawa pegangan agama mengurangkan
kemungkinan remaja terbabit dalam aktiviti seks yang awal melalui pembentukan
sikap dan tanggapan mereka terhadap aktiviti seksual.
Kaedah penyampaian
pendidikan seksualiti tidak boleh disamakan dengan cara subjek matematik,
biologi, fizik, geografi dan sejarah diajarkan di sekolah. Seorang pelajar
masih boleh diajar menjadi cemerlang dalam bidang matematik tambahan, fizik dan
kimia oleh guru di sekolah, sekalipun kedua ibu bapanya buta huruf dan tidak
langsung mempunyai keupayaan menguasai subjek tersebut. Namun, pendidikan
seksualiti yang harus mampu membentuk insan yang kamil dan sejahtera, perlu
bermula dari sikap dan tanggapan yang betul di dalam rumah dan dijelmakan
melalui interaksi sihat penuh hormat antara ahli keluarga. Sementara di
sekolah, anak-anak akan dididik dan dilatih berinteraksi dengan komuniti sekitaran
yang terdiri dari kelompok yang sama atau berlainan gender. Kemahiran
bersosialisasi di sekolah menjadi tumpuan dan fokus yang perlu diutamakan bagi
mengembangkan dimensi sosial dalam aspek pendidikan seksualiti. Pendekata,
saranan yang menganggap gejala sosial akan mampu diselesaikan sekiranya
pendidikan seksualiti diajarkan secara formal di institusi pendidikan
semata-mata, tidak akan mencapai objektif yang dicita-citakan tanpa usaha
serentak yang serius dalam meningkatkan keberkesanan peranan ibu bapa dan
keluarga dalam menanamkan nilai agama, moral dan kemanusiaan yang mantap.
Masih ramai yang
ragu-ragu sama ada pendidikan seksualiti mempunyai tempat dalam aspek
pendidikan anak-anak atau tarbiatul aulad. Sekiranya dirujuk buku Tarbiatul
Aulad fil Islam ( Pedoman Pendidikan Anak-anak dalam Islam) karangan As-Syaikh
Al Ustaz Dr Abdullah Nasih ’Ulwan, terdapat satu bab khusus `Tanggungjawab
Pendidikan Seksual’ yang merangkumi adab meminta izin, adab memandang muhrim
dan bukan muhrim serta panduan menghindarkan anak-anak dari rangsangan seksual.
Di dalam pendidikan Islam, anak-anak perlu tegas diajarkan mengenai solat
seawal mungkin hingga menjelang usia tujuh tahun. Serentak dengan itu, mereka
perlu diajarkan berwuduk dan mengetahui apa yang membatalkan wuduk dan
solatnya. Ketika itu, mereka akan diperkenalkan dengan perkataan baru ` haid’,
`nifas’ dan `air mani’, yang perlu penjelasan lanjut dari ibu bapa dan guru. Di
dalam Al-Quranul Karim, jelas diajarkan keperluan mendidik anak-anak untuk
menghormati waktu-waktu tertentu dengan meminta izin sebelum memasuki bilik ibu
bapa pada tiga waktu iaitu sebelum solat Subuh, waktu Zuhur dan selepas solat
Isya’ sebagaimana yang dihuraikan dalam Surah An-Nuur, ayat ke-58. Berulangkali
juga peringatan Al-Quran mengenai keutamaan dan keperluan bagi orang-orang
beriman memelihara kemaluan mereka sebagaimana yang dinyatakan dalam ciri-ciri
kejayaan orang beriman dalam Surah Al-Mukminun, ayat 5, 6 dan 7. Bagaimana
mungkin seseorang itu memelihara, menjaga dan mengawasi kemaluannya sekiranya
dia tidak mempunyai ilmu dan maklumat yang tepat mengenai alat kelamin serta
fungsi reproduktifnya sendiri?
Penulis berpandangan,
sebenarnya pendidikan seksualiti adalah sebahagian dari aspek pembelajaran
sepanjang hayat (lifelong learning). Tidak dapat dinafikan, keperluan
seksualiti manusia berubah mengikut usia, tahap kematangan dan kehidupan serta
status kesihatan seseorang. Dengan itu, manusia harus sentiasa belajar
menyesuaikan diri dengan perubahan yang berlaku. Di waktu usia kanak-kanak dan
remaja, perubahan yang berlaku menjelang baligh menandakan tahap kematangan
organ pembiakan dan fungsi reproduktifnya, yang perlu diseimbangkan dengan
kematangan kognitif atau akal dalam membuat keputusan dan pilihan. Ibu bapa
yang perlu memberikan didikan ini harus berkemahiran memberikan jawapan yang
tepat kepada setiap persoalan mengenai seksualiti yang ditimbulkan oleh
anak-anak yang berada dalam peringkat ingin tahu. Kegagalan memberikan jawapan
yang tepat akan menyebabkan anak-anak beroleh maklumat yang salah, hingga
mengikis keyakinan anak-anak yang semakin terdedah dengan sumber maklumat luar
yang lebih dirasakan tepat. Ibu bapa harus mampu membina wibawa dan
kredibiliti, sehingga anak-anak menjadikan mereka rujukan pilihan utama setiap
kali timbul persoalan berkaitan seksualiti. Selain itu, ibu bapa mesti berupaya
memberikan maklumat berhubung aspek seksualiti sesuai dengan peringkat usia dan
kematangan anak-anak – yang lazimnya dibahagikan kepada empat peringkat :
prabaligh (sekitar 5 -9 tahun), baligh (10 – 12 tahun), remaja (13 – 17 tahun)
dan dewasa muda ( 18 tahun ke atas).
Pendidikan seksualiti
mestilah juga mencakupi dimensi sosial dan spiritual, di mana nilai moral,
agama dan kemanusiaan mestilah ditekankan. Anak-anak mesti diperingatkan
mengenai tanggungjawab menjaga alat kelamin sebagai amanah dari Allah SWT.
Sebagaimana juga anggota badan yang lain seperti mata, telinga, kaki dan
tangan, alat kelamin perlu dijaga sebaik mungkin untuk peranan utamanya
menyambung zuriat dan nasab keturunan manusia. Pada hari pembalasan kelak, bila
mana mulut terkunci dan anggota lain boleh berkata-kata untuk menyampaikan
aduan kepada Allah SWT, alat kelamin yang digunakan di luar batas yang
dibenarkan, akan pasti menuntut keadilan. Perzinaan akan menghancurkan kesucian
hubungan manusia dan membawa kepada banyak lagi kerosakan. Cabaran utama ibu
bapa Muslim hari ini adalah untuk membentuk anak-anak yang mempunyai daya tahan
dan kekalisan yang tinggi dari pengaruh aliran liberal yang menyanjung gaya hidup
hedonisme yang sarat dengan kecelaruan nilai dan identiti diri. Bekalkan mereka
dengan aqidah yang sahih, akhlaq yang terpuji, ilmu pengetahuan yang menajamkan
minda, sikap yang sejahtera dan tingkahlaku psikomotor yang sejajar dengan
fungsi sebagai hamba dan khalifah Allah di atas muka bumi ini. Ayuh, mulakan
usaha bersama, sekarang juga untuk pertingkatkan kemahiran kita sebagai
pembimbing kepada satu generasi baru yang mampu mendahului zaman, gagah
mencipta kegemilangan – bukannya satu generasi muda yang lemah longlai, begitu
mudah kecundang dan tersungkur menyembah nafsu syahwat yang serakah.
From: Mohd Sofian Mat
Ludin <mohdsofian71@yahoo.com>
To:
komunitiBP@yahoogroups.com
Sent: Wednesday, 8 June
2011 2:11 PM
Subject: Ceramah
Perdana Bersama Sheikh Ali Salleh Mohamad Ali Jabir
Assalamualaikum WBTH
Surau Bangi Perdana
akan mengadakan Ceramah Perdana Bersama :
Penceramah : Sheikh Ali
Salleh Mohamad Ali Jabir
Imam Besar Masjid Al
Muttaqin Indonesia
Berketurunan Arab
(Madinah) Fasih berbahasa Melayu
Tarikh : 9 Jun 2011
Hari : Khamis
Masa : Selepas Solat Maghrib
"Beliau akan
mengupas isu-isu semasa Umat Islam Masa Kini."
Tuan-Tuan/Puan-Puan dijemput
hadir.
Sekian terima kasih.
Sofian S.U. SBP
__._,_.___
No comments:
Post a Comment