Tuesday 10 July 2012

kerja Dakwah



Tugas yang paling tinggi dan paling agung sekali di dunia ini ialah tugas-tugas yang diusahakan oleh gerakan Islam kerana ianya bermatlamatkan pembentukan kembali dunia ini, bermula dari pembentukan individu sehinggalah kepada perlaksanaan sistem alam yang sesuai dengan fitrah manusia melalui pembentukan keluarga, masyarakat, umat dan institusi. Tugas ini diwarisi dari Rasulullah saw yang menghabiskan usia baginda melaksanakan usaha pembentukan : 1. Sejak dari Darul Arqam di Makkah sehingga ke Masjid Nabawi di Madinah. 2. Mulai dari golongan muda hingga ke golongan tua. Tugas membentuk memerlukan waktu khusus dan dikhususkan di samping keperluan kepada pemikiran pembentukan serta kaedah-kaedah yang khusus untuk memproseskan pembentukan itu. Imam Hasan Al Banna pernah mengatakan bahwa : “Pekerjaan utama seorang aktivis adalah pendakwah sebelum pekerjaan lainnya.” Oleh yang demikian, anugerah usia yang kita miliki perlu ditumpukan kepada usaha : a. Membentuk. b. Menelurkan. c. Mengeram. d. Menetaskan. e. Memetakan. f. Memberi fungsi. Setiap binaan memerlukan kepada pelan-pelan. Oleh kerana proses pembentukan kita merangkumi seluruh peringkat, maka ianya memerlukan kepada pelan-pelan yang banyak yang meliputi : 1. Pelan pembentukan peribadi. 2. Pelan pembentukan keluarga. 3. Pelan pembentukan masyarakat dan institusinya. 4. Pelan pembentukan semula dunia Islam. 5. Pelan untuk membentuk semula dunia ini secara keseluruhnnya. Kesemua ini memerlukan kepada program-program yang mesti diberikan keutamaan tenaga dan suasana dan ini pula tidak akan dapat dilahirkan kecuali setelah wujudnya suatu pemikiran pembentukan (‘Aqliah Al Bina’) dan peribadi-peribadi yang mampu untuk membentuk. Sesungguhnya, titik permulaan yang sihat (Al Bidayah As Sahihah) untuk segala sesuatu ialah wujudnya manusia-manusia yang mampu untuk sampai kepada pemikiran pembentukan kerana sebarang pembentukan memerlukan kepada suatu pemikiran yang : a. Mampu untuk membuat gambaran (membayangkan dalam fikiran). b. Kemudian melahirkannya. c. Seterusnya memperkemaskannya. Ini menuntut kita supaya semestinya mencari dan memeriksa manusia-manusia yang mampu dan berkelayakan untuk memproses binaan yang kita kehendaki itu. Sekiranya manusia yang kita kehendaki itu tidak ada, maka kita berkewajiban pula untuk menyedia dan melayakkannya. Firman Allah swt : “Dan Tuhanmu sekali-kali tidak akan membinasakan negeri-negeri secara zalim, sedang penduduknya adalah orang-orang yang berbuat kebaikan.” (QS Hud : 117) Syeikh Taufiq Al Wai’e mengatakan bahwa orang yang baik dalam ayat ini adalah orang yang soleh terhadap diri sendiri dan juga bekerja untuk memperbaiki orang lain. Jadi kesolehan peribadi mesti mampu memunculkan kesolehan sosial dan semangat ini tidak akan pernah muncul kecuali dengan membentuk. Membentuk dimaksudkan untuk menyokong tiang-tiang kebangkitan umat dan menghasilkan aktivis-aktivis dakwah pilihan, cerdas serta bersiap sedia menerima beban dakwah yang kelak di kemudian hari akan berada di atas bahunya. Sekiranya di dunia ini terdapat institusi –institusi untuk melahirkan berbagai-bagai jurutera, maka kita berkewajiban pula untuk mengadakan institusi-institusi bagi mengeluarkan jurutera-jurutera untuk proses pembentukan kita. Di antara apa yang perlu kita berikan tumpuan terhadap instistusi ini ialah : 1. Melahirkan muslim daripada akhlak-akhlak masyarakatnya dan daripada kemahirannya kepada akhlak-akhlak hati dan imbasannya. 2. Melatih seorang muslim yang bertanggungjawab dengan kata-katanya kerana setiap kata-katanya bernilai dan membina. 3. Mentarbiyah muslim itu tadi dengan tarbiyah yang sesuai dengan matlamatnya serta memberi pengetahuan dengan matlamat ynag hendak dicapainya. 4. Membentuk seorang muslim sehingga ia mampu mengambil keputusan yang bijaksana. 5. Melatihnya supaya tunduk kepada keputusan syura walaupun bercanggah dengan pendapatnya sendiri. 6. Melatihnya supaya boleh berbincang dengan bijak serta mengajarnya bagaimana membentangkan pendapatnya dan berhujah. 7. Mengajarnya bagaimana mengambil pengajaran daripada kritikan-kritikan dan menukarkannya menjadi cadangan-cadangan yang membina. 8. Menjelaskan kepadanya perbezaan di antara pemikiran yang membina dan pemikiran yang meruntuhkan kerana betapa mudahnya meruntuhkan dan sukarnya membina. 9. Mengajarnya bagaimana untuk memajukan yang sedia ada dan menambah yang tidak ada, serta memperingatkannya bahwa mudahnya merobohkan yang sedia ada dan sukarnya membina yang tiada. 10. Melatihnya bagaimana mengambil pengajaran daripada sesuatu yang berada di sekitarnya untuk sampai kepada matlamat pembentukannya. Sesungguhnya proses pembentukan yang sukar ini mendorong kita agar mencari mereka yang berkebolehan untuk menggarap proses pembentukan ini supaya dapat kita membawa mereka ke arah usaha ini dengan berdasarkan kepada kaedah-kaedah yang sihat. Kegagalan di dalam usaha ini bererti suatu kemunduran yang pasti akan disusuli dengan kemusnahan. Sejarah dakwah ratusan tahun yang lampau telah membuktikan bahwa Allah swt telah menganugerahkan kemenangan demi kemenangan dalam setiap tahapnya. Ibarat sebuah drama, setiap babak berakhir dengan kemenangan, meskipun di awal atau pertengahannya ada "pertarungan" kekuatan yang membuatkan kita berdarah atau tergores luka. HAKIKAT KEMENANGAN DAKWAH Sayyid Qutb berkata bahwa : "Sungguh, tidak ada celah sedikitpun bagi kita untuk berasa sombong dengan menganggap kemenangan itu adalah hasil usaha kita samada usaha individu ataupun jamaah. Kemenangan yang kita perolehi pada hakikatnya adalah pertolongan dari Allah swt." Inilah hakikat kemenangan dakwah iaitu pertolongan dari Allah. Oleh yang demikian, Allah swt membimbing Rasulullah swt ketika ‘Fathu Makkah’, sehingga bagindapun bertasbih, bertahmid dan beristighfar. Tuntunan itu tetap abadi hingga kini, yang termaktub di dalam surah An-Nasr. SIKAP DAN USAHA MERAIH KEMENANGAN BERIKUTNYA Ada beberapa sikap dan usaha yang mesti dilakukan oleh aktivis dakwah untuk sentiasa meraih kemenangan dan kejayaan. Sikap itu digabungkan dalam tiga bahagian : PERTAMA : AGENDA PEMBENTUKAN (TARBIYAH) Syeikh Mustafa Masyhur pernah berkata : "Jangan sampai perhatian kita kepada politik (siyasah) mengalahkan perhatian kita kepada tarbiyah." Mengapa? Ini adalah kerana tarbiyah adalah ruh gerakan kita. Tarbiyah adalah jiwa dalam amal dakwah kita. Sekali kita meletakkan tarbiyah menjadi kegiatan kedua, kita akan menjauhkan dakwah ini dari tujuannya sekaligus membuatkan dakwah ini rapuh dan jauh dari kemenangannya. Agenda tarbiyah adalah bertujuan untuk mencetak aktivis dakwah berkualiti seramai-ramainya. Dalam istilah Al-Qur’an, ini disebut ‘ribbiyuuna katsiir’. Ada lima perkara yang perlu dilakukan dalam agenda besar tarbiyah : A. MEMBUDAYAKAN TARBIYAH ZATIYAH Tarbiyah zatiyah di sini bukan sekadar membaca buku atau mengembangkan kefahaman dan ilmu secara bersendirian, tetapi yang paling asas adalah meningkatkan ibadah harian. Tarbiyah zatiyah bererti usaha aktivis dakwah untuk bermujahadah (usaha sungguh-sungguh) membiasakan ibadah-ibadah sunnah mulai dari tilawah, qiyamullail, solat sunnah, zikir hingga ke puasa. Tarbiyah zatiyah seperti itu akan : a. Membuatkan mereka lebih kebal terhadap godaan. b. Mencegah mereka dari kemaksiatan. c. Menjadikan mereka tetap istiqamah di medan perjuangan. d. Meningkatkan ruhiyah dalam dirinya. Hidupnya keadaan ruhiyah adalah kunci dari kejayaan dalam proses pembentukan kerana hati tidak boleh disentuh dengan kata-kata. Hati hanya boleh disentuh dengan hati. Tanda hidupnya ruhiyah seseorang boleh dilihat dengan “Halawatul Iman” yang ia rasakan. Tanda-tanda orang yang sudah merasakan “Halawatul Iman” sehingga ruhiyahnya hidup di antaranya seperti berkut : 1. Sentiasa menantikan waktu untuk beribadah. 2. Bersegera melakukan ketaatan. 3. Melihat syurga dan neraka seolah-olah ada di pelupuk matanya. 4. Air matanya mudah mengalir ketika bermunajat kepada Allah. 5. Melaksanakan ibadah terasa ringan. 6. Adanya penyesalan ketika melewatkan waktu untuk beribadah dan jihad. B. PENYEGARAN HALAQAH / USRAH Ia dapat dilakukan dengan terus memperbaiki sifat dinamik halaqah atau usrah, sekaligus meningkatkan produktivitinya. Sifat dinamik di dalam halaqah / usrah ini penting agar tidak wujud rasa jemu serta tidak dikalahkan oleh dakwah umum yang gegak gempita. Ia berlaku pada tingkatan proses. Di antara kriteria yang boleh digunakan sebagai kayu pengukur kedinamikan sesebuah halaqah / usrah adalah : a. Suasana yang inovatif Ia merangkumi sistem belajar, metod penyampaian, alat/media belajar, tempat pertemuan, pembahasan material, agenda cara dan lain-lain. b. Komen-komen ‘kerinduan’ Munculnya komen-komen ‘kerinduan’ samada implisit atau eksplisit seperti pertanyaan bila lagi akan bertemu atau mengapa halaqah/usrah tidak dilakukan lebih kerap lagi atau juga perasaan telah tertinggal apabila tidak dapat mengikuti halaqah/usrah. c. Ingin berlama-lama Walaupun pertemuan hanya terbatas selama 2 jam misalnya tapi peserta tidak begitu kaku dengan pembatasan waktu bahkan mereka ingin berlama-lama bercakap dan membahas berbagai program dan persoalan dakwah yang ada. d. Kehadiran yang rutin Tidak ada peserta yang ‘hobinya’ datang lambat atau sering tidak hadir. Mereka hanya tidak hadir atau terlambat semata-mata kerana ada halangan syari’e bukan alasan yang dibuat-buat agar kelihatan logik dan syari’e. Manakala produktiviti pula berlaku pada tingkatan tujuan iaitu sejauh mana tujuan yang telah dirancangkan mampu tercapai. Semakin banyak tujuan yang kita dapatkan maka semakin produktiflah kita. Sebaliknya, semakin sedikit atau tidak terealisasinya tujuan yang diharapkan, maka semakin tidak produktiflah kita. Produktif bermaksud halaqah atau usrah bukan sekadar “dinikmati” dan dirindukan setiap minggu, tetapi juga mampu mencapai tiga tujuan utamanya iaitu : 1. Membentuk muwashofat peserta. 2. Mencetak peserta menjadi murabbi. 3. Mengembangkan potensi secara maksimum. C. MENCETAK MUWAJJIH Oleh kerana tidak semua mad’u dan para pensimpati tertarik secara langsung dengan halaqah, maka majlis ta’lim adalah wasilah dakwah yang cukup berkesan. Minat terhadap pembelajaran ilmu semakin meningkat seiring denagn bertambahnya jumlah para pensimpati dan meluasnya medan dakwah. Namun, penyediaan muwajih untuk mengisi majlis ta’lim masih sangat terbatas sehingga agenda tarbiyah untuk mencetak muwajjih menjadi sangat penting. Struktur dan halaqah perlu membuat sistem yang berkesan untuk merealisasikan agenda ini. D. MENCETAK MURABBI / NAQIB Sebagaimana halaqah atau usrah merupakan wasilah paling berkesan dalam proses pembentukan, penyediaan murabbi atau naqib juga menjadi sangat penting. Selain menyelenggarakan daurah atau program lain untuk menyediakan murabbi, satu saranan yang baik adalah memastikan wujudnya murabbi yang berijazah untuk memacu aktivis dakwah menjadi murabbi yang handal. E. MENGUKUHKAN FIKRAH DAKWAH Usaha ini amat penting terutama pada era keterbukaan di mana tentangannya semakin berbagai ragam dan pergerakan politik terus berkembang. Agar kemurniaan fikrah aktivis dakwah tidak tercemar, salah satu cara yang boleh dilakukan pada tingkatan individu aktivis dakwah adalah dengan mengkaji kembali buku-buku pemikir dakwah generasi awal. KEDUA : AGENDA KHIDMAT MASYARAKAT Berkhidmat kepada masyarakat bukanlah strategi dakwah, tetapi ia adalah sebahagian dari amal sekaligus tujuan dakwah. Maka kemenangan dakwah juga mesti diikuti dengan peningkatan perkhidmatan untuk masyarakat. Ada lapan perkara yang perlu dilakukan dalam agenda khidmat masyarakat terutama ketika dakwah ingin menuai kemenangan : 1. Meningkatkan kefahaman politik. 2. Meningkatkan citra Islam yang damai. 3. Membenteras rasuah. 4. Menegakkan ketinggian hukum dan disiplin. 5. Mengutamakan pendidikan. 6. Membangun ekonomi Islam dan meningkatkan kesejahteraan. 7. Mewarnai media massa. 8. Menjalin silaturahim dengan kelompok lain. KETIGA : AGENDA PENGURUSAN ORGANISASI Ini juga merupakan agenda penting agar organisasi semakin kukuh sehingga kerja-kerja dakwah lebih mudah dan perkhidmatan kepada masyarakat akan berjalan secara optimum. Agar organisasi dakwah semakin kuat, ada tujuh langkah utama yang perlu dilaksanakan : 1. Meningkatkan kemampuan pengurusan. 2. Meningkatkan ciri-ciri kepimpinan. 3. Memberi fungsi kepada anggota berasaskan potensi. 4. Menyeimbangkan piramid dakwah. 5. Mengukuhkan wilayah dakwah. 6. Memperkasakan wanita. 7. Mengukuhkan keluarga. Sebenarnya, organisasi Islam hendaklah mempergunakan seluruh keupayaan anggotanya dan kepakaran mereka dan mengikat mereka dengan berbagai ikatan dan ikatan ini memberi khidmat kepada kerja Islam di dalam bentuk yang khusus; antaranya mengikat seseorang aktivis dakwah itu dengan ikatan dakwah Islamiyah dan gerakerjanya. Aktivis dakwah tersebut hendaklah bekerja dengan teratur di kawasannya, di pejabatnya malah di setiap tempat kerana seseorang aktivis dakwah itu masanya adalah untuk berdakwah. Dakwah bukan lagi merupakan satu kegiatan di luar kehidupan kita, malah oleh kerana hidup kita ini seluruhnya milik Allah, maka kita berkewajiban berkorban untuk dakwah ini. Akhirnya sebagai seorang aktivis dakwah yang benar-benar ikhlas dan berazam hendak menyebarkan risalah Islam, maka wajarlah kita sentiasa mengingati bahwa medan amal kita bukanlah kegiatan memenuhi masa lapang yang boleh dibuat secara sambil lewa dan membiarkan diri dan amal kita dipengaruhi oleh suasana persekitaran yang sentiasa berubah. Sebaliknya, seorang aktivis dakwah perlu menginsafi bahwa mereka sedang membawa satu amanah yang amat besar lagi berharga iaitu satu tugas paling mulia yang kerananya Nabi-Nabi dan Rasul-Rasul diutuskan. Hanya dengan bekalan dan panduan-panduan dari Allah, para pendukung risalah ini dapat bergerak dengan benar dan menerima limpahan rahmat dariNya. Dengan menyedari dan menuntut bekalan ini, para pendakwah akan sentiasa kembali kepada Tuhannya dalam segala perkara dan harapan mereka akan sentiasa hidup kerana panggilan dan bimbingan dari Allah swt itu adalah panggilan yang menghidupkan. Ya Allah, jadikanlah kami pejuang-pejuang agamaMu yang akan membawa risalah Islam ini ke segenap ceruk rantau dan ke dinding setiap hati manusia sehingga cahaya dari seruan ini akan menyinarkan relung-relung hati mereka dan menghidupkan hati-hati yang telah mati serta meneguhkannya dengan wahyu yang datang dariMu. Ameen Ya Rabbal Alameen WAS

No comments:

Post a Comment