Wednesday, 1 February 2012

DR MURAD HOFMAN TEMU KEBENARAN ISLAM


Dr. Murad Hofmann dilahirkan pada tahun 1931 dalam sebuah keluarga Roman Katolik. Beliau memperoleh ijazah pertamanya di Union College New York dan Dr. Murad Hofmannijazah PhD dalam bidang perundangan di Munich University pada tahun 1957. Pada tahun 1960 beliau memperoleh pula ijazah LL.M. dari Harvard Law School. Beliau dilantik menjadi Pengarah Penerangan bagi NATO di Brussels dari tahun 1983 hingga 1987. Pada tahun 1987 beliau dilantik menjadi Duta Jerman ke Algeria dan pada tahun 1990 pula menjadi Duta ke Morocco

Dr. Murad Hofmann memeluk Islam berdasarkan beberapa pengalaman dan pengamatan. Antara sebabnya ialah pengalaman beliau di Algeria di saat berlakunya pertembungan antara tentera Perancis dengan kumpulan gerila dari kumpulan Algerian National Front.yang menuntut kemerdekaan bagi Algeria. Beliau melihat penderitaan yang dialami umat Islam yang memperjuangkan kemerdekaan ini serta kesabaran yang mereka miliki. Beliau meyakini kesemuanya terhasil kesan dari ajaran Islam yang mulia. Bermula tarikh itu Dr. Murad mula mengkaji al-Quran tanpa henti.

Sebab kedua beliau memeluk Islam ialah kefahaman beliau yang mendalam tentang ajaran Kristian. Beliau mendapati terdapat perbezaan yang besar antara apa yang dipercayai oleh orang Kristian awam dengan apa yang diajar oleh profesor agama Kristian di universiti. Beliau tidak boleh menerima ajaran St. Paul yang amat berbeza dengan ajaran nabi Isa yang asal sedangkan, kata belilau, “St. Paul tidak pernah bertemu nabi Isa maka bagaimana dia berani mengubah ajaran nabi Isa?”

Di samping itu beliau juga tidak boleh menerima hakikat bahawa setiap orang dilahirkan dalam keadaan berdosa, seperti yang terkandung dalam konsep Original Sin dalam ajaran Kristian, dan nabi Isa perlu mati kerana dosa-dosa itu. Beliau berasa pelik tentang mengapa ‘Anak Tuhan’ perlu disalib dengan kejam untuk membersihkan manusia daripada dosa yang mereka sendiri lakukan.

Pada tahun 1980 beliau memeluk Islam. Beliau berkata, “Seorang Muslim hidup tanpa pemujaan kepada makhluk. Dia tidak menyembah Tuhan dengan perantaraan Jesus, Mary atau wali-wali tertentu, sebaliknya dia menyembah Tuhan secara langsung. Justeru seorang Muslim merupakan seorang yang merdeka dalam erti kata yang sebenarnya.”

Rujukan: http://www.islamreligion.com/articles/124/

Dileep Kumar (Agama Hindu, Tokoh Muzik Bollywood)

Dileep Kumar dilahirkan pada tahun 1966 di Madras, India. Beliau adalah penganut agama Hindu dan memperoleh ijazah dalam bidang Western Classical Dileep KumarMusic dari Trinity College of Music, Oxford University. Beliau amat popular di India melalui muzik ciptaannya yang merevolusikan muzik Bollywood di India. Semuanya bermula pada tahun 1992 apabila beliau diberikan kepercayaan untuk mencipta muzik dan lagu bagi filem Roja. Beliau berjaya menyerlahkan bakatnya sehinggakan lagu Tamizha Tamizha dalam filem ini menjadi pujaan ramai. Kebolehan beliau memang mengagumkan kerana beliau berjaya menggabungkan unsur-unsur pop, Bach, Beethoven, Mozart, reggae, rock serta muzik Hindu klasik dalam muziknya. Kerana kehebatannya itu beliau menggondol anugerah sebagai Pengarah Muzik Terbaik sebanyak tiga kali.

Pada tahun 1988 Dileep Kumar mengalami satu pengalaman yang pelik, iaitu, ketika berada di Malaysia beliau bermimpi menemui seorang lelaki tua yang menyuruhnya memeluk Islam. Beliau pada mulanya tidak mempedulikan mimpi itu namun apabila, selepas itu, mimpi yang serupa datang berulang-ulang kali dalam tidurnya, beliau mula memandang serius terhadapnya. Minatnya terhadap Islam terus meningkat dan kemuncaknya ialah ketika salah seorang adik perempuannya mengalami sakit tenat pada tahun 1988. Rawatan demi rawatan tidak berjaya menyembuhkan penyakit adiknya sehinggalah mereka bertemu dengan seorang tokoh agama Islam. Secara yang tidak diduga, penyakit adiknya sembuh selepas tokoh agama itu berdoa kepada Allah. Pada tahun 1989 Dileep Kumar dan keluarganya memeluk agama Islam dan beliau menukar namanya kepada Allah Rakha Rahman.

Antara pengalaman yang tidak boleh beliau lupakan ialah pada tanggal 6 Januari 2006 yang merupakan tarikh hari jadinya. Ketika itu beliau berada di Masjid nabi di Madinah. Beliau berkata, “Itulah hadiah hari jadi saya yang paling berharga. Selama sehari suntuk saya beribadah di dalam Masjid Nabi dan apa yang saya rasai tidak ada tolok bandingannya. Saya bersyukur dan berterima kasih kepada Allah.”

Rujukan: http://www.arabnews.com/?page=1&section=0&article=76202&d=13&m=1&y=2006&pix=kingdom.jpg&category=Kingdom

Dr. Ingrid Mattson (Roman Katolik dari Kanada)

Dr. Ingrid Mattson berasal dari Kanada. Beliau mendapat ijazah dalam bidang falsafah di University of Waterloo, Ontario, pada tahun 1987. Pada asalnya beliau Dr. Ingrid Mattsonmenganuti agama Kristian Roman Katolik namun disebabkan beliau tidak berasa damai dan tidak berasa dekat dengan Tuhan beliau terus mengkaji demi mencari kebenaran hakiki. Pencariannya membawanya kepada Islam dan ketika berumur 23 tahun beliau memeluk Islam. Solatnya yang pertama begitu bermakna baginya kerana ketika itulah, buat pertama kalinya, beliau berasa begitu dekat dengan Tuhan.

Pada tahun 1999 beliau memperoleh ijazah PhD dari University of Chicago dalam bidang Pengajian Islam. Pengalaman beliau merangsangnya untuk menulis pelbagai artikel bertujuan untuk membetulkan tanggapan negatif sebahagian masyarakat antarabangsa terhadap Islam. Artikel-artikel tulisan beliau banyak memfokuskan kepada aspek undang-undang Islam dan kerelevanannya dengan masyarakat sekarang, isu berkaitan gender dan kepimpinan serta isu-isu semasa yang melanda umat Islam masa kini. Di samping itu beliau sering di undang untuk bercakap di TV serta forum-forum antarabangsa berkaitan isu yang melanda umat dan agama Islam.

Pada hari ini Dr. Ingrid Mattson merupakan Pengarah kepada projek yang dikenali sebagai Islamic Chaplaincy. Beliau juga adalah Profesor di Macdonald Center for Islamic Studies and Christian-Muslim Relations di Hartford Seminary, Hartford, CT. Pada tahun 2006 beliau dilantik menjadi Presiden kepada Pertubuhan Islam Amerika Utara (ISNA).

Rujukan: http://macdonald.hartsem.edu/mattson.htm

Jang (Bangsa China)

Jang berasal dari negara China. Beliau menceritakan kepada staf IslamOnline bahawa perjalanannya kepada Islam bermula dengan isu pengharaman khinzir Jang(babi). Beliau berasa pelik mengapa Islam mengharamkan babi lantas beliau membuat kajian tentangnya dengan membaca beberapa majalah perubatan moden dan perubatan China tradisional. Beliau mendapati beberapa saintis mengatakan daging babi menyebabkan tidak kurang daripada 70 penyakit. Malah perubatan China tradisional juga membuat konklusi yang lebih kurang sama dengan mengatakan bahawa daging khinzir adalah antara makanan yang amat berbahaya bagi kesihatan manusia.

Selepas memeluk Islam Jang memilih nama Selim sebagai nama Islamnya sekali gus mengikut jejak langkah lebih kurang 30 juta Muslim yang terdapat di negara China pada hari ini.


fatwa


Fatwa Dr Yusuf Qardawi Tentang Tuduhan Zina / Liwat. Tarikh: 19 Nov 1999, Masa: 02:50:00

Menuduh orang-orang yang bersih dengan tohmahan-tohmahan, terutama tohmahan-tohmahan yang besar seperti berzina, liwat dan membunuh merupakan satu perbuatan yang diharamkan secara tegas oleh Islam. Bahkan ia termasuk dalam dosa-dosa besar yang boleh mendatangkan kemurkaan Allah dan azab-Nya.

Sebabnya, tohmahan-tohmahan seperti itu berupaya untuk menyerang kemuliaan diri orang-orang yang beriman sama ada lelaki atau perempuan. Ianya juga boleh menyebabkan orang ramai berburuk sangka terhadapnya… Perkara sedemikian juga menyebabkan tersebarnya kejahatan di kalangan orang-orang yang beriman. Oleh itu, al-Quran mengecam keras perilaku seperti ini dan mengancam para pendusta yang melakukannya dengan seksaan di dunia dan di akhirat. Firman Allah s.w.t.: “Dan orang-orang yang menyakiti orang-orang yang mukmin dan mukminat tanpa kesalahan yang mereka lakukan, maka sesungguhnya mereka telah memikul kebohongan dan dosa yang nyata.” (Surah al-Ahzab 33:58)

Allah s.w.t. juga berfirman: “Sesungguhnya orang-orang yang menuduh wanita-wanita yang baik-baik yang lengah (iaitu tidak pernah terlintas untuk melakukan perbuatan yang keji) lagi beriman (dengan tuduhan zina), mereka terkena laknat di dunia dan di akhirat dan bagi mereka azab yang besar. Pada hari (ketika) lidah, tangan dan kaki mereka menjadi saksi atas mereka terhadap apa yang dahulu mereka kerjakan. Di hari itu, Allah akan memberi mereka balasan yang setimpal menurut semestinya dan tahulah mereka bahawa Allah lah yang Benar, lagi yang menjelaskan (segala sesuatu menurut hakikat yang sebenarnya).” (Surah an-Nur 24: 23-25)

Para ulama telah sepakat (ijmak) mengatakan bahawa dosa dan hukuman terhadap orang yang melemparkan tuduhan ke atas lelaki mukmin adalah serupa dengan dosa dan hukuman terhadap mereka yang melemparkan tuduhan ke atas wanita mukminat.

Ayat di atas turun dalam bentuk seperti ini (menggunakan perkataan mukminat) kerana ayat tersebut diturunkan khas sebagai pembelaan terhadap Ummul Mukminin, Aishah As-Siddiqah binti Abu Bakar As-Siddiq. Beliau merupakan salah seorang isteri yang paling dicintai oleh Rasulullah s.a.w. selepas Khadijah, Peribadi yang suci ini terpaksa berhadapan dengan tuduhan yang keji.

Orang-orang munafik menyebarkan khabar angin tentangnya dan melemparkan tohmahan bahawa beliau telah melakukan skandal dengan salah seorang sahabat Rasulullah s.a.w. yang tidak pernah diragui kebersihan peribadinya. Orang-orang munafik benar-benar telah menggunakan peluang ini dengan mengobarkan api fitnah.

Demikianlah kisah yang berkaitan dengan “Hadith al-Ifki” atau “Insiden Fitnah” yang telah meresahkan rumah Nabi s.a.w., rumah Abu Bakar as-Siddiq serta seluruh bandar Madinah. Akhirnya turunlah ayat al-Quran bagi menerangkan perkara tersebut secara jelas dan tegas dan mengembalikan keadaan seperti sediakala. Ayat tersebut juga telah membisukan lidah para pendusta dan membersihkan kembali nama Aishah yang jujur dan suci daripada segala tuduhan jahat. Selepas turunnya ayat-ayat tersebut, kaum Muslimin pun merasa lega kerana telah terkeluar daripada fitnah yang keras dan pahit itu.

Bacalah firman Allah s.w.t. dalam surah an-Nur: “Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita bohong itu adalah daripada golongan kamu juga. Janganlah kamu mengira bahawa berita bohong itu buruk bagi kamu. Tiap-tiap seseorang dari mereka mendapat balasan dari dosa yang dikerjakannya. Dan siapa di antara mereka yang mengambil bahagian yang terbesar dalam penyiaran berita bohong itu baginya azab yang besar. Mengapa di waktu kamu mendengar berita bohong itu orang-orang mukminin dan mukminat tidak berbaik sangka terhadap diri mereka sendiri, dan (mengapa tidak) berkata: ‘Ini adalah suatu berita bohong yang nyata.’ Mengapa mereka (yang menuduh itu) tidak mendatangkan empat orang saksi atas berita bohong itu? Oleh kerana mereka tidak mendatangkan saksi-saksi maka mereka itulah pada sisi Allah orang-orang yang dusta.” (Surah an-Nur 24:11-13)

Inilah hukum Allah yang tegas: sesiapa yang menuduh orang lain telah melakukan perbuatan keji seperti berzina (atau liwat) maka dia mesti mengukuhkan tuduhannya itu dengan mendatangkan empat orang saksi yang adil dan tidak cacat keperibadiannya. Kesemua saksi itu mestilah telah melihat yang tertuduh sedang melakukan perbuatan zina (liwat) secara jelas dengan mata kepala mereka sendiri… Jika orang yang menuduh tidak berjaya mendatangkan empat saksi, maka dia dianggap sebagai seorang pendusta di sisi Allah s.w.t. Allah menegaskan bahawa si pendusta ini mesti dikenakan hukuman syariah, bahkan dia terkena tiga jenis hukuman yang tertera al-Quran al-Karim, berdasarkan firman Allah s.w.t. “Dan orang-orang yang menuduh wanita-wanita yang baik-baik (berbuat zina) dan mereka tidak mendatangkan empat orang saksi, maka sebatlah mereka (yang menuduh itu) dengan 80 kali sebatan, dan janganlah kamu terima kesaksian mereka buat selama-lamanya. Dan mereka itulah orang-orang yang fasik.” (Surah an-Nur 24:4, 5)

Ayat-ayat yang mulia di atas menyebutkan tiga jenis hukuman terhadap jenayah yang keji itu:

PERTAMA: Hukuman fizikal, iaitu disebat sebanyak lapan puluh sebatan. Sebatan yang menyakitkan tubuh badannya itu merupakan balasan terhadap perbuatannya menyakiti peribadi orang-orang yang baik. Tuduhan yang telah disebarkannya itu juga boleh memusnahkan kehidupan orang-orang yang dituduh berserta kaum keluarganya.

KEDUA: Hukuman moral dan sosial, iaitu dengan menggugurkan segala pertimbangan moral dan sosial orang yang menuduh itu. Kesaksiannya dalam urusan kewangan, sivil, sosial, politik tidak boleh diterima pakai. Ia mencakupi seluruh jenis kesaksian…..

KETIGA: Hukuman agama, iaitu dengan menggelarnya sebagai orang yang fasik dan memasukkannya ke dalam golongan ‘fasiqun’. Al-Quran menyebutkan kefasikan sebagai lawan daripada keimanan. Allah s.w.t. berfirman: “Maka adakah orang-orang yang beriman serupa dengan orang yang fasik? Mereka tidak sama. Adapun orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal salih, maka bagi mereka syurga-syurga tempat kediaman, sebagai pahala terhadap apa yang mereka kerjakan. Adapun orang-orang yang fasik, maka tempat mereka ialah neraka.” (as-Sajdah 32: 18-20)

Walau bagaimana pun, dengan rahmat dan kasihnya Allah masih lagi membuka pintu taubat bagi mereka yang ingin menyucikan dan membersihkan diri. Firman Allah: “Kecuali orang-orang yang bertaubat sesudah itu dan memperbaiki (dirinya), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah an-Nur 24: 5)

Imam Abu Hanifah berpendapat bahawa taubat hanya diperkenankan bagi memansuhkan hukuman terakhir, iaitu penggelaran dirinya sebagai fasik. Taubat tidak memansuhkan hukum gugurnya kesaksian dari pihaknya. Sebab perkara ‘gugurnya kesaksian’ dalam ayat di atas disifatkan Allah sebagai kekal, “Dan janganlah kamu terima kesaksian mereka buat selama-lamanya”.

Jenayah melemparkan tohmahan itu boleh menjadi lebih besar jika orang yang dituduh dikenali oleh khalayak ramai sebagai orang yang istiqamah dan salih. Mereka mengenalnya sebagai orang yang baik dan tidak pernah menyaksikan sebarang kejahatan dilakukannya. Sesungguhnya suara orang ramai merupakan pena-pena kebenaran. Kesaksian yang boleh dipertimbangkan hanyalah kesaksian orang-orang yang salih dan baik.

Pandangan dan sikap Islam dalam menjaga maruah, kemuliaan dan kehormatan diri seseorang amat tegas dan keras. Islam tidak membenarkan seorang Muslim menyakiti perasaan seorang saudaranya sesama Muslim dengan perkataan menghina, sama ada di hadapannya atau di belakangnya. Allah berfirman: “Hai orang-orang yang beriman, jauhilah dari kebanyakan dari syak wasangka, sesungguhnya sebahagian daripada syak wasangka itu adalah dosa dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain dan janganlah sebahagian kamu mengumpat sebahagian yang lain. Sukakah salah seorang di antara kamu memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha penerima taubat lagi Maha Penyayang.” (Surah al-Hujurat 48: 12)

Dalam satu hadis sahih, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Setiap Muslim diharamkan untuk mencerobohi darah, harta dan maruah saudaranya sesama Muslim.”

Jika Islam tidak menentukan sikap yang tegas seperti ini tentu akan terjadi perbalahan di antara selurah manusia, manakala kemuliaan serta maruah diri mereka akan ditindas. Akhirnya musnahlah seluruh hak dan kebebasan.

Bertolak atas kesedaran ini pula Islam memerintahkan kita untuk tidak menceritakan aib orang lain demi menjaga maruah dan peribadinya. Rasulullah s.a.w. telah bersabda kepada seseorang yang menggesa Ma’iz untuk mengaku berzina sehingga dijatuhkan hukuman rejam, “Jika engkau tutupinya dengan bajumu tentu lebih baik untukmu”. Rasulullah juga bersabda: “Seluruh umatku akan memperoleh pengampunan, kecuali orang-orang yang suka menyebarkan aib orang lain.” Dan baginda bersabda: “Sesiapa yang menutupi kesalahan seorang Muslim nescaya Allah akan menutupi (kesalahannya) di dunia dan akhirat.”

Allah s.w.t. juga berfirman dalam al-Quran al-Karim: “Sesungguhnya orang-orang yang ingin agar (berita) perbuatan yang amat keji itu tersiar di kalangan orang-orang yang beriman, bagi mereka azab yang pedih di dunia dan di akhirat.” (Surah an-Nur 24: 19)
dari laman Dr Danial Zainal ABIDIN


Ustaz DANiAL ZAinAL ABiDin

http://www.danialzainalabidin.com

saber badar

http://intersaberbadar.blogspot.com

mizzi

http://mizzhazzi.blogspot.com

humAizi

humaizi

WAKIL RAKYAT fuziah Salih

fauziahsalih